Kitab Suci
Mosia 29


Bab 29

Mosia mencadangkan agar hakim-hakim dipilih sebagai pengganti seorang raja—Raja-raja yang tidak soleh memimpin rakyat mereka ke dalam dosa—Alma yang muda dipilih sebagai hakim utama oleh suara rakyat—Dia juga adalah imam tinggi atas Gereja—Alma yang tua dan Mosia mangkat. Kira-kira 92–91 tahun S.M.

1 Sekarang, ketika Mosia telah melakukan ini dia mengisytiharkan ke seluruh negeri, ke kalangan semua rakyat, berhasrat untuk mengetahui kehendak mereka berkenaan siapa yang patut menjadi raja mereka.

2 Dan terjadilah bahawa suara rakyat datang, mengatakan: Kami berhasrat bahawa Harun puteramu patut menjadi raja kami dan pemerintah kami.

3 Sekarang, Harun telah pergi ke negeri Nefi, oleh kerana itu raja tidak dapat menganugerahkan kerajaan kepadanya; juga Harun tidak mahu mengambil ke atas dirinya kerajaan itu; juga tidak seorang pun daripada para putera Mosia sudi mengambil ke atas diri mereka kerajaan itu.

4 Oleh kerana itu raja Mosia mengisytiharkan lagi ke kalangan rakyat; ya, bahkan suatu perkataan tertulis dikirimkannya ke kalangan rakyat. Dan inilah perkataan-perkataan yang tertulis, mengatakan:

5 Lihatlah, Wahai kamu rakyatku, atau saudara-saudaraku, kerana aku menganggapmu demikian, aku berhasrat bahawa kamu hendaknya mempertimbangkan perkara yang kamu dipanggil untuk pertimbangkan—kerana kamu berhasrat memiliki seorang raja.

6 Sekarang, aku maklumkan kepadamu bahawa dia yang adalah pemilik sah kerajaan ini telah menolak, dan tidak berhasrat mengambil ke atas dirinya kerajaan ini.

7 Dan sekarang, jika akan ada orang lain ditetapkan sebagai penggantinya, lihatlah aku takut akan timbul perselisihan di kalangan kamu. Dan siapa tahu bahawa mungkin puteraku, yang adalah pemilik kerajaan ini, akan menjadi marah dan menarik sebahagian daripada rakyat ini kepadanya, yang akan menyebabkan peperangan dan perselisihan di kalanganmu, yang akan menjadi sebab pertumpahan banyak darah dan penyimpangan jalan Tuhan, ya, dan menghancurkan jiwa ramai orang.

8 Sekarang, aku bertitah kepadamu marilah kita menjadi bijak dan mempertimbangkan hal-hal ini, kerana kita tidak memiliki hak untuk menghancurkan puteraku, tidak patut juga kita memiliki hak untuk menghancurkan yang lain jika dia akan dilantik sebagai penggantinya.

9 Dan jika puteraku akan berpaling lagi pada keangkuhannya dan apa yang sia-sia dia akan menarik kembali apa yang telah dia katakan, dan menuntut haknya atas kerajaan, yang akan menyebabkan dia dan juga rakyat ini melakukan banyak dosa.

10 Dan sekarang, marilah kita menjadi bijak dan menanti-nantikan hal-hal ini, dan melakukan apa yang akan menjamin kedamaian bagi rakyat ini.

11 Oleh kerana itu aku akan menjadi rajamu bagi penghabisan hidupku walaupun demikian, marilah kita melantik para hakim, untuk menghakimi rakyat ini menurut hukum kita; dan kita akan mengatur dengan cara baru urusan rakyat ini, kerana kita akan melantik para lelaki yang bijak untuk menjadi hakim, yang akan menghakimi rakyat ini menurut perintah-perintah Tuhan.

12 Sekarang, adalah lebih baik bahawa seseorang akan dihakimi oleh Tuhan daripada oleh manusia, kerana penghakiman Tuhan selalu adil, tetapi penghakiman manusia tidaklah selalu adil.

13 Oleh kerana itu, jika mungkin bahawa kamu dapat mempunyai lelaki yang soleh untuk menjadi rajamu, yang akan menegakkan hukum-hukum Tuhan, dan menghakimi rakyat ini menurut perintah-perintah-Nya, ya, jika kamu dapat mempunyai para lelaki sebagai raja-rajamu yang akan melakukan bahkan seperti ayahku Benyamin lakukan untuk rakyat ini—aku berkata kepadamu, jika ini dapat selalu demikian halnya maka akanlah arif bahawa kamu hendaknya selalu mempunyai raja untuk memerintah atas dirimu.

14 Dan bahkan diriku sendiri telah bekerja dengan segenap kemampuan dan kecekapan yang telah aku miliki, untuk mengajarmu perintah-perintah Tuhan, dan untuk menegakkan kedamaian di seluruh negeri ini, agar tidak akan ada peperangan atau perselisihan, tidak ada pencurian, atau penjarahan, atau pembunuhan, atau kederhakaan apa macam pun;

15 Dan barang siapa telah berbuat kederhakaan, dia telah aku hukum menurut jenayah yang telah dia lakukan, menurut hukum yang telah diberikan kepada kita oleh nenek moyang kita.

