Kitab Suci
Yakub 6


Bab 6

Tuhan akan memulihkan Israel pada zaman terakhir—Dunia akan dibakar dengan api—Manusia mesti mengikut Kristus untuk menghindari tasik api dan belerang. Kira-kira 544–421 tahun S.M.

1 Dan sekarang, lihatlah, saudara-saudaraku, seperti yang aku katakan kepadamu bahawa aku akan bernubuat, lihatlah, inilah nubuatku—bahawa apa yang nabi Zenos ini ucapkan, berkenaan bani Israel, yang di dalamnya dia menyamakan mereka dengan sebatang pokok zaitun yang terpelihara, mestilah pasti terjadi.

2 Dan hari ketika Dia akan mengangkat tangan-Nya lagi bagi kedua kalinya untuk memulihkan umat-Nya, adalah hari, ya, bahkan yang terakhir kalinya, ketika para hamba Tuhan akan pergi dalam kuasa-Nya, untuk memelihara dan memangkas ladang anggur-Nya; dan setelah itu akhir segera tiba.

3 Dan betapa diberkatinya mereka yang telah bekerja dengan tekun di ladang anggur-Nya; dan betapa terkutuknya mereka yang akan dicampakkan ke tempat mereka sendiri! Dan dunia akan dibakar dengan api.

4 Dan betapa penuh belas kasihannya Tuhan kita kepada kita, kerana Dia mengingati bani Israel, baik akar mahupun cabang; dan Dia menghulurkan tangan-Nya kepada mereka sepanjang hari; dan mereka adalah bangsa yang berleher tegar dan yang suka membangkang; tetapi seramai yang tidak akan mengeraskan hati mereka akan diselamatkan di dalam kerajaan Tuhan.

5 Oleh kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku mohon daripadamu dengan kata-kata kesungguhan agar kamu mahu bertaubat, dan datang dengan maksud hati yang sepenuhnya, dan mengikatkan diri kepada Tuhan sebagaimana Dia mengikatkan diri kepadamu. Dan sewaktu lengan belas kasihan-Nya dihulurkan ke arahmu dalam terangnya siang hari, janganlah mengeraskan hatimu.

6 Ya, hari ini, jika kamu mahu mendengar suara-Nya, janganlah mengeraskan hatimu; kerana mengapa kamu mahu mati?

7 Kerana lihatlah, setelah kamu dipelihara oleh firman yang baik daripada Tuhan sepanjang hari, akankah kamu menghasilkan buah yang jelik, sehingga kamu mesti ditebang dan dilemparkan ke dalam api?

8 Lihatlah, akankah kamu menolak kata-kata ini? Akankah kamu menolak kata-kata para nabi; dan akankah kamu menolak segala perkataan yang telah diucapkan berkenaan Kristus, setelah sedemikian banyaknya yang berbicara berkenaan-Nya; dan menyangkal firman yang baik daripada Kristus, dan kuasa Tuhan, dan kurnia Roh Kudus, dan memadamkan Roh Kudus, dan membuat suatu ejekan tentang rancangan penebusan yang agung, yang telah diwujudkan bagimu?

9 Tidak tahukah kamu bahawa jika kamu akan melakukan hal-hal ini, maka kuasa penebusan dan kebangkitan, yang ada di dalam Kristus, akan membawamu berdiri dengan rasa malu dan rasa bersalah yang menyeramkan di hadapan susuran penghakiman Tuhan?

10 Dan menurut kuasa keadilan, kerana keadilan tidak dapat ditolak, kamu mesti pergi ke dalam tasik api dan belerang itu, yang nyala apinya tidak dapat dipadamkan, dan yang asapnya naik selama-lamanya, yang tasik api dan belerang itu adalah seksaan tanpa akhir.

11 Wahai, maka, saudara-saudaraku yang dikasihi, bertaubatlah kamu, dan masuklah ke dalam di gerbang yang kecil, dan teruslah dalam jalan yang sempit, sampai kamu akan mendapatkan kehidupan kekal.

12 Ya jadilah bijak; apa yang dapat aku katakan lagi?

13 Akhirnya, aku ucapkan kepadamu selamat berpisah, sampai aku akan bertemu denganmu di hadapan susuran penghakiman Tuhan yang menyenangkan, yang susuran penghakiman itu menyerang yang jahat dengan rasa ngeri dan rasa takut yang menyeramkan. Amin.