Bab 60
Moroni membuat aduan kepada Pahoran tentang sifat tidak peduli kerajaan terhadap tentera-tentera—Tuhan membiarkan yang soleh dibunuh—Bangsa Nefi mesti menggunakan seluruh kekuatan dan sumber mereka untuk membebaskan diri mereka daripada musuh mereka—Moroni mengancam untuk berperang melawan kerajaan kecuali bantuan diberi kepada tenteranya. Kira-kira 62 tahun S.M.
1 Dan terjadilah bahawa dia menulis lagi kepada pentadbir negeri, iaitu Pahoran, dan inilah perkataan-perkataan yang dia tulis, berbunyi: Lihatlah, aku tujukan suratku kepada Pahoran, di kota Zarahemla, iaitu hakim utama dan pentadbir atas negeri, dan juga kepada mereka semua yang telah dipilih oleh rakyat ini untuk mentadbir dan mengelola urusan peperangan ini.
2 Kerana lihatlah, aku memiliki sedikit untuk dikatakan kepada mereka dengan cara kecaman; kerana lihatlah, kamu sendiri tahu bahawa kamu telah dilantik untuk mengumpulkan bersama kaum lelaki, dan mempersenjatai mereka dengan pedang, dan dengan golok, dan segala macam senjata peperangan daripada setiap jenis, dan menghantar untuk melawan bangsa Laman, di bahagian-bahagian mana pun mereka akan masuk ke dalam negeri kita.
3 Dan sekarang lihatlah, aku berkata kepadamu bahawa aku sendiri, dan juga orangku, dan juga Helaman dan orangnya, telah menderita penderitaan yang amat hebat; ya, bahkan kelaparan, kehausan, dan keletihan, dan segala macam kesengsaraan daripada setiap jenis.
4 Tetapi lihatlah, seandainya ini segalanya yang telah kami derita kami tidak akan merungut tidak juga mengeluh.
5 Tetapi lihatlah, hebatnya pembantaian yang telah terjadi di kalangan bangsa kita; ya, ribuan telah jatuh oleh pedang, padahal keadaan ini mungkin berbeza jika kamu telah memberikan kepada tentera kami cukup kekuatan dan bantuan bagi mereka. Ya, besarlah pengabaianmu terhadap kami.
6 Dan sekarang, lihatlah, kami berhasrat untuk mengetahui alasan bagi pengabaian yang amat besar ini; ya, kami berhasrat untuk mengetahui alasan bagi keadaan ketidakpedulianmu.
7 Dapatkah kamu berfikir untuk duduk di atas takhtamu dalam suatu keadaan tidak sedar kerana tidak peduli, sementara musuhmu sedang menyebar pekerjaan kematian di sekitarmu? Ya, sementara mereka sedang membunuh ribuan saudaramu—
8 Ya, bahkan mereka yang telah memandang kepadamu untuk perlindungan ya, telah menempatkanmu dalam suatu keadaan di mana kamu dapat membantu mereka, ya, kamu dapat menghantar tentera-tentera kepada mereka, untuk memperkuat mereka, dan menyelamatkan ribuan di antara mereka daripada jatuh oleh pedang.
9 Tetapi lihatlah, ini bukanlah semuanya—kamu telah menahan bekalanmu dari mereka, sedemikian rupa sehingga banyak yang telah berperang dan menumpahkan darah mereka kerana hasrat mereka yang besar yang mereka miliki demi kesejahteraan bangsa ini; ya, dan ini telah mereka lakukan ketika mereka hampir binasa kerana kelaparan, kerana pengabaianmu yang amat besar terhadap mereka.
10 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi—kerana kamu seharusnya dikasihi; ya, dan kamu seharusnya telah menggugah dirimu dengan lebih tekun demi kesejahteraan dan kebebasan bangsa ini; tetapi lihatlah, kamu telah mengabaikan mereka sedemikian rupa sehingga darah ribuan orang akan datang ke atas kepalamu untuk pembalasan dendam; ya, kerana diketahui Tuhan semua seruan mereka, dan segala penderitaan mereka—
11 Lihatlah, dapatkah kamu mengira bahawa kamu dapat duduk di atas takhtamu, dan kerana kebaikan besar Tuhan kamu dapat tidak melakukan apa pun dan Dia akan membebaskanmu? Lihatlah, jika kamu telah mengira ini kamu telah mengira dengan sia-sia.