16 Sekarang, aku berkata kepadamu, bahawa kerana semua orang tidak soleh, tidaklah arif bahawa kamu akan mempunyai seorang raja atau raja-raja untuk memerintah atas dirimu.

17 Kerana lihatlah, betapa banyaknya kederhakaan yang disebabkan oleh seorang raja yang jahat untuk dilakukan, ya, dan alangkah besarnya kehancuran!

18 Ya, ingatlah raja Nuh, kejahatannya dan kekejiannya, dan juga kejahatan dan kekejian rakyatnya. Lihatlah alangkah besarnya kehancuran yang datang ke atas diri mereka; dan juga kerana kederhakaan mereka, mereka dibawa ke dalam perhambaan.

19 Dan jika bukan kerana campur tangan oleh Pencipta mereka yang maha bijak, dan ini kerana pertaubatan mereka yang ikhlas, mereka mestilah tak terelak tetap dalam perhambaan sampai sekarang.

20 Tetapi lihatlah, Dia membebaskan mereka kerana mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Nya; dan kerana mereka berseru dengan amat kuat kepada-Nya Dia membebaskan mereka daripada perhambaan; dan demikianlah Tuhan bekerja dengan kuasa-Nya dalam segala hal di kalangan anak-anak manusia, menghulurkan lengan belas kasihan terhadap mereka yang menaruh kepercayaan mereka kepada-Nya.

21 Dan lihatlah, sekarang, aku berkata kepadamu, kamu tidak dapat menggulingkan seorang raja yang derhaka kecuali melalui banyak perselisihan, dan pertumpahan banyak darah.

22 Kerana lihatlah, dia memiliki teman-temannya dalam kederhakaan, dan dia menempatkan para pengawalnya di sekitarnya; dan dia mencarik-carikkan hukum-hukum mereka yang telah memerintah dalam kesolehan sebelum dia; dan dia memijak-mijak di bawah kakinya perintah-perintah Tuhan;

23 Dan dia menggubal hukum-hukum, dan mengisytiharkannya ke kalangan rakyatnya, ya, hukum-hukum menurut cara kejahatannya sendiri; dan barang siapa tidak mematuhi hukum-hukumnya dia perintah dihancurkan; dan barang siapa memberontak melawannya dia akan menghantar tenteranya melawan mereka untuk berperang, dan jika dia boleh dia akan menghancurkan mereka; dan demikianlah seorang raja yang tidak soleh menyimpangkan jalan segala kebenaran.

24 Dan sekarang, lihatlah aku berkata kepadamu, tidaklah arif bahawa kekejian seperti itu akan datang ke atas dirimu.

25 Oleh kerana itu, pilihlah kamu melalui suara rakyat ini, hakim-hakim, agar kamu boleh dihakimi menurut hukum-hukum yang telah diberikan kepadamu oleh nenek moyang kita, yang adalah benar, dan yang diberikan kepada mereka oleh tangan Tuhan.

26 Sekarang, tidaklah biasa bahawa suara rakyat menghasratkan apa pun yang bertentangan dengan itu yang benar; tetapi adalah biasa bagi sebahagian kecil daripada rakyat untuk menghasratkan apa yang tidak benar; oleh kerana itu ini akanlah kamu patuhi dan menjadikannya hukummu—untuk melakukan urusanmu menurut suara rakyat.

27 Dan jika waktunya tiba bahawa suara rakyat memilih kederhakaan, itulah waktunya apabila penghakiman Tuhan akan datang ke atas dirimu; ya, pada waktu itulah Dia akan mengunjungimu dengan kehancuran dahsyat bahkan seperti yang telah Dia sebelumnya timpakan ke atas negeri ini.

28 Dan sekarang, jika kamu mempunyai hakim-hakim, dan mereka tidak menghakimimu menurut hukum yang telah diberikan, kamu dapat menyuruh agar mereka boleh dihakimi oleh seorang hakim yang lebih tinggi.

29 Jika para hakimmu yang lebih tinggi tidak menghakimi dengan penghakiman yang soleh, kamu akan menyuruh bahawa sejumlah kecil daripada para hakimmu yang lebih rendah hendaknya berkumpul bersama, dan mereka akan menghakimi para hakimmu yang lebih tinggi, menurut suara rakyat.

30 Dan aku memerintahkanmu untuk melakukan hal-hal ini dalam rasa takut akan Tuhan; dan aku memerintahkanmu untuk melakukan hal-hal ini, dan agar kamu tidak memiliki raja; agar jika orang ini berbuat dosa dan kederhakaan, ianya akan dipertanggungjawabkan ke atas kepala mereka sendiri.

31 Kerana lihatlah aku berkata kepadamu, dosa ramai orang telah disebabkan oleh kederhakaan para raja mereka; oleh kerana itu kederhakaan mereka dipertanggungjawabkan ke atas kepala raja-raja mereka.

