Bab 14
Alma dan Amulek ditahan dan didera—Para penganut dan tulisan suci mereka yang kudus dibakar dengan api—Orang yang mati syahid ini diterima oleh Tuhan dalam kemuliaan—Tembok-tembok tahanan terkoyak dan roboh—Alma dan Amulek dibebaskan, dan para penganiaya mereka terbunuh. Kira-kira 82–81 tahun S.M.
1 Dan terjadilah setelah dia mengakhiri ucapan kepada umat itu, banyak daripada mereka percaya pada perkataan-perkataannya, dan mula bertaubat, dan menyelidiki tulisan suci.
2 Tetapi bahagian yang lebih besar daripada mereka berhasrat agar mereka boleh menghancurkan Alma dan Amulek; kerana mereka marah terhadap Alma, kerana keterusterangan perkataan-perkataannya kepada Zezrom; dan mereka juga berkata bahawa Amulek telah berdusta kepada mereka, dan telah mencaci maki hukum mereka dan juga para peguam dan hakim mereka.
3 Dan mereka juga marah terhadap Alma dan Amulek; dan kerana mereka telah bersaksi dengan sedemikian terus-terangnya menentang kejahatan mereka, mereka berupaya menyingkirkan mereka secara rahsia.
4 Tetapi terjadilah bahawa mereka tidak melakukannya; sebaliknya mereka menangkap mereka dan mengikat mereka dengan tali yang kuat, dan membawa mereka ke hadapan hakim utama negeri itu.
5 Dan orang datang dan bersaksi menentang mereka—bersaksi bahawa mereka telah mencaci maki hukum, dan para peguam dan hakim mereka yang atas negeri itu, dan juga yang atas semua orang yang berada di negeri itu; dan juga bersaksi bahawa hanya ada satu Tuhan, dan bahawa Dia akan mengutus Putera-Nya ke kalangan umat itu, tetapi Dia tidak akan menyelamatkan mereka; dan banyak hal seperti itu umat itu persaksikan menentang Alma dan Amulek. Sekarang, ini dilakukan di hadapan hakim utama negeri itu.
6 Dan terjadilah bahawa Zezrom tercengang akan perkataan-perkataan yang telah diucapkan; dan dia juga tahu berkenaan kebutaan fikiran, yang telah dia sebabkan di kalangan orang dengan perkataan-perkataan dustanya; dan jiwanya mula amat tertekan di bawah kesedaran akan kesalahannya sendiri; ya, dia mula dikelilingi oleh rasa sakit neraka.
7 Dan terjadilah bahawa dia mula berseru kepada umat itu, mengatakan: Lihatlah, aku bersalah, dan para lelaki ini tanpa noda di hadapan Tuhan. Dan dia mula merayu bagi mereka mulai waktu itu; tetapi mereka mencaci makinya, mengatakan: Adakah engkau juga dirasuk oleh iblis? Dan mereka meludahinya, dan mengusirnya dari kalangan mereka, dan juga mereka semua yang percaya pada perkataan-perkataan yang telah diucapkan oleh Alma dan Amulek; dan mereka mengusir mereka, dan mengutus orang untuk melemparkan batu-batu padanya.
8 Dan mereka membawa para isteri dan anak-anak mereka bersama, dan barang siapa percaya atau telah diajar untuk percaya kepada firman Tuhan mereka menyuruh agar mereka hendaknya dilemparkan ke dalam api; dan mereka juga membawa catatan-catatan mereka yang mengandungi tulisan suci yang kudus, dan melemparkannya ke dalam api juga, agar ia boleh dibakar dan dihancurkan dengan api.
9 Dan terjadilah bahawa mereka mengambil Alma dan Amulek, dan membawa mereka ke tempat kesyahidan, agar mereka boleh menyaksikan penghancuran mereka yang dilalap oleh api.