12 Adakah kamu mengira bahawa, kerana sedemikian banyaknya daripada saudaramu telah terbunuh hal itu disebabkan oleh kejahatan mereka? Aku berkata kepadamu, jika kamu telah mengira ini kamu telah mengira dengan sia-sia; kerana aku berkata kepadamu, ada banyak yang telah jatuh oleh pedang; dan lihatlah hal itu mengakibatkan hukumanmu;
13 Kerana Tuhan membiarkan yang soleh dibunuh agar keadilan dan penghakiman-Nya boleh datang ke atas yang jahat; oleh itu kamu tidak perlu mengira bahawa yang soleh hilang kerana mereka terbunuh; tetapi lihatlah, mereka masuk ke dalam peristirahatan Tuhan Raja mereka.
14 Dan sekarang, lihatlah, aku berkata kepadamu, aku berasa amat takut bahawa penghakiman Tuhan akan datang ke atas bangsa ini, kerana kemalasan mereka yang amat sangat, ya, bahkan kemalasan kerajaan kita, dan pengabaian mereka yang amat besar terhadap saudara-saudara mereka, ya, terhadap mereka yang telah terbunuh.
15 Kerana seandainya bukan kerana kejahatan yang pada awalnya bermula daripada ketua-ketua kita, kita mungkin dapat menahan musuh kita sehingga mereka tidak dapat menguasai diri kita.
16 Ya, jika bukan kerana peperangan yang tercetus di kalangan kita sendiri; ya, seandainya bukan kerana para penyokong raja ini, yang menyebabkan sedemikian banyaknya pertumpahan darah di kalangan kita sendiri; ya, pada waktu kita berselisihan di kalangan kita sendiri, jika kita telah menyatukan kekuatan kita seperti hingga kini telah kita lakukan; ya, jika bukan kerana hasrat akan kekuasaan dan wewenang yang para penyokong raja miliki atas diri kita; seandainya mereka setia pada perjuangan kebebasan kita, dan bersatu dengan kita, dan pergi melawan musuh kita, dan tidak mengangkat pedang mereka melawan kita, yang menjadi sebab sedemikian banyaknya pertumpahan darah di kalangan kita sendiri; ya, jika kita telah pergi melawan mereka dalam kekuatan Tuhan, kita semestinya telah menyelerakkan musuh kita, kerana hal itu akan terjadi, menurut penggenapan firman-Nya.
17 Tetapi lihatlah, sekarang bangsa Laman menyerang kita, menguasai wilayah-wilayah kita, dan mereka membunuh rakyat kita dengan pedang, ya, kaum wanita kita dan anak-anak kita, dan juga membawa mereka pergi tertawan, menyebabkan mereka menderita segala macam kesengsaraan, dan ini kerana kejahatan besar mereka yang mengupayakan kekuasaan dan wewenang, ya, bahkan para penyokong raja itu.
18 Tetapi mengapa aku mesti berkata banyak berkenaan masalah ini? Kerana kami tidak tahu, barangkali kamu sendiri sedang mengupayakan wewenang. Kami tidak tahu, barangkali kamu juga pengkhianat terhadap negerimu.
19 Atau adakah kamu telah mengabaikan kami kerana kamu berada di tengah-tengah negeri kita dan kamu dikelilingi oleh keamanan, sehingga kamu tidak menyuruh supaya makanan dihantarkan kepada kami, dan juga orang untuk memperkuat tentera-tentera kami?
20 Adakah kamu telah melupakan perintah-perintah Tuhan Rajamu? Ya, adakah kamu telah melupakan penawanan nenek moyang kita? Adakah kamu telah melupakan bahawa kita telah dibebaskan daripada tangan musuh kita berulang kalinya?
21 Atau adakah kamu mengira bahawa Tuhan masih akan membebaskan kita, sementara kita duduk di atas takhta kita dan tidak menggunakan sarana yang telah Tuhan sediakan bagi kita?
22 Ya, akankah kamu duduk dalam kemalasan sementara kamu dikelilingi oleh beribu-ribu daripada mereka, ya, dan berpuluh-puluh ribu, yang juga duduk dalam kemalasan, sementara ada beribu-ribu di sekitarnya di sempadan-sempadan negeri yang sedang jatuh oleh pedang, ya, terluka dan berdarah?
23 Adakah kamu mengira bahawa Tuhan akan memandangmu sebagai tak bersalah sementara kamu duduk berdiam sahaja dan melihat hal-hal ini? Lihatlah aku berkata kepadamu, Tidak. Sekarang, aku menghendaki agar kamu hendaknya ingat bahawa Tuhan telah berfirman bahawa bahagian dalam bejana akan dibersihkan terlebih dahulu, dan kemudian akanlah bahagian luar bejana dibersihkan juga.
24 Dan sekarang, kecuali kamu bertaubat akan apa yang telah kamu lakukan, dan mula bangkit dan bergiat dan menghantar makanan dan orang kepada kami, dan juga kepada Helaman, agar dia boleh mendukung bahagian-bahagian itu di negeri kita yang telah dia peroleh kembali, dan agar kita juga boleh mendapatkan kembali sisa wilayah-wilayah kita di bahagian-bahagian ini, lihatlah akanlah wajar bahawa kita jangan bertempur lagi melawan bangsa Laman sebelum kita telah terlebih dahulu membersihkan bahagian dalam bejana kita, ya, bahkan ketua utama kerajaan kita.
