Bab 7
Satu undangan diberikan untuk masuk ke dalam istirahat Tuhan—Berdoalah dengan niat yang sungguh-sungguh—Roh Kristus membolehkan manusia untuk mengetahui kebaikan daripada kejahatan—Setan memujuk manusia untuk menyangkal Kristus dan melakukan kejahatan—Para nabi menyatakan kedatangan Kristus—Melalui iman, mukjizat-mukjizat dijalankan dan para malaikat melayani—Manusia haruslah mengharapkan kehidupan abadi dan memeluk kasih ihsan. Kira-kira 401–421 tahun M.
1 Dan sekarang, aku, Moroni, menuliskan sedikit perkataan ayahku Mormon, yang dia ucapkan tentang iman, harapan, dan kasih ihsan; kerana dengan cara inilah dia telah berbicara kepada orang ramai, sewaktu dia mengajar mereka di dalam rumah ibadat yang telah mereka bangunkan untuk tempat penyembahan.
2 Dan sekarang, aku, Mormon, berbicara kepadamu, saudara-saudaraku yang dikasihi; dan melalui rahmat Tuhan Bapa, dan Tuhan kita Yesus Kristus, dan kehendak kudus-Nya, kerana kurnia pemanggilan-Nya kepadaku, maka aku diizinkan untuk berbicara kepadamu pada waktu ini.
3 Oleh itu, aku hendak berbicara kepadamu yang adalah dari gereja ini, yang merupakan para pengikut Kristus yang damai, dan yang telah mendapatkan sebuah harapan yang mencukupi yang melaluinya kamu dapat masuk ke dalam istirahat Tuhan, sejak dari waktu ini sehinggalah kamu akan beristirahat bersama-Nya di dalam syurga.
4 Dan sekarang, saudara-saudaraku, aku menilai hal-hal ini tentang kamu kerana jalanmu yang damai bersama anak-anak manusia.
5 Kerana aku teringat firman Tuhan yang berfirman melalui pekerjaan mereka kamu akan mengenali mereka; kerana jika pekerjaan mereka baik, maka mereka ialah baik juga.
6 Kerana lihatlah, Tuhan telah berfirman seseorang yang jahat tidak dapat melakukan perkara yang baik; kerana jika dia mempersembahkan sesuatu pemberian, atau berdoa kepada Tuhan, kecuali dia akan melakukannya dengan niat yang bersungguh-sungguh ia tidak akan menguntungkan apa pun kepada dirinya.
7 Kerana lihatlah, ianya tidak dikira sebagai kesolehan kepadanya.
8 Kerana lihatlah, jika orang yang jahat memberikan pemberian, dia melakukannya dengan berat hati; oleh itu ianya akan dianggap sama seperti dia telah menahan pemberian tersebut; oleh itu dia dianggap jahat di hadapan Tuhan.
9 Dan demikian juga seseorang itu dianggap jahat, jika dia akan berdoa tetapi tidak dengan niat hati yang bersungguh-sungguh; ya, dan itu tidak akan menguntungkan apa pun terhadap dirinya, kerana Tuhan tidak menerima orang yang sedemikian.
10 Oleh itu, seseorang yang jahat tidak dapat melakukan apa yang baik; tidak juga akan dia memberikan pemberian yang baik.
11 Kerana lihatlah, sumber air yang pahit tidak dapat menghasilkan air yang baik; tidak juga sebuah sumber air yang baik dapat menghasilkan air yang pahit; oleh itu, seseorang yang menjadi hamba iblis tidak dapat mengikuti Kristus, dan jika dia mengikuti Kristus dia tidak boleh menjadi hamba iblis.
12 Oleh itu, segala sesuatu yang baik datang daripada Tuhan; dan perkara yang jahat datang daripada iblis; kerana iblis ialah musuh kepada Tuhan, dan menentang-Nya secara berterusan, dan mengajak dan memujuk untuk berdosa, dan untuk melakukan perkara yang jahat secara berterusan.
