Bab 63
Siblon dan selepas itu, Helaman, mengambil tanggungjawab penjagaan catatan-catatan suci—Banyak bangsa Nefi pergi ke negeri di sebelah utara—Hagot membina kapal-kapal, yang berlayar di laut barat—Moroniha mengalahkan bangsa Laman dalam pertempuran. Kira-kira 56–52 tahun S.M.
1 Dan terjadilah pada permulaan tahun ketiga puluh dan enam zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi, bahawa Siblon mengambil tanggungjawab penjagaan benda-benda suci itu yang telah diserahkan kepada Helaman oleh Alma.
2 Dan dia seorang lelaki yang soleh, dan dia berjalan dengan tegak lurus di hadapan Tuhan; dan dia berusaha keras untuk melakukan kebaikan secara berterusan, untuk mentaati perintah-perintah Tuhan Rajanya; dan juga saudaranya.
3 Dan terjadilah bahawa Moroni mati juga. Dan demikianlah berakhirnya tahun ketiga puluh dan enam zaman pemerintahan hakim-hakim.
4 Dan terjadilah bahawa pada tahun ketiga puluh dan tujuh zaman pemerintahan hakim-hakim, ada serombongan besar lelaki, bahkan berjumlah lima ribu dan empat ratus orang, bersama isteri-isteri dan anak-anak mereka, berangkat dari negeri Zarahemla ke negeri yang berada di sebelah utara.
5 Dan terjadilah bahawa Hagot, dia seorang lelaki yang amat ingin tahu, oleh itu dia pergi dan membina bagi dirinya sebuah kapal yang amat besar, di sempadan negeri Kelimpahan, dekat negeri Kemusnahan, dan melancarkannya ke laut barat, dekat genting yang menuju ke negeri di sebelah utara.
6 Dan lihatlah, ada banyak daripada bangsa Nefi yang masuk ke dalamnya dan belayar dengan banyak bekalan, dan juga banyak wanita dan anak-anak; dan mereka mengarahkan perjalanan mereka ke sebelah utara. Dan demikianlah berakhirnya tahun ketiga puluh dan tujuh.
7 Dan pada tahun ketiga puluh dan lapan, lelaki ini membina kapal-kapal yang lain. Dan kapal yang pertama juga kembali, dan banyak lagi orang yang masuk ke dalamnya; dan mereka juga membawa banyak bekalan, dan berangkat lagi ke negeri di sebelah utara.
8 Dan terjadilah bahawa tidak lagi terdengar khabar daripada mereka. Dan kami mengira bahawa mereka tenggelam di kedalaman laut. Dan terjadilah bahawa sebuah kapal yang lain juga berlayar; dan ke mana ianya pergi kami tidak tahu.
9 Dan terjadilah bahawa pada tahun ini ada banyak orang yang pergi ke negeri di sebelah utara. Dan demikianlah berakhirnya tahun ketiga puluh dan lapan.
10 Dan terjadilah pada tahun ketiga puluh dan sembilan zaman pemerintahan hakim-hakim, Siblon mati juga, dan Korianton telah pergi ke negeri di sebelah utara di dalam sebuah kapal, untuk membawa bekalan kepada orang yang telah pergi ke negeri itu.
11 Oleh itu menjadi perlu bagi Siblon untuk menurunkan benda-benda suci itu, sebelum kematiannya, kepada putera Helaman, yang bernama Helaman, dinamakan menurut nama ayahnya.
12 Sekarang, lihatlah, semua ukiran itu yang ada dalam pemilikan Helaman ditulis dan dihantar ke kalangan anak-anak manusia di seluruh negeri, kecuali ke bahagian-bahagian yang telah diperintahkan oleh Alma hendaknya tidak disebarluaskan.
13 Walaupun demikian, benda-benda ini mesti dilindungi kesuciannya, dan diturunkan dari satu generasi kepada yang lain; oleh itu, pada tahun ini, benda-benda itu diturunkan kepada Helaman, sebelum kematian Siblon.
14 Dan terjadilah juga pada tahun ini bahawa ada beberapa orang pembelot yang telah pergi kepada bangsa Laman; dan mereka dihasut lagi menjadi marah terhadap bangsa Nefi.
15 Dan juga pada tahun yang sama ini mereka datang dengan sebuah tentera berjumlah besar untuk berperang melawan orang Moroniha, atau melawan tentera Moroniha, yang di dalamnya mereka dikalahkan dan dihalau kembali lagi ke negeri mereka sendiri, mengalami banyak kehilangan nyawa.
16 Dan demikianlah berakhirnya tahun ketiga puluh dan sembilan zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi.
17 Dan demikianlah berakhirnya laporan Alma, dan Helaman puteranya, dan juga Siblon, iaitu puteranya.