Remaja
Tubuh anda adalah kudus


“Tubuh anda adalah kudus”, Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan (2022)

“Tubuh anda adalah kudus”, Untuk Kekuatan Remaja

Imej
Lukisan seorang wanita sedang berdoa.

Tubuh anda adalah kudus

1 Korintus 6:18–20

Imej
ikon orang sedang bermain bola sepak

Tubuh anda merupakan kurnia yang menakjubkan daripada Bapa Syurgawi anda. Dia memberikan tubuh kepada anda untuk membantu anda menjadi lebih seperti Dia. Dengan tubuh, anda memiliki kuasa yang lebih besar untuk menggunakan hak kebebasan anda untuk memilih. Injil Yesus Kristus yang dipulihkan boleh membantu anda melihat tubuh anda daripada perspektif Tuhan. Ini memberikan perbezaan yang besar dari segi pilihan anda berhubung dengan perkara yang perlu dilakukan dengan tubuh anda dan cara menjaga tubuh anda.

Kebenaran abadi

Tubuh anda adalah dalam rupa Tuhan—Malaikat yang paling agung dan megah di dalam semesta. Tulisan suci membandingkan tubuh kita dengan bait suci yang kudus, sebuah tempat di mana Roh boleh tinggal. Sudah tentu, tubuh anda tidak sempurna sekarang. Tetapi pengalaman yang anda alami dengan tubuh anda boleh membantu anda bersedia untuk menerima tubuh yang sempurna, dibangkitkan dan dimuliakan pada suatu hari nanti.

Jiwa anda terdiri daripada tubuh anda dan roh anda. Atas sebab ini, kesihatan jasmani dan kesihatan rohani berkait rapat. Juruselamat mengungkapkan Kata-kata Bijaksana untuk mengajar tentang asas menjaga tubuh anda—dan untuk menjanjikan berkat jasmani dan rohani.

Perasaan seksual merupakan bahagian yang penting dalam rancangan Tuhan untuk mencipta perkahwinan bahagia dan keluarga abadi. Perasaan ini tidak berdosa—ia adalah kudus. Oleh kerana perasaan seksual begitu kudus dan begitu hebat, Tuhan telah memberi anda hukum kemurnian akhlak-Nya untuk menyediakan anda agar menggunakan perasaan ini seperti yang Dia maksudkan. Hukum kemurnian akhlak menyatakan bahawa Tuhan mewajarkan aktiviti seksual hanya di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang sudah berkahwin. Ramai di dunia ini tidak menghiraukan atau malah mengejek hukum Tuhan, tetapi Tuhan menjemput kita untuk menjadi pengikut-Nya dan mengamalkan hidup mengikut piawaian yang lebih tinggi daripada dunia.

Imej
Sebuah keluarga sedang berjalan di jalan kota.

Jemputan

Perlakukan tubuh anda—dan tubuh orang lain—dengan hormat. Semasa anda membuat keputusan tentang pakaian, gaya rambut dan penampilan anda, tanya diri anda, “Adakah saya menghormati tubuh saya sebagai kurnia kudus daripada Tuhan?” Bapa Syurgawi mahu kita melihat sesama sendiri siapa diri kita yang sebenarnya: bukan setakat tubuh jasmani tetapi sebagai anak terkasih-Nya yang mempunyai takdir ilahi. Elakkan gaya yang menekankan atau menarik perhatian yang tidak sesuai terhadap tubuh jasmani anda dan bukannya siapa anda sebagai anak Tuhan yang mempunyai masa depan yang abadi. Biarkan kebersihan moral dan kasih sayang terhadap Tuhan membimbing pilihan anda. Dapatkan nasihat daripada ibu bapa anda.

Imej
Dua orang remaja putera dalam hutan tropika.

Lakukan perkara yang akan menguatkan tubuh anda—elakkan perbuatan yang akan mencederakan atau merosakkan tubuh anda. Nikmati dengan kesyukuran terhadap banyak perkara baik yang telah Tuhan sediakan. Tetapi ingatlah bahawa alkohol, tembakau, kopi, teh dan dadah serta bahan lain yang memudaratkan bukan untuk tubuh atau roh anda. Bahkan bahan yang berguna, seperti ubat preskripsi, boleh memusnahkan jika tidak digunakan dengan betul.

Jaga seks dan perasaan seksual dengan kudus. Ini tidak harus dijadikan subjek gurauan atau hiburan. Di luar perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, adalah salah untuk menyentuh bahagian peribadi dan kudus tubuh orang lain walaupun berpakaian. Dalam membuat pilihan mengenai perkara yang anda lakukan, lihat, baca, dengar, fikirkan, siarkan atau hantar dalam mesej teks, elakkan apa-apa yang berniat untuk membangkitkan emosi bernafsu pada orang lain atau diri anda sendiri. Ini termasuk pornografi dalam apa jua bentuk. Jika anda mendapati situasi atau aktiviti itu menjadikan godaan lebih kuat, elakkan situasi atau aktiviti tersebut. Anda tahu situasi dan aktiviti itu. Jika anda tidak pasti, Roh, ibu bapa dan pemimpin anda boleh membantu. Tunjukkan kepada Bapa Syurgawi bahawa anda mentaati dan menghormati kuasa kudus untuk mencipta kehidupan.

