Bab 46
Amalikia berkomplot untuk menjadi raja—Moroni mengangkat panji kemerdekaan—Dia memberi semangat kepada umat itu untuk mempertahan agama mereka—Orang yang benar-benar percaya digelar orang Kristian—Bani Yusuf yang selebihnya akan dilindungi—Amalikia dan para pembelot melarikan diri ke negeri Nefi—Mereka yang tidak mahu menyokong perjuangan kebebasan dihukum mati. Kira-kira 73–72 tahun S.M.
1 Dan terjadilah bahawa sebanyak mana yang tidak mahu mendengar kata-kata Helaman dan saudara-saudaranya berkumpul bersama menentang saudara-saudara mereka.
2 Dan sekarang, lihatlah, mereka amat berang, sedemikian rupa sehingga mereka bertekad untuk membunuh mereka.
3 Sekarang, pemimpin orang yang berang terhadap saudara-saudara mereka ialah seorang lelaki yang besar dan yang kuat; dan namanya Amalikia.
4 Dan Amalikia berhasrat untuk menjadi seorang raja; dan orang yang berang itu juga berhasrat agar dia hendaknya menjadi raja mereka; dan mereka, bahagian yang lebih banyak daripada mereka merupakan hakim-hakim yang lebih rendah di negeri itu, dan mereka sedang mencari kekuasaan.
5 Dan mereka telah dipengaruhi oleh kata-kata Amalikia yang mengangkat, bahawa jika mereka akan menyokongnya dan menetapkannya sebagai raja mereka maka dia akan menjadikan mereka penguasa atas bangsa itu.
6 Demikianlah mereka disesatkan oleh Amalikia kepada pembelotan, tidak mengira pengkhutbahan Helaman dan saudara-saudaranya, ya, tidak mengira penjagaan mereka yang amat banyak atas gereja, kerana mereka itu para imam tinggi atas gereja.
7 Dan ada banyak di gereja yang percaya pada kata-kata Amalikia yang mengangkat, oleh itu mereka membelot bahkan daripada gereja; dan demikianlah urusan bangsa Nefi amat genting dan berbahaya, tidak mengira kemenangan besar mereka yang telah mereka peroleh atas bangsa Laman, dan kesukacitaan besar mereka yang telah mereka peroleh kerana pembebasan mereka oleh tangan Tuhan.
8 Demikianlah kita melihat betapa cepatnya anak-anak manusia melupakan Tuhan Raja mereka, ya, betapa cepatnya untuk melakukan kederhakaan, dan untuk disesatkan oleh si jahat.
9 Ya, dan kita juga melihat kejahatan besar yang satu orang yang sangat jahat dapat sebabkan terjadi di kalangan anak-anak manusia.
10 Ya, kita melihat bahawa Amalikia, kerana dia orang yang penuh muslihat yang licik dan orang yang mengucapkan banyak kata-kata yang mengangkat, sehingga dia menyesatkan hati banyak orang untuk melakukan kejahatan; ya, dan berupaya untuk menghancurkan gereja Tuhan, dan untuk menghancurkan asas kemerdekaan yang telah Tuhan berikan kepada mereka, atau berkat itu yang telah Tuhan hantarkan ke atas permukaan negeri itu demi kepentingan orang soleh.
11 Dan sekarang, terjadilah bahawa ketika Moroni, yang merupakan ketua utama tentera-tentera bangsa Nefi, telah mendengar tentang pembelotan-pembelotan ini, dia marah terhadap Amalikia.
12 Dan terjadilah bahawa dia mengoyakkan jubahnya; dan dia mengambil secebis darinya, dan menulis di atasnya—Sebagai ingatan akan Tuhan kita, agama kita, dan kebebasan, dan kedamaian kita, isteri-isteri kita, dan anak-anak kita—dan dia mengikatkannya pada hujung sebatang galah.
13 Dan dia mengikatkan ketopong besinya, dan perisai dadanya, dan perisainya, dan mengikatkan baju zirahnya di sekitar auratnya; dan dia mengambil galah itu, yang ada pada hujungnya jubahnya yang koyak, (dan dia menggelarnya panji kemerdekaan) dan dia membongkokkan dirinya ke tanah, dan dia berdoa dengan amat kuat kepada Tuhannya agar berkat-berkat kemerdekaan singgah atas saudara-saudaranya, selama adanya sekelompok orang Kristian yang tetap menguasai negeri itu—
14 Kerana demikianlah semua orang yang benar-benar percaya kepada Kristus, yang masuk dalam gereja Tuhan, digelar oleh mereka yang tidak masuk dalam gereja.