13 Tetapi lihatlah, apa pun daripada Tuhan mengajak dan memujuk untuk melakukan kebaikan secara berterusan; oleh itu, setiap hal yang mengajak dan memujuk untuk melakukan kebaikan, dan untuk mengasihi Tuhan, dan untuk melayani-Nya, diilhami oleh Tuhan.
14 Oleh itu, berhati-hatilah, saudara-saudaraku yang dikasihi, agar kamu tidak menilai apa pun yang jahat itu adalah daripada Tuhan, atau apa pun yang baik dan daripada Tuhan itu adalah daripada iblis.
15 Kerana lihatlah, saudara-saudaraku, dibenarkan kepadamu untuk menilai, agar kamu boleh mengetahui kebaikan daripada kejahatan; dan cara untuk menilai adalah jelas, supaya kamu boleh mengetahui dengan sebuah pengetahuan yang sempurna, seperti cahaya siang daripada kegelapan malam.
16 Kerana lihatlah, Roh Kristus diberikan kepada setiap orang, agar dia boleh mengetahui kebaikan daripada kejahatan; oleh itu, aku menunjukkan kepadamu cara untuk menilai; kerana setiap hal yang mengajak untuk melakukan kebaikan, dan mendorong untuk percaya kepada Kristus, telah dihantar melalui kuasa dan kurnia Kristus; oleh itu kamu boleh mengetahui dengan suatu pengetahuan yang sempurna ianya adalah daripada Tuhan.
17 Tetapi apa pun yang mendorong manusia untuk melakukan kejahatan, dan tidak mempercayai Kristus, dan menyangkal-Nya, dan tidak melayani Tuhan, maka kamu boleh mengetahui dengan suatu pengetahuan yang sempurna ianya adalah daripada iblis; kerana dengan cara inilah iblis bekerja, kerana dia tidak mendorong sesiapa pun untuk melakukan kebaikan, tidak, tidak seorang pun; begitu juga para malaikatnya; begitu juga mereka yang mengabdikan diri mereka kepadanya.
18 Dan sekarang, saudara-saudaraku, melihatkan bahawa kamu mengenali cahaya yang melaluinya kamu dapat menilai, yang cahaya itu adalah cahaya Kristus, pastikanlah agar kamu tidak menilai dengan salah; kerana dengan penilaian yang sama yang kamu hakimi itu kamu juga akan dihakimi.
19 Oleh itu, aku memohon kepadamu, saudara-saudara, agar kamu harus menyelidiki dengan tekun dalam cahaya Kristus agar kamu boleh mengetahui kebaikan daripada kejahatan; dan jika kamu akan berpegang pada setiap hal yang baik, dan tidak mengutuknya, pastinya kamu akan menjadi anak Kristus.
20 Dan sekarang, saudara-saudaraku, bagaimanakah kamu dapat berpegang pada setiap hal yang baik?
21 Dan sekarang, aku sampai pada iman itu, yang telah aku katakan aku akan berbicara tentangnya; dan aku akan memberitahu kamu cara kamu boleh berpegang pada setiap hal yang baik.
22 Kerana lihatlah, Tuhan mengetahui segala hal, kerana berada dari satu keabadian ke satu keabadian, lihatlah, Dia telah mengutuskan para malaikat untuk melayani anak-anak manusia, untuk menyatakan tentang kedatangan Kristus; dan di dalam Kristus setiap hal yang baik akan datang.
23 Dan Tuhan juga telah memaklumkan kepada para nabi, melalui mulut-Nya sendiri, bahawa Kristus akan datang.
24 Dan lihatlah, terdapat pelbagai cara yang dengannya telah Dia nyatakan sesuatu kepada anak-anak manusia, yang adalah baik; dan segala hal yang baik datang daripada Kristus; jika tidak manusia terjatuh, dan tidak ada apa-apa yang baik dapat datang kepada mereka.