10 Dan ketika Amulek melihat rasa sakit kaum wanita dan kanak-kanak yang dilalap dalam api, dia juga terasa sakit; dan dia berkata kepada Alma: Bagaimana dapat kita menyaksikan kejadian menyeramkan ini? Oleh itu marilah kita menghulurkan tangan kita, dan menggunakan kuasa Tuhan yang ada dalam diri kita, dan menyelamatkan mereka daripada nyalaan api.
11 Tetapi Alma berkata kepadanya: Roh mendesakku bahawa aku mesti jangan menghulurkan tanganku; kerana lihatlah Tuhan menerima mereka kepada diri-Nya, dalam kemuliaan; dan Dia membiarkan bahawa mereka boleh melakukan hal ini, atau bahawa orang ini boleh melakukan hal ini kepada mereka, menurut kekerasan hati mereka, agar penghakiman yang akan Dia jalankan ke atas diri mereka dalam kemurkaan-Nya bolehlah adil; dan darah orang yang tak berdosa akan berdiri sebagai suatu kesaksian menentang mereka, ya, dan berseru dengan amat kuat menentang mereka pada hari terakhir.
12 Sekarang, Amulek berkata kepada Alma: Lihatlah, barangkali mereka akan membakar kita juga.
13 Dan Alma berkata: Biarlah terjadi menurut kehendak Tuhan. Tetapi, lihatlah, pekerjaan kita belum selesai; oleh itu mereka tidak membakar kita.
14 Sekarang, terjadilah bahawa ketika tubuh badan mereka yang telah dilemparkan ke dalam api itu terlalap, dan juga catatan-catatan yang dilemparkan bersama mereka, hakim utama negeri datang dan berdiri di hadapan Alma dan Amulek, sementara mereka terikat; dan dia menampar pipi mereka dengan tangannya, dan berkata kepada mereka: Setelah apa yang kamu lihat, akankah kamu berkhutbah lagi kepada orang ini, agar mereka akan dilemparkan ke dalam suatu tasik api dan belerang?
15 Lihatlah, kamu lihat bahawa kamu tidak memiliki kuasa untuk menyelamatkan mereka yang telah dilemparkan ke dalam api; tidak juga Tuhan telah menyelamatkan mereka kerana mereka daripada kepercayaanmu. Dan hakim itu menampar pipi mereka lagi, dan bertanya: Apakah yang kamu katakan untuk dirimu sendiri?
16 Sekarang, hakim ini adalah menurut tarekat dan kepercayaan Nehor, yang membunuh Gideon.
17 Dan terjadilah bahawa Alma dan Amulek tidak memberi apa-apa jawapan pun kepadanya; dan dia memukul mereka lagi, dan menyerahkan mereka kepada para pegawai untuk dilemparkan ke dalam penjara.
18 Dan ketika mereka telah dilemparkan ke dalam penjara selama tiga hari, datanglah banyak peguam, dan hakim, dan imam, dan pengajar, yang adalah seagama dengan Nehor; dan mereka datang ke dalam penjara untuk menemui mereka, dan mereka menyoalkan mereka tentang banyak kata ajaran; tetapi mereka tidak memberi apa-apa jawapan pun kepada para penyoal.
19 Dan terjadilah bahawa hakim berdiri di hadapan mereka, dan berkata: Mengapakah kamu tidak menjawab soalan-soalan orang ini? Tidak tahukah kamu bahawa aku memiliki kuasa untuk menyerahkanmu ke dalam nyala api? Dan dia memerintahkan mereka untuk bercakap; tetapi mereka tidak memberi apa-apa jawapan pun.
20 Dan terjadilah bahawa mereka berangkat dan pergi pada jalan mereka, tetapi datang lagi pada keesokan harinya; dan hakim juga menampar pipi mereka lagi. Dan banyak yang maju ke depan juga, dan memukul mereka, mengatakan: Akankah kamu berdiri lagi dan menghakimi orang ini, dan mengecam hukum kami? Jika kamu memiliki kuasa yang demikian besar, mengapakah kamu tidak membebaskan dirimu sendiri?