15 Dan mereka yang menganggotai gereja adalah setia; ya, mereka semua yang merupakan orang yang benar-benar percaya kepada Kristus mengambil ke atas diri mereka, dengan gembira, nama Kristus, atau orang Kristian sebagaimana mereka digelar, kerana kepercayaan mereka kepada Kristus yang akan datang.
16 Dan oleh itu, pada waktu ini, Moroni berdoa agar perjuangan orang Kristian, dan kebebasan negeri akan disokong.
17 Dan terjadilah bahawa ketika dia telah mencurahkan jiwanya kepada Tuhan, dia menamakan seluruh negeri yang berada di selatan negeri Kemusnahan, ya, dan kesimpulannya, seluruh negeri itu, baik di utara mahupun di selatan—Sebuah negeri terpilih, dan negeri kemerdekaan.
18 Dan dia berkata: Pastilah Tuhan tidak akan membiarkan bahawa kita, yang dikeji kerana kita mengambil ke atas diri kita nama Kristus, akan diinjak-injak dan dihancurkan, sampai kita mendatangkannya ke atas diri kita kerana pelanggaran kita sendiri.
19 Dan ketika Moroni telah mengucapkan perkataan-perkataan ini, dia pergi ke kalangan orang, melambaikan bahagian yang terkoyak dari pakaiannya di udara, agar semua boleh melihat tulisan yang telah dia tuliskan di atas bahagian yang terkoyak itu, dan berseru dengan suara yang kuat, mengatakan:
20 Lihatlah, barang siapa yang mahu mempertahan panji ini di atas negeri ini, biarlah mereka tampil dalam kekuatan Tuhan, dan masuk ke dalam sebuah perjanjian bahawa mereka akan mempertahan hak mereka, dan agama mereka, agar Tuhan Raja boleh memberkati mereka.
21 Dan terjadilah bahawa ketika Moroni telah mengisytiharkan perkataan-perkataan ini, lihatlah, orang datang berlarian bersama baju zirah mereka terikat di sekitar aurat mereka, mengoyakkan pakaian mereka sebagai lambang, atau sebagai sebuah perjanjian, bahawa mereka tidak akan meninggalkan Tuhan Raja mereka; atau, dengan kata-kata lain, jika mereka melanggar perintah-perintah Tuhan, atau jatuh ke dalam pelanggaran, dan malu mengambil pada diri mereka nama Kristus, Tuhan akan mengoyakkan mereka bahkan seperti mereka telah mengoyak pakaian mereka.
22 Sekarang, inilah perjanjian yang mereka buat, dan mereka melemparkan pakaian mereka ke kaki Moroni, mengatakan: Kami membuat perjanjian dengan Tuhan kami, bahawa kami akan dihancurkan, bahkan seperti saudara-saudara kami di negeri sebelah utara, jika kami jatuh ke dalam pelanggaran; ya, Dia boleh melemparkan kami ke kaki musuh kami, bahkan sebagaimana kami telah melemparkan pakaian kami ke kakimu untuk diinjak-injak di bawah kaki, jika kami jatuh ke dalam pelanggaran.
23 Moroni berkata kepada mereka: Lihatlah, kita adalah keturunan Yakub yang selebihnya, ya, kita adalah keturunan Yusuf yang selebihnya, yang jubahnya dikoyak-koyakkan oleh saudara-saudaranya menjadi banyak cabik; ya, dan sekarang lihatlah, marilah kita ingat untuk mentaati perintah-perintah Tuhan, atau pakaian kita akan dikoyak-koyak oleh saudara-saudara kita, dan kita dilemparkan ke dalam penjara, atau dijual, atau dibunuh.
24 Ya, marilah kita memelihara kemerdekaan kita sebagai bani Yusuf yang selebihnya; ya, marilah kita mengingati perkataan-perkataan Yakub, sebelum kematiannya, kerana lihatlah, dia melihat bahawa sebahagian sisa jubah Yusuf telah dipelihara dan tidak reput. Dan dia berkata—Bahkan sebagaimana sisa pakaian anak lelakiku ini telah dipelihara, demikian jugalah keturunan anak lelakiku yang selebihnya akan dipelihara oleh tangan Tuhan, dan diambil bagi diri-Nya sendiri, sementara keturunan Yusuf yang selebihnya akan binasa, bahkan seperti sisa pakaiannya.
25 Sekarang, lihatlah, ini memberi jiwaku dukacita; walaupun demikian, jiwaku merasakan sukacita dalam diri anak lelakiku, kerana bahagian itu daripada keturunannya yang akan dibawa kepada Tuhan.
26 Sekarang, lihatlah, inilah cara berbahasa Yakub.
27 Dan sekarang, entahlah jika mungkin keturunan Yusuf yang selebihnya, yang akan binasa seperti pakaiannya, adalah mereka yang telah membelot daripada kita? Ya, dan bahkan diri kita sendiri juga jika kita tidak berdiri teguh dalam iman kepada Kristus.