25 Oleh itu, melalui pelayanan para malaikat, dan melalui setiap firman yang keluar daripada mulut Tuhan, manusia mulai menjalankan iman kepada Kristus; dan demikianlah melalui iman, mereka telah berpegang pada setiap hal yang baik; dan demikianlah begitu jadinya sehingga kedatangan Kristus.
26 Dan setelah Dia datang manusia juga diselamatkan melalui iman pada nama-Nya; dan melalui iman, mereka menjadi anak-anak Tuhan. Dan pastinya seperti Kristus hidup Dia memfirmankan firman ini kepada nenek moyang kita, memfirmankan: Apa pun yang akan kamu minta kepada Bapa dalam nama-Ku, yang adalah baik, dalam iman mempercayai bahawa kamu akan menerima, lihatlah, ia akan dikabulkan kepadamu.
27 Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, adakah mukjizat telah berhenti kerana Kristus telah naik ke syurga, dan telah duduk di sebelah tangan kanan Tuhan, untuk menuntut daripada Bapa hak-hak belas kasihan-Nya yang Dia miliki ke atas anak-anak manusia?
28 Kerana Dia telah memenuhi tujuan hukum tersebut, dan Dia menuntut mereka semua yang memiliki iman kepada-Nya; dan mereka yang beriman kepada-Nya akan mendekatkan diri pada setiap hal yang baik; oleh itu Dia membela anak-anak manusia; dan Dia tinggal selama-lamanya di dalam syurga.
29 Dan kerana Dia telah melakukan ini, saudara-saudaraku yang dikasihi, adakah mukjizat-mukjizat telah berhenti? Lihatlah aku berkata kepadamu, Tidak; para malaikat juga tidak berhenti melayani anak-anak manusia.
30 Kerana lihatlah, mereka tunduk kepada-Nya, untuk melayani menurut perintah-Nya, memperlihatkan diri mereka kepada mereka yang beriman kuat dan berfikiran teguh dalam setiap bentuk kesolehan.
31 Dan jabatan pelayanan mereka adalah untuk memanggil manusia pada pertaubatan, dan untuk menggenapi dan melakukan pekerjaan perjanjian Bapa, yang telah Dia buat kepada anak-anak manusia, untuk menyediakan jalan di kalangan anak-anak manusia, dengan memaklumkan firman Kristus kepada bejana-bejana Tuhan yang terpilih, agar mereka boleh memberikan kesaksian tentang Dia.
32 Dan dengan melakukan sedemikian, Tuhan Raja menyediakan jalan agar manusia yang selebihnya boleh mempunyai iman kepada Kristus, agar Roh Kudus boleh memiliki tempat di dalam hati mereka, menurut kuasa daripada-Nya; dan dengan cara inilah Bapa mengabulkan, perjanjian yang telah Dia buat kepada anak-anak manusia.
33 Dan Kristus telah berfirman: Jika kamu akan mempunyai iman kepada-Ku kamu akan memiliki kuasa untuk melakukan apa pun yang adalah sesuai bagi-Ku.
34 Dan Dia telah berfirman: Bertaubatlah kamu segenap hujung bumi, dan datanglah kepada-Ku, dan dibaptiskanlah dalam nama-Ku, dan berimanlah kepada-Ku, agar kamu boleh diselamatkan.
35 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi, jika inilah keadaannya bahawa hal-hal yang telah aku katakan kepadamu ini adalah benar, dan Tuhan akan memperlihatkan kepadamu, dengan kuasa dan kemuliaan yang besar pada hari terakhir, bahawa semua itu adalah benar, dan jika semua itu adalah benar adakah hari kemukjizatan telah berhenti?
36 Atau adakah para malaikat telah berhenti menampakkan diri kepada anak-anak manusia? Atau adakah Dia telah menahan kuasa Roh Kudus daripada mereka? Atau adakah Dia akan melakukan begitu, selama masa masih berjalan, atau bumi masih wujud, atau hanya akan ada seorang manusia di atas permukaan bumi untuk diselamatkan?