21 Dan banyak hal seperti itu mereka katakan kepada mereka, sambil mengertakkan gigi mereka terhadap mereka, dan meludahi mereka, dan mengatakan: Bagaimanakah rupa kami ketika kami dilaknat?
22 Dan banyak hal seperti itu, ya, segala macam hal seperti itu mereka katakan kepada mereka; dan demikianlah mereka memperolok-olokkan mereka selama berhari-hari. Dan mereka menahan makanan daripada mereka agar mereka akan lapar, dan air agar mereka akan haus; dan mereka juga mengambil daripada mereka pakaian mereka sehingga mereka telanjang; dan demikianlah mereka diikat dengan tali yang kuat, dan diringkukkan di dalam tahanan.
23 Dan terjadilah setelah mereka demikian menderita selama berhari-hari, (dan ianya pada hari kedua belas, dalam bulan kesepuluh, pada tahun kesepuluh pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi) maka hakim utama atas negeri Amoniha dan banyak daripada para pengajar mereka dan para peguam mereka masuk ke dalam penjara di mana Alma dan Amulek diikat dengan tali.
24 Dan hakim utama berdiri di hadapan mereka, dan memukul mereka lagi, dan berkata kepada mereka: Jika kamu memiliki kuasa Tuhan bebaskanlah dirimu daripada ikatan ini, dan kemudian kami akan percaya bahawa Tuhan akan menghancurkan orang ini menurut perkataan-perkataanmu.
25 Dan terjadilah bahawa mereka semua mara ke depan dan memukul mereka, mengatakan perkataan-perkataan yang sama, bahkan sampai orang terakhir; dan ketika yang terakhir telah berucap kepada mereka kuasa Tuhan berada di atas diri Alma dan Amulek, dan mereka bangkit dan berdiri atas kaki mereka.
26 Dan Alma berseru, mengatakan: Berapa lamakah kami akan menderita kesengsaraan yang dahsyat ini, Ya Tuhan? Ya Tuhan, berilah kami kekuatan menurut iman kami yang adalah pada Kristus, bahkan sampai pembebasan. Dan mereka memutuskan tali yang dengannya mereka diikat; dan ketika orang melihat ini, mereka mula melarikan diri, kerana ketakutan akan kehancuran telah datang ke atas diri mereka.
27 Dan terjadilah bahawa sedemikian besarnya ketakutan mereka sehingga mereka jatuh ke tanah, dan tidak mencapai pintu luar penjara; dan bumi bergoncang dengan amat kuat, dan tembok-tembok penjara terbelah menjadi dua, sehingga roboh ke tanah; dan hakim utama, dan para peguam, dan imam, dan pengajar, yang memukul Alma dan Amulek, terbunuh oleh kerobohan itu.
28 Dan Alma dan Amulek keluar dari penjara, dan mereka tidak terluka; kerana Tuhan telah memberikan kepada mereka kuasa, menurut iman mereka yang adalah pada Kristus. Dan mereka dengan segera keluar dari tahanan; dan mereka dilepaskan daripada ikatan mereka; dan penjara itu telah roboh ke tanah, dan setiap jiwa di dalam tembok-temboknya, kecuali Alma dan Amulek, terbunuh; dan mereka dengan segera masuk ke dalam kota.
29 Sekarang, setelah orang ramai mendengar bunyi yang kuat, datang berlarian bersama dalam khalayak besar untuk mengetahui sebabnya; dan ketika mereka melihat Alma dan Amulek datang keluar dari penjara, dan tembok-temboknya telah roboh ke tanah, mereka diserang oleh rasa takut yang dahsyat, dan melarikan diri dari hadapan Alma dan Amulek bahkan bagaikan seekor kambing melarikan diri bersama anak-anaknya daripada dua ekor singa; dan demikianlah mereka melarikan diri dari hadapan Alma dan Amulek.