Perintah-perintah Alma kepada anak lelakinya, Siblon.
Meliputi bab 38.
Bab 38
Siblon dianiaya demi kebenaran—Keselamatan ada di dalam Kristus, iaitu kehidupan dan cahaya dunia—Kekanglah segala nafsumu. Kira-kira 74 tahun S.M.
1 Anakku, pasanglah telinga terhadap perkataan-perkataanku, kerana aku berkata kepadamu, bahkan seperti yang aku katakan kepada Helaman, bahawa sejauh mana kamu akan mentaati perintah-perintah Tuhan kamu akan makmur di negeri ini; dan sejauh kamu tidak akan mentaati perintah-perintah Tuhan kamu akan disingkirkan dari hadirat-Nya.
2 Dan sekarang, anakku, aku percaya bahawa aku akan sangat bersukacita keranamu, kerana kekukuhanmu dan kesetiaanmu kepada Tuhan; kerana seperti yang telah kamu bermula pada masa mudamu untuk memandang kepada Tuhan Rajamu, demikian pula aku berharap bahawa kamu akan terus mentaati perintah-perintah-Nya; kerana diberkatilah dia yang bertahan sampai akhir.
3 Aku berkata kepadamu, anakku, bahawa aku telah amat bersukacita keranamu, kerana kesetiaanmu dan ketekunanmu, dan kesabaranmu dan panjang sabarmu di kalangan orang Zoram.
4 Kerana aku tahu bahawa kamu berada dalam ikatan; ya, dan aku juga tahu bahawa kamu dilempari batu demi firman; dan kamu telah menanggung segala sesuatu ini dengan kesabaran kerana Tuhan menemanimu; dan sekarang, kamu tahu bahawa Tuhan membebaskan kamu.
5 Dan sekarang, anakku, Siblon aku menghendaki agar kamu hendaknya ingat, bahawa sebanyak kamu akan menaruh kepercayaanmu kepada Tuhan bahkan sedemikian banyaknya kamu akan dibebaskan dari pencubaanmu, dan kesusahanmu, dan kesengsaraanmu, dan kamu akan diangkat pada hari terakhir.
6 Sekarang, anakku, aku tidak mahu bahawa kamu berfikir bahawa aku tahu hal-hal ini daripada diriku sendiri, tetapi Roh Tuhan yang berada dalam dirikulah yang menyingkapkan hal-hal ini kepadaku; kerana jika aku tidak dilahirkan dari Tuhanku tidak akan mengetahui hal-hal ini.
7 Tetapi lihatlah, Tuhan dalam belas kasihan-Nya yang besar mengutus malaikat-Nya untuk memaklumkan kepadaku bahawa aku mesti menghentikan pekerjaan penghancuran di kalangan umat-Nya; ya, dan aku telah melihat seorang malaikat berhadapan muka, dan dia berbicara denganku, dan suaranya bagaikan guruh, dan ia menggoncangkan seluruh negeri.
8 Dan terjadilah bahawa aku tiga hari dan tiga malam berada dalam kesakitan dan kepedihan jiwa yang paling pahit; dan tidak sama sekali, sampai aku berseru kepada Tuhan Yesus Kristus untuk belas kasihan, aku menerima pengampunan dosa-dosaku. Tetapi lihatlah, aku berseru kepada-Nya dan aku menemukan kedamaian bagi jiwaku.
9 Dan sekarang, anakku, aku telah memberitahu kamu ini agar kamu boleh belajar kebijaksanaan, agar kamu boleh belajar daripadaku bahawa tidak ada jalan atau cara lain yang melaluinya manusia dapat diselamatkan, kecuali di dalam dan melalui Kristus. Lihatlah, Dia ialah kehidupan dan cahaya dunia. Lihatlah, Dia ialah firman kebenaran dan kesolehan.
10 Dan sekarang, sebagaimana kamu telah mula mengajarkan firman demikian pula aku menghendaki agar kamu hendaknya terus mengajar, dan aku menghendaki agar kamu akan tekun dan bersederhana dalam segala hal.
11 Pastikanlah bahawa kamu tidak terangkat-angkat pada keangkuhan; ya, pastikanlah bahawa kamu tidak bercakap besar dalam kebijaksanaanmu sendiri, tidak juga dalam kekuatanmu yang besar.
12 Gunakanlah keberanian, tetapi bukan dengan keterlaluan; dan juga pastikanlah bahawa kamu mengekang segala nafsumu, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih; pastikanlah bahawa kamu menjauhkan diri daripada kemalasan.
13 Janganlah berdoa seperti yang bangsa Zoram lakukan, kerana kamu telah melihat bahawa mereka berdoa untuk didengar oleh orang, dan untuk dipuji kerana kebijaksanaan mereka.
14 Janganlah berkata: Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu bahawa kami lebih baik daripada saudara-saudara kami; tetapi sebaliknya berkatalah: Ya Tuhan, ampunilah ketidaklayakanku, dan ingatlah saudara-saudaraku dalam belas kasihan—ya, akuilah ketidaklayakanmu di hadapan Tuhan di segala waktu.
15 Dan semoga Tuhan memberkati jiwamu, dan menerimamu pada hari terakhir ke dalam kerajaan-Nya, untuk duduk dalam kedamaian. Sekarang pergilah, anakku, dan ajarkanlah firman kepada bangsa ini. Bersungguh-sungguhlah. Anakku, selamat berpisah.