37 Lihatlah aku berkata kepadamu, Tidak; kerana melalui imanlah mukjizat dilakukan; dan melalui imanlah para malaikat memperlihatkan diri dan melayani manusia; oleh itu, jika hal-hal ini berhenti celakalah anak-anak manusia, kerana itu disebabkan ketidakpercayaan, dan semuanya adalah sia-sia.
38 Kerana tidak seorang pun dapat diselamatkan, menurut firman Kristus, kecuali mereka akan beriman pada nama-Nya; oleh itu, jika hal-hal ini telah berhenti, maka iman juga telah berhenti; dan dashyatlah keadaan manusia, kerana mereka seolah-olah penebusan tidak pernah dilakukan.
39 Tetapi lihatlah, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku menilai hal-hal yang lebih baik tentang kamu, kerana aku menilai bahawa kamu beriman kepada Kristus kerana kelembutan hatimu; kerana jika kamu tidak beriman kepada-Nya maka kamu tidak layak untuk dihitung di kalangan umat gereja-Nya.
40 Dan lagi, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku akan berbicara kepadamu tentang harapan. Bagaimanakah mungkin bahawa kamu dapat memperoleh iman, kecuali kamu berharapan?
41 Dan apakah yang harus kamu harapkan? Lihatlah aku berkata kepadamu bahawa kamu akan berharapan melalui korban tebusan Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, untuk dibangkitkan kepada kehidupan yang abadi, dan ini disebabkan imanmu kepada-Nya menurut perjanjian tersebut.
42 Oleh itu, jika seseorang beriman dia mestilah perlu berharapan; kerana tanpa iman tidak akan ada apa-apa harapan pun.
43 Dan lagi, lihatlah aku berkata kepadamu bahawa dia tidak dapat beriman dan berharapan, kecuali dia akan melembutkan hati, dan rendah hati.
44 Jika demikian, iman dan harapannya adalah sia-sia, kerana tidak seorang pun dapat diterima di hadapan Tuhan, kecuali yang lembut hati dan rendah hati; dan jika seseorang manusia melembutkan hati dan rendah hati, dan mengakui melalui kuasa Roh Kudus bahawa Yesus adalah Kristus, dia mestilah perlu mempunyai kasih ihsan; kerana jika dia tidak memiliki kasih ihsan dia tidak bermakna langsung; oleh itu dia mestilah perlu mempunyai kasih ihsan.
45 Dan kasih ihsan itu kesabaran yang panjang, dan adalah baik hati, dan tidak dengki, dan tidak bongkak, tidak mementingkan dirinya sendiri, tidak mudah marah, tidak berfikiran jahat, dan tidak bergembira di dalam kederhakaan tetapi bergembira di dalam kebenaran, menanggung semua hal, mempercayai semua hal, mengharapkan semua hal, bertahan dalam segala hal.
46 Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, jika kamu tidak memiliki kasih ihsan, kamu tidak bermakna langsung, kerana kasih ihsan tidak pernah gagal. Oleh itu, dekatkanlah diri pada kasih ihsan, iaitu yang terbaik daripada segalanya, kerana semua hal mestilah gagal—
47 Tetapi kasih ihsan adalah kasih suci Kristus, dan ia bertahan untuk selamanya; dan sesiapa yang didapati memilikinya pada hari terakhir, maka akan baiklah kesudahannya.
48 Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini, yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus; agar kamu boleh menjadi anak-anak Tuhan; agar apabila Dia akan memperlihatkan diri-Nya kita akan kelihatan seperti Dia, kerana kita akan melihat-Nya sebagaimana Dia adanya; agar kita boleh memiliki harapan ini; agar kita boleh disucikan bahkan seperti Dia yang adalah suci. Amin.