Ikutlah Aku 2024
30 September–6 Oktober: “Aku Adalah Hukum, dan Cahaya.” 3 Nefi 12–16


“30 September–6 Oktober: ‘Aku Adalah Hukum, dan Cahaya.’ 3 Nefi 12–16,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)

“30 September–6 Oktober. 3 Nefi 12–16,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)

Imej
Yesus menunjukkan Dua Belas Rasul

Third Nephi: These Twelve Whom I Have Chosen [Tiga Nefi: Dua Belas Orang Ini Yang Telah Aku Pilih], oleh Gary L. Kapp

30 September–6 Oktober: “Aku Adalah Hukum, dan Cahaya”

3 Nefi 12–16

Seperti pengikut Yesus yang berkumpul untuk mendengar di gunung di Galilea, orang yang berkumpul di bait suci di Kelimpahan telah menjalani hukum Musa. Mereka telah mengikutinya kerana ia mengarahkan jiwa mereka kepada Kristus (lihat Yakub 4:5), dan sekarang Kristus berdiri di hadapan mereka, mengisytiharkan hukum yang lebih tinggi. Tetapi kita yang tidak pernah hidup dalam hukum Musa dapat mengenali standard yang Yesus tetapkan untuk para pengikut-Nya adalah hukum yang lebih tinggi. “Aku menghendaki agar kamu haruslah menjadi sempurna,” Dia isytiharkan (3 Nefi 12:48). Jika ini membuat anda merasa kekurangan, ingatlah Yesus juga berkata, “diberkatilah yang miskin di dalam roh yang datang kepada-Ku, kerana milik merekalah kerajaan Syurga” (3 Nefi 12:3). Hukum yang lebih tinggi ini adalah satu jemputan—cara lain untuk berkata “Datanglah kepada-Ku dan diselamatkanlah kamu” (3 Nefi 12:20). Seperti hukum Musa, hukum ini mengarahkan kita kepada Kristus—Satu-satunya yang dapat menyelamatkan dan menyempurnakan kita. “Lihatlah,” Dia berfirman, “Aku adalah hukum, dan cahaya. Pandanglah kepada-Ku, dan bertahanlah sampai akhir, dan kamu akan hidup” (3 Nefi 15:9).

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

3 Nefi 12–14

Imej
ikon seminari
Saya boleh menjadi pengikut sejati Yesus Kristus.

Berikut adalah satu cara untuk mengkaji dan menggunakan ajaran Juruselamat dalam 3 Nefi 12–14: Pilih sekumpulan ayat, dan cuba ringkaskan dalam satu ayat yang bermula dengan “Pengikut sejati Yesus Kristus …” Contohnya, ringkasan dari 3 Nefi 13:1–8 mungkin “Pengikut sejati Yesus Kristus tidak mencari pujian dalam melakukan kebaikan.” Cuba ayat-ayat ini:

Selepas membaca ayat-ayat ini, apakah yang anda terilham untuk lakukan untuk mengikuti Yesus Kristus?

Perintah dalam 3 Nefi 12:48 kelihatan sangat besar—bahkan mustahil. Apakah yang anda pelajari dari pesanan Elder Jeffrey R. Holland “Jadilah Sempurna—Pada Akhirnya” (Liahona, Nov. 2017, 40–42) yang membantu anda memahami firman Juruselamat dalam ayat ini? Menurut Moroni 10:32–33, apakah yang memungkinkan untuk menjadi sempurna seperti Juruselamat?

Gunakan pengajaran berobjek. Juruselamat mengajarkan kebenaran yang mendalam dengan merujuk kepada objek harian. Anda boleh melakukan sesuatu yang serupa semasa anda mengkaji atau mengajar tentang 3 Nefi 12. Melihat atau memegang garam, lilin, atau kot boleh meningkatkan perbincangan tentang kebenaran abadi yang Juruselamat ajarkan.

3 Nefi 12:1–215:23–2416:1–6

Berbahagialah orang yang percaya tanpa melihat.

Hanya sedikit anak-anak Tuhan yang telah melihat Juruselamat dan mendengar suara-Nya, seperti orang-orang di Kelimpahan. Kebanyakan kita lebih seperti orang yang digambarkan dalam 3 Nefi 12:2; 15:23; dan 16:4–6. Apakah janji yang dibuat kepada orang sebegini dalam ayat-ayat ini? Bagaimanakah janji-janji ini telah dipenuhi dalam hidup anda?