32 Dan sekarang, aku berhasrat bahawa ketidaksetaraan ini hendaknya tidak ada lagi di negeri ini, khususnya di kalangan rakyatku ini; tetapi aku berhasrat bahawa negeri ini menjadi sebuah negeri kemerdekaan, dan setiap orang boleh menikmati hak-hak dan hak-hak istimewanya secara setara, selama Tuhan menganggap patut bahawa kita boleh hidup dan mewarisi negeri ini, ya, bahkan selama sesiapa pun di antara anak cucu kita tinggal di atas permukaan negeri ini.

33 Dan banyak hal lagi yang raja Mosia tuliskan kepada mereka, menyingkapkan kepada mereka segala pencubaan dan kesusahan seorang raja yang soleh, ya, segala penderitaan jiwa yang berat bagi rakyat mereka, dan juga segala rungutan rakyat kepada raja mereka; dan dia menjelaskan semuanya kepada mereka.

34 Dan dia memberitahu mereka bahawa hal-hal ini seharusnya tidak terjadi; tetapi bahawa beban itu mesti datang ke atas semua rakyat, agar setiap orang boleh menanggung bahagiannya.

35 Dan dia juga menyingkapkan kepada mereka segala kerugian yang mereka alami, dengan mempunyai seorang raja yang tidak soleh memerintah atas diri mereka;

36 Ya, segala kederhakaan dan kekejiannya, dan semua perang, dan perselisihan, dan pertumpahan darah, dan pencurian, dan penjarahan, dan perbuatan pelacuran, dan segala macam kederhakaan yang tidak dapat dihitungkan—memberitahu mereka bahawa hal-hal ini seharusnya tidak terjadi, bahawa ianya secara nyata bertentangan dengan perintah-perintah Tuhan.

37 Dan sekarang terjadilah, setelah raja Mosia mengisytiharkan hal-hal ini ke kalangan rakyat, mereka diyakinkan akan kebenaran kata-katanya.

38 Oleh kerana itu mereka melepaskan hasrat mereka untuk seorang raja, dan menjadi amat berminat bahawa setiap orang hendaknya memiliki peluang yang setara di seluruh negeri; ya, dan setiap orang melafazkan kerelaan untuk bertanggungjawab atas dosa-dosanya sendiri.

39 Oleh kerana itu, terjadilah bahawa mereka berhimpun bersama dalam kelompok-kelompok di seluruh negeri, untuk menyuarakan kehendak mereka berkenaan siapa yang patut menjadi para hakim mereka, untuk menghakimi mereka menurut hukum yang telah diberikan kepada mereka; dan mereka amat bersukacita kerana kemerdekaan yang telah diberikan kepada mereka.

40 Dan mereka menjadi kuat dalam kasih terhadap Mosia; ya, mereka menjunjung tinggi dia lebih daripada sesiapa pun; kerana mereka tidak memandangnya sebagai penzalim yang sedang mencari keuntungan, ya, untuk wang itu yang merosakkan jiwa; kerana dia tidak menuntut kekayaan dari mereka, tidak juga dia senang akan pertumpahan darah; tetapi dia telah menegakkan kedamaian di negeri itu, dan dia telah memberikan kepada rakyatnya bahawa mereka hendaknya dibebaskan daripada segala macam perhambaan; oleh kerana itu mereka menjunjung tinggi dia, ya, amat sangat, tidak terhingga.

41 Dan terjadilah bahawa mereka melantik para hakim untuk memerintah atas diri mereka, atau untuk menghakimi mereka menurut hukum; dan ini mereka lakukan di seluruh negeri.

42 Dan terjadilah bahawa Alma dilantik untuk menjadi hakim utama yang pertama, dia yang adalah juga imam tinggi, ayahnya telah menganugerahkan jawatan itu ke atas dirinya, dan telah memberinya tanggungjawab berkenaan segala urusan gereja.

43 Dan sekarang terjadilah bahawa Alma berjalan di jalan Tuhan, dan dia mentaati perintah-perintah-Nya, dan dia menghakimi dengan penghakiman yang soleh; dan ada kedamaian yang berterusan di seluruh negeri.

44 Dan demikianlah bermulanya pemerintahan hakim-hakim di seluruh negeri Zarahemla, di kalangan semua orang yang dipanggil bangsa Nefi; dan Alma adalah hakim yang pertama dan hakim utama.

45 Dan sekarang, terjadilah bahawa ayahnya meninggal, semasa berumur lapan puluh dan dua tahun, setelah hidup untuk memenuhi perintah-perintah Tuhan.

46 Dan terjadilah bahawa Mosia mangkat juga, pada tahun ketiga puluh dan tiga dari masa pemerintahannya, semasa berumur enam puluh dan tiga tahun; menjadikan secara keseluruhan, lima ratus dan sembilan tahun sejak waktu Lehi meninggalkan Yerusalem.

47 Dan demikianlah berakhir zaman pemerintahan raja-raja atas bangsa Nefi; dan demikianlah berakhir kehidupan Alma, yang adalah pengasas gereja mereka.