28 Dan sekarang, terjadilah bahawa ketika Moroni telah mengucapkan perkataan-perkataan ini dia pergi, dan juga mengutus ke semua bahagian negeri di mana ada pembelotan, dan mengumpulkan bersama semua orang yang berhasrat untuk mempertahan kemerdekaan mereka, untuk berdiri melawan Amalikia dan mereka yang telah membelot, yang dipanggil orang Amalikia.
29 Dan terjadilah bahawa ketika Amalikia melihat bahawa orang Moroni lebih banyak jumlahnya daripada orang Amalikia—dan dia juga melihat bahawa orangnya penuh ragu berkenaan kebenaran perjuangan itu yang telah mereka upayakan—oleh itu, takut bahawa dia tidak akan mencapai sasaran, dia membawa mereka yang mahu ikut daripada orangnya dan pergi ke negeri Nefi.
30 Sekarang, Moroni berfikir tidaklah wajar bahawa bangsa Laman akan memperoleh lebih banyak kekuatan lagi; oleh itu dia berfikir untuk memotong jalan orang Amalikia, atau untuk menangkap mereka dan membawa mereka kembali, dan menghukum mati Amalikia; ya, kerana dia tahu bahawa dia akan menghasut bangsa Laman menjadi marah terhadap mereka, dan menyebabkan mereka datang untuk bertempur melawan mereka; dan ini dia tahu bahawa Amalikia akan melakukannya agar dia boleh mencapai tujuannya.
31 Oleh itu Moroni berfikir adalah wajar bahawa dia patut membawa tentera-tenteranya, yang telah berkumpul bersama, dan mempersenjatai diri mereka, dan masuk ke dalam sebuah perjanjian untuk menjaga perdamaian—dan terjadilah bahawa dia membawa tentera-tenteranya dan berkawat keluar bersama khemah-khemahnya ke padang belantara, untuk memotong laluan Amalikia di padang belantara.
32 Dan terjadilah bahawa dia melakukan menurut hasratnya, dan berkawat pergi ke padang belantara, dan memintas tentera Amalikia.
33 Dan terjadilah bahawa Amalikia melarikan diri dengan sejumlah kecil orangnya, dan yang tertinggal diserahkan ke dalam tangan Moroni dan dibawa kembali ke negeri Zarahemla.
34 Sekarang, Moroni kerana dialah lelaki yang dilantik oleh para hakim utama dan suara rakyat, oleh itu dia memiliki kuasa menurut kehendaknya terhadap tentera-tentera bangsa Nefi, untuk menegakkan wewenang dan untuk mengenakannya pada diri mereka.
35 Dan terjadilah bahawa siapa pun di antara orang Amalikia yang tidak mahu masuk ke dalam sebuah perjanjian untuk menyokong perjuangan kebebasan, agar mereka boleh mempertahan sebuah pemerintahan yang bebas, dia suruh dihukum mati; dan hanya ada sedikit yang menolak perjanjian kebebasan.
36 Dan terjadilah juga, bahawa dia menyuruh supaya panji kemerdekaan dikibarkan di atas setiap menara yang ada di seluruh negeri, yang dimiliki oleh bangsa Nefi; dan demikianlah Moroni memasang panji kemerdekaan di kalangan bangsa Nefi.
37 Dan mereka mula mengalami kedamaian lagi di negeri itu; dan demikianlah mereka memelihara mempertahan kedamaian di negeri itu sampai hampir akhir tahun kesembilan belas zaman pemerintahan hakim-hakim.
38 Dan Helaman dan para imam tinggi juga memelihara ketertiban di dalam gereja; ya, bahkan untuk tempoh masa empat tahun mereka mengalami banyak kedamaian dan kesukacitaan dalam gereja.
39 Dan terjadilah bahawa ada banyak yang mati, dengan teguh mempercayai bahawa jiwa mereka ditebus oleh Tuhan Yesus Kristus; demikianlah mereka pergi meninggalkan dunia dengan bersukacita.
40 Dan ada beberapa yang mati akibat demam, yang pada musim tertentu dalam tahun itu terjadi sangat kerap di negeri itu—tetapi tidak begitu banyak yang demikian akibat demam, kerana mutu yang unggul yang ada pada banyak tumbuhan dan akar yang telah Tuhan persiapkan untuk membasmi sebab penyakit, yang menguasai manusia akibat sifat iklim—
41 Tetapi ada banyak yang mati kerana usia tua; dan mereka yang mati dalam iman kepada Kristus berbahagia di dalam Dia, seperti yang mesti perlu kita kira.