25 Dan kecuali kamu mengabulkan permintaan dalam suratku, dan keluar dan memperlihatkan kepadaku semangat kebebasan yang sejati, dan berusaha untuk memperkuat dan mengubui tentera kami, dan memberi mereka makanan untuk tunjangan mereka, lihatlah aku akan meninggalkan sebahagian daripada para penyokong kebebasan untuk mempertahan bahagian ini di negeri kita, dan aku akan meninggalkan kekuatan dan berkat-berkat Tuhan ke atas diri mereka, agar tiada kekuatan lain dapat bekerja melawan mereka—
26 Dan ini kerana iman mereka yang besar, dan kesabaran mereka dalam kesengsaraan mereka—
27 Dan aku akan datang kepadamu, dan jika ada seorang pun di antara kamu yang berhasrat untuk kebebasan, ya, jika ada bahkan sepercik kebebasan yang tertinggal, lihatlah aku akan membangkitkan pembelotan di kalangan kamu, bahkan sampai mereka yang memiliki hasrat untuk merebut kekuasaan dan wewenang akan menjadi pupus.
28 Ya, lihatlah aku tidak takut akan kekuasaanmu atau wewenangmu, tetapi Tuhankulah yang aku takuti; dan menurut perintah-perintah-Nyalah maka aku mengangkat pedangku untuk membela perjuangan negeriku, dan disebabkan kederhakaanmu maka kami telah menderita sedemikian banyaknya kekalahan.
29 Lihatlah inilah waktunya, ya, waktunya sekarang di depan mata, bahawa kecuali kamu menggugah dirimu dalam pembelaan negerimu dan anak-anak kecilmu, pedang keadilan mengancam dirimu; ya, dan pedang akan jatuh ke atas dirimu dan mengunjungimu bahkan pada kehancuranmu sepenuhnya.
30 Lihatlah, aku menunggu pertolongan daripadamu; dan, kecuali kamu memberikan pertolongan untuk membantu kami, lihatlah, aku datang kepadamu, bahkan di negeri Zarahemla, dan menghentammu dengan pedang, sedemikian rupa sehingga kamu tidak dapat memiliki kekuasaan lagi untuk menghalang kemajuan bangsa ini dalam perjuangan kebebasan kita.
31 Kerana lihatlah, Tuhan tidak akan membiarkan bahawa kamu akan hidup dan menjadi kuat dalam kederhakaanmu untuk menghancurkan umat-Nya yang soleh.
32 Lihatlah, dapatkah kamu mengira bahawa Tuhan akan membiarkanmu hidup dan menjalankan penghakiman terhadap bangsa Laman, ketika adalah adat resam nenek moyang mereka yang telah menyebabkan kebencian mereka, ya, dan perasaan itu telah dilipatgandakan oleh mereka yang telah membelot dari kita, sementara kederhakaanmu disebabkan cintamu akan kemuliaan dan apa yang sia-sia di dunia?
33 Kamu tahu bahawa kamu melanggar hukum-hukum Tuhan, dan kamu tahu bahawa kamu memijak-mijaknya di bawah kakimu. Lihatlah, Tuhan berfirman kepadaku: Jika mereka yang telah kamu lantik sebagai pentadbir-pentadbirmu tidak bertaubat akan dosa dan kederhakaan mereka, kamu akan pergi bertempur melawan mereka.
34 Dan sekarang, lihatlah, aku, Moroni, didesak, menurut perjanjian yang telah aku buat untuk mentaati perintah-perintah Tuhanku; oleh itu aku menghendaki agar kamu hendaknya berpegang pada firman Tuhan, dan menghantar selekasnya kepadaku sebahagian daripada bekalanmu dan sebahagian daripada orangmu, dan juga kepada Helaman.
35 Dan lihatlah, jika kamu tidak akan melakukan ini aku datang kepadamu dengan segera; kerana lihatlah, Tuhan tidak akan membiarkan bahawa kami akan binasa akibat kelaparan; oleh itu Dia akan memberikan kepada kami daripada makananmu, bahkan jika itu mesti dengan pedang. Sekarang, pastikanlah agar kamu menggenapi firman Tuhan.
36 Lihatlah, aku Moroni, panglima utamamu. Aku tidak mengupayakan kekuasaan, tetapi untuk meruntuhkannya. Aku tidak mengupayakan kehormatan dunia, tetapi kemuliaan Tuhanku, dan kebebasan dan kesejahteraan negeriku. Dan demikianlah aku menutup suratku.