Kitab Suci
Alma 49


Bab 49

Penceroboh-penceroboh bangsa Laman tidak dapat menakluk kota Amoniha dan kota Nuh yang dikubui—Amalikia mengutuk Tuhan dan bersumpah untuk meminum darah Moroni—Helaman dan saudara-saudaranya terus menguatkan Gereja. Kira-kira 72 tahun S.M.

1 Dan sekarang, terjadilah bahawa dalam bulan kesebelas tahun kesembilan belas, pada hari kesepuluh bulan itu, tentera-tentera bangsa Laman terlihat sedang mendekati negeri Amoniha.

2 Dan lihatlah, kota telah dibina kembali, dan Moroni telah menempatkan sepasukan tentera dekat sempadan-sempadan kota, dan mereka telah menimbunkan tanah di sekitarnya untuk melindungi mereka daripada anak panah dan batu bangsa Laman; kerana lihatlah, mereka bertempur dengan batu dan dengan anak panah.

3 Lihatlah, aku berkata bahawa Kota Amoniha telah dibina semula. Aku berkata kepadamu, ya, bahawa sebahagian daripadanya dibina semula; dan kerana bangsa Laman telah menghancurkannya sekali akibat kederhakaan bangsa itu, mereka mengira bahawa kota itu mudah menjadi mangsa mereka lagi.

4 Tetapi lihatlah, betapa besar kekecewaan mereka; kerana lihatlah, bangsa Nefi telah menggali permatang tanah di sekeliling mereka, yang begitu tingginya sehingga bangsa Laman tidak dapat melemparkan batu mereka dan anak panah mereka ke arah mereka agar itu memberi kesan, tidak juga mereka dapat menyerang mereka kecuali melalui tempat jalan masuk mereka.

5 Sekarang, pada waktu ini para panglima utama bangsa Laman amat tercengang, kerana kebijaksanaan bangsa Nefi dalam mempersiapkan tempat-tempat perlindungan mereka.

6 Sekarang, para pemimpin bangsa Laman telah mengira, kerana besarnya jumlah mereka, ya, mereka mengira bahawa mereka akan mendapat kesempatan istimewa untuk menyerang mereka sebagaimana telah mereka lakukan sebelumnya; ya, dan mereka telah juga mempersiapkan diri mereka dengan perisai, dan dengan perisai dada; dan mereka telah juga mempersiapkan diri mereka dengan pakaian kulit, ya, pakaian yang sangat tebal untuk menutupi ketelanjangan mereka.

7 Dan dengan sedemikian bersiap sedia mereka mengira bahawa mereka akan dengan mudah mengalahkan dan menundukkan saudara-saudara mereka pada kuk perhambaan, atau menghapus dan membunuh mereka beramai-ramai dengan kejam menurut kesenangan mereka.

8 Tetapi lihatlah, yang membuat mereka benar-benar tercengang, mereka sedia melawan mereka, dengan suatu cara yang belum pernah diketahui di kalangan anak-anak Lehi. Sekarang, mereka sedia melawan bangsa Laman, untuk bertempur menurut cara petunjuk daripada Moroni.

9 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman, atau orang Amalikia, amat tercengang akan cara persiapan perang mereka.

10 Sekarang, jika raja Amalikia telah datang dari negeri Nefi, di depan tenteranya, barangkali dia akan menyuruh bangsa Laman untuk menyerang bangsa Nefi di kota Amoniha; kerana lihatlah, dia tidak peduli akan penumpahan darah bangsanya.

11 Tetapi lihatlah, Amalikia sendiri tidak datang untuk bertempur. Dan lihatlah, para panglima utamanya tidak berani menyerang bangsa Nefi di kota Amoniha, kerana Moroni telah mengubah cara pengelolaan urusan di kalangan bangsa Nefi, sedemikan rupa sehingga bangsa Laman kecewa dengan tempat-tempat perlindungan bangsa Nefi dan bangsa Laman tidak dapat menyerang mereka.

12 Oleh itu mereka mundur ke padang belantara, dan membawa perkhemahan mereka dan bergerak menuju negeri Nuh, mengira tempat itu merupakan tempat kedua terbaiknya bagi mereka untuk menyerang bangsa Nefi.

13 Kerana mereka tidak tahu bahawa Moroni telah mengubui, atau telah membina kubu-kubu perlindungan, untuk setiap kota di seluruh negeri sekitarnya; oleh itu, mereka bergerak menuju negeri Nuh dengan suatu tekad yang teguh; ya, para panglima utama mereka tampil ke depan dan mengambil sebuah sumpah bahawa mereka akan menghancurkan rakyat kota itu.

14 Tetapi lihatlah, yang mengagumkan mereka, kota Nuh, yang sebelumnya telah merupakan sebuah tempat yang lemah, sekarang telah, disebabkan Moroni, menjadi kuat, ya, bahkan melampaui kekuatan kota Amoniha.

15 Dan sekarang, lihatlah, inilah kebijaksanaan menurut Moroni; kerana dia telah mengira bahawa mereka akan takut akan kota Amoniha; dan kerana kota Nuh sebelumnya telah merupakan bahagian yang paling lemah di negeri itu, oleh itu mereka akan berkawat ke sana untuk bertempur; dan demikianlah terjadi menurut hasratnya.

