Kitab Suci
Mosia 14


Bab 14

Yesaya berbicara berkenaan Mesias—Penghinaan dan penderitaan Mesias dinyatakan—Dia menjadikan jiwa-Nya suatu persembahan untuk dosa dan membuat perantaraan bagi para pelanggar—Bandingkan dengan Yesaya 53. Kira-kira 148 tahun S.M.

1 Ya, bahkan tidakkah Yesaya berkata: Siapakah telah mempercayai laporan kita, dan kepada siapakah lengan Tuhan diungkapkan?

2 Kerana dia akan tumbuh di hadapan-Nya sebagai tumbuhan yang lembut, dan sebagai akar dari tanah kering; Dia tidak memiliki perawakan atau ketampanan; dan ketika kita akan melihatnya tidaklah ada kecantikan sehingga kita akan menghasratkan-Nya.

3 Dia dikeji dan ditolak oleh manusia; seorang lelaki yang penuh dengan dukacita, dan kenal akan kepiluan; dan kita seakan-akan menyembunyikan muka kita dari-Nya; dia dikeji, dan kita tidak menghormati-Nya.

4 Pastilah dia telah menanggung kepiluan kita, dan memikul dukacita kita; namun kita menganggapnya ditimpa malang, didera oleh Tuhan, dan disengsarakan.

5 Tetapi dia terluka untuk pelanggaran kita, dia dimemar untuk kederhakaan kita; hukuman untuk kedamaian kita berada di atasnya; dan dengan bilur-bilur-Nya kita disembuhkan.

6 Kita semua, seperti domba, telah tersesat; kita telah berpaling setiap orang kepada jalannya sendiri; dan Tuhan telah meletakkan ke atas diri-Nya kederhakaan kita semua.

7 Dia ditindas, dan dia disengsarakan, namun Dia tidak membuka mulut-Nya; Dia dibawa bagaikan seekor anak domba ke pembantaian, dan bagaikan seekor domba di hadapan pencukurnya adalah bisu, demikianlah Dia tidak membuka mulut-Nya.

8 Dia diambil dari penjara dan daripada keadilan; dan siapakah yang akan memaklumkan keturunan-Nya? Kerana Dia disingkirkan dari dunia orang hidup; untuk pelanggaran bangsaku Dia ditimpa malang.

9 Dan Dia dikuburkan bersama yang jahat, dan bersama yang kaya dalam kematian-Nya; kerana Dia tidak melakukan kejahatan, tidak juga ada tipuan di mulut-Nya.

10 Namun adalah menyenangkan Tuhan untuk melukai-Nya; Dia telah menyengsarakan-Nya; ketika Engkau akan menjadikan jiwa-Nya suatu persembahan untuk dosa Dia akan melihat keturunan-Nya, Dia akan memanjangkan masa hidupnya, dan kesenangan Tuhan akan makmur dalam tangan-Nya.

11 Dia akan melihat penderitaan berat jiwa-Nya, dan akan puas hati; melalui pengetahuan-Nya akanlah hamba-Ku yang soleh melepaskan ramai orang; kerana Dia akan menanggung kederhakaan mereka.

12 Oleh kerana itu akanlah Aku membahagi kepada-Nya sebahagian bersama yang agung, dan Dia akan membahagikan jarahan dengan yang kuat; kerana Dia telah mencurahkan jiwa-Nya sampai kematian; dan dia terbilang di antara para pelanggar; dan dia menanggung dosa banyak orang, dan membuat perantaraan bagi pelanggar.