Imej
Dua orang budak lelaki sedang membantu ibu mereka memasak.

Berkat-berkat yang dijanjikan

Penghormatan anda terhadap diri dan orang lain akan meningkat apabila anda menghormati tubuh melalui tingkah laku, penampilan dan pemakaian anda.

Tuhan telah menjanjikan harta pengetahuan yang besar kepada mereka yang mematuhi Kata-kata Bijaksana. Tubuh yang sihat, bebas daripada ketagihan, turut meningkatkan keupayaan anda untuk menerima wahyu peribadi, berfikir dengan jelas dan melayani Tuhan.

Mengamalkan hukum kemurnian akhlak membawa kelulusan Tuhan dan kuasa rohani peribadi. Apabila anda berkahwin, hukum ini akan membawa kasih, kepercayaan dan perpaduan yang lebih mendalam kepada perkahwinan anda. Kepatuhan terhadap hukum ini akan membolehkan anda berkembang secara abadi dan menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi anda. Keyakinan anda akan berkembang apabila anda hidup sebagai pengikut Yesus Kristus.

Imej
Lukisan Yesus berkhutbah kepada Maria dan Marta.
Imej
ikon soalan dan jawapan

Soalan dan jawapan

Apakah piawaian Tuhan mengenai pemakaian, dandanan, tatu dan penindikan? Piawaian Tuhan adalah untuk anda menghormati kekudusan tubuh anda, walaupun itu bermaksud berlainan daripada dunia. Biarkan kebenaran ini dan Roh menjadi bimbingan anda semasa anda membuat keputusan—terutamanya keputusan yang mempunyai kesan berkekalan pada tubuh anda. Jadilah bijak dan beriman, minta nasihat daripada ibu bapa dan pemimpin anda.

Bagaimanakah saya boleh mengatasi godaan dan tabiat buruk? Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus memiliki kuasa untuk membantu anda. Lengkapi kehidupan anda dengan perkara yang menjemput kuasa itu ke dalam hidup anda, seperti berdoa, mengkaji tulisan suci dan melayani orang lain. Berpaling kepada Yesus Kristus serta injil-Nya dan anda akan mendapati bahawa kelemahan boleh menjadi kekuatan. Minta bantuan daripada ibu bapa, pemimpin dan penasihat profesional jika perlu. Bagi mereka yang menderita akibat ketagihan, Gereja menawarkan program pemulihan ketagihan. Ini ialah berkat yang disediakan oleh Gereja Juruselamat untuk membantu anda mengawal kehidupan anda semula. Ia akan mengambil masa, jadi bersabarlah dan jangan putus asa.

Imej
Gadis membaca tulisan suci.

Saya tertarik kepada orang yang sama jantina dengan saya. Bagaimanakah piawaian ini berguna kepada anda? Tarikan sama jantina bukan suatu dosa. Jika anda mempunyai perasaan ini dan tidak meneruskan atau bertindak terhadap perasaan tersebut, anda mengamalkan hukum kemurnian akhlak Bapa Syurgawi yang kudus. Anda anak Tuhan dan pengikut Yesus Kristus yang dikasihi. Ingatlah bahawa Juruselamat memahami semua yang anda alami. Melalui hubungan perjanjian anda dengan-Nya, anda akan menemukan kekuatan untuk mematuhi perintah Tuhan dan menerima berkat yang dijanjikan-Nya. Percayai-Nya dan injil-Nya.

Saya telah dianiayai dan saya berasa malu. Adakah saya berdosa? Menjadi mangsa penganiayaan atau perkosaan tidak membuat anda berdosa. Sila jangan berasa bersalah atau malu. Juruselamat mengasihi anda. Dia ingin membantu anda, menyembuhkan anda dan memberi anda kedamaian. Penasihat profesional, ahli keluarga anda dan pemimpin anda juga boleh membantu.

Lihat Kejadian 1:27 (kita dicipta seperti diri Tuhan); Yohanes 14:18 (Juruselamat menjanjikan tidak akan meninggalkan kita sendirian); Filipi 4:7 (Kesejahteraan daripada Tuhan tidak mungkin difahami oleh manusia); Ajaran dan Perjanjian 88:15 (roh dan tubuh adalah jiwa); 89 (Suatu Kata-kata Bijaksana); 121:45 (kehemahan mendorong kepada keyakinan yang lebih kuat).

Imej
ikon bait suci

Soalan kad rekomen bait suci

Tuhan telah berfirman bahawa segala hal “dilakukan dalam kebersihan” di hadapan-Nya (Ajaran dan Perjanjian 42:41). Adakah anda berusaha untuk memupuk fikiran dan tingkah laku yang bersih dan bermoral? Adakah anda mematuhi hukum kemurnian akhlak?

Adakah anda memahami dan mematuhi Kata-kata Bijaksana?