16 Dan lihatlah, Moroni telah melantik Lehi untuk menjadi panglima utama atas rakyat di kota itu; dan dia itu Lehi yang sama itu yang berperang melawan bangsa Laman di lembah sebelah timur sungai Sidon.

17 Dan sekarang, lihatlah terjadilah, bahawa ketika bangsa Laman telah mendapati bahawa Lehi mengetuai kota itu mereka kecewa lagi, kerana mereka amat takut akan Lehi; walaupun demikian para panglima utama mereka telah bersumpah dengan sebuah sumpah untuk menyerang kota itu; oleh itu, mereka membawa tentera mereka ke situ.

18 Sekarang lihatlah, bangsa Laman tidak dapat masuk ke dalam kubu-kubu perlindungan mereka melalui mana-mana jalan lain pun kecuali melalui jalan masuk, kerana tingginya benteng yang telah ditimbunkan, dan kedalaman parit yang telah digali di sekitarnya, kecuali melalui jalan masuk.

19 Dan demikianlah bangsa Nefi bersiap sedia untuk menghancurkan mereka semua yang akan berusaha untuk memanjat memasuki kubu itu melalui mana-mana jalan lain pun, dengan melemparkan batu dan anak panah ke arah mereka.

20 Demikianlah mereka bersiap sedia, ya, sekelompok lelaki mereka yang paling kuat, dengan pedang mereka dan umban mereka, untuk menghantam jatuh semua orang yang akan berusaha masuk ke dalam tempat perlindungan mereka melalui tempat jalan masuk; dan demikianlah mereka bersiap sedia untuk mempertahan diri mereka terhadap bangsa Laman.

21 Dan terjadilah bahawa para panglima bangsa Laman membawa tentera-tentera mereka ke hadapan tempat jalan masuk, dan mula melawan bangsa Nefi, untuk masuk ke dalam tempat perlindungan mereka; tetapi lihatlah, mereka dihalau mundur dari waktu ke waktu, sedemikian rupa sehingga mereka terbunuh dengan suatu pembantaian yang hebat.

22 Sekarang, ketika mereka mendapati bahawa mereka tidak dapat menguasai bangsa Nefi melalui laluan itu, mereka mula menggali benteng-benteng tanah mereka agar mereka boleh mendapatkan suatu laluan bagi tentera-tentera mereka, agar mereka boleh dapat peluang yang setara untuk berperang; tetapi lihatlah, dalam usaha ini mereka tersapu habis oleh batu dan anak panah yang dilemparkan pada mereka, dan daripada mengisi parit-parit mereka dengan meruntuhkan benteng-benteng tanah, sebaliknya itu terisi sedikit sebanyak dengan mayat-mayat dan tubuh badan mereka yang tercedera.

23 Demikianlah bangsa Nefi memiliki segala kekuasaan atas musuh mereka; dan demikianlah bangsa Laman berusaha menghancurkan bangsa Nefi sampai para panglima utama mereka semuanya terbunuh; ya, dan lebih daripada seribu bangsa Laman terbunuh, sementara, sebaliknya, tidak ada satu jiwa pun di antara bangsa Nefi yang terbunuh.

24 Ada kira-kira lima puluh orang yang tercedera, yang telah terdedah pada anak panah bangsa Laman melalui laluan itu, tetapi mereka terlindung oleh perisai mereka, dan perisai dada mereka, dan ketopong besi mereka, sedemikian rupa sehingga luka-luka mereka berada pada tungkai kaki mereka, yang banyaknya sangat parah.

25 Dan terjadilah, bahawa ketika bangsa Laman melihat bahawa para panglima utama mereka semuanya terbunuh mereka melarikan diri ke padang belantara. Dan terjadilah bahawa mereka kembali ke negeri Nefi, untuk memberitahu raja mereka, Amalikia, yang adalah bangsa Nefi berdasarkan kelahiran, berkenaan kekalahan mereka yang besar.

26 Dan terjadilah bahawa dia amatlah marah terhadap orangnya, kerana dia tidak mencapai hasratnya atas bangsa Nefi; dia tidak menundukkan mereka pada kuk perhambaan.

27 Ya, dia amat berang, dan dia mengutuk Tuhan, dan juga Moroni, bersumpah dengan sebuah sumpah bahawa dia akan meminum darahnya; dan ini kerana Moroni telah mentaati perintah-perintah Tuhan dalam persiapan menjaga keselamatan bangsanya.

28 Dan terjadilah, bahawa sebaliknya, bangsa Nefi bersyukur kepada Tuhan Raja mereka, kerana kuasa-Nya yang tiada bandingnya dalam membebaskan mereka daripada tangan musuh mereka.

29 Dan demikianlah berakhir tahun kesembilan belas zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi.

30 Ya, dan ada kedamaian berterusan di kalangan mereka, dan kemakmuran yang amat besar di dalam gereja kerana perhatian dan ketekunan mereka yang mereka tujukan pada firman Tuhan, yang dimaklumkan kepada mereka oleh Helaman, dan Siblon, dan Korianton, dan Amon dan saudara-saudaranya, ya, dan oleh mereka semua yang telah ditahbiskan melalui tarekat kudus Tuhan, dibaptis untuk pertaubatan, dan diutus untuk berkhutbah di kalangan bangsa itu.