Lihat juga Yohanes 20:26–29; 2 Nefi 26:12–13; Alma 32:16–18.

3 Nefi 12:21–30; 13:1–8, 16–18; 14:21–23

Saya boleh berusaha untuk menyucikan hasrat hati saya.

Satu tema dalam bab-bab ini ialah jemputan Juruselamat untuk menjalani hukum yang lebih tinggi—bukan sahaja menjadi soleh dalam tindakan kita tetapi juga di dalam hati kita. Cari tema ini apabila Juruselamat bercakap tentang pertikaian (3 Nefi 12:21–26), keadaan tidak berakhlak (3 Nefi 12:27–30), doa (3 Nefi 13:5–8), dan berpuasa (3 Nefi 13:16–18). Apakah contoh-contoh lain yang anda temui? Apakah yang anda boleh lakukan untuk menyucikan hasrat hati anda?

3 Nefi 14:7–11

Bapa Syurgawi akan memberi saya hal baik semasa saya meminta, mencari, dan mengetuk.

Semasa anda membaca jemputan Juruselamat dalam 3 Nefi 14:7–11 untuk meminta, mencari, dan mengetuk, renungkan apa “hal yang baik” yang Dia mahu anda minta. Tulisan suci tambahan berikut boleh membantu anda memahami cara untuk meminta, mencari, dan mengetuk. Ia juga boleh membantu menjelaskan mengapa sesetengah doa tidak dijawab seperti yang anda harapkan: Yesaya 55:8–9; Helaman 10:4–5; Moroni 7:26–27, 33, 37; dan Ajaran dan Perjanjian 9:7–9; 88:64. Bagaimanakah ayat-ayat ini mempengaruhi cara anda meminta, mencari, dan mengetuk?

Lihat juga Milton Camargo, “Minta, Cari, dan Ketuk,” Liahona, Nov. 2020, 106–8.

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

3 Nefi 12:14–16

Saya boleh menjadi contoh yang baik dengan mengikuti Yesus.

  • Kadangkala kanak-kanak mungkin tidak sedar teladan mereka dapat memberkati orang lain. Gunakan 3 Nefi 12:14–16 untuk menggalakkan mereka menyinarkan cahaya mereka. Contohnya, apabila anda membaca “mu” dalam ayat-ayat ini, mintalah anak-anak anda untuk menunjuk diri sendiri. Beritahu anak-anak tentang cahaya diri mereka yang anda lihat apabila mereka mengikuti Yesus Kristus dan bagaimana ia mengilhami anda untuk mengikuti-Nya juga. Nyanyi bersama lagu yang menggalakkan kanak-kanak bersinar seperti cahaya, seperti “Ku S’perti Bintang” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 84).

  • Untuk menggalakkan anak-anak anda untuk tidak menyembunyikan cahaya mereka (lihat 3 Nefi 12:15), minta mereka bergilir menyembunyikan atau menutup lampu atau cahaya lain. Mereka boleh membuka cahaya itu setiap kali mereka menamakan sesuatu yang mereka boleh lakukan untuk menjadi teladan yang baik kepada orang lain.

3 Nefi 13:19–21

“Simpanlah bagimu harta-harta di dalam syurga.”

  • Membaca ayat-ayat ini boleh menjemput perbincangan tentang hal-hal yang kita kasihi. Mungkin anda boleh memimpin anak-anak anda untuk mencari harta karun untuk mencari hal-hal yang mengingatkan mereka tentang harta yang bernilai abadi.

3 Nefi 14:7–11

Bapa Syurgawi menjawab doa-doa saya.

  • Semasa anda membaca 3 Nefi 14:7, anak-anak anda boleh lakukan aksi yang mewakili setiap jemputan Juruselamat dalam ayat ini. Contohnya, mereka boleh menaikkan tangan mereka (meminta), membuat teropong dengan tangan mereka (mencari), atau membuat gerakan ketuk pintu (mengetuk). Bantu anak-anak anda fikirkan hal-hal yang mereka boleh katakan dan minta dalam doa mereka.

  • Anak-anak anda boleh bermain permainan di mana mereka meminta sesuatu dan menerima sesuatu yang berbeza. Dalam 3 Nefi 14:7–11, apakah yang Juruselamat ingin kita tahu tentang Bapa Syurgawi?

3 Nefi 14:21–27; 15:1

Juruselamat mahu saya mendengar dan melakukan apa yang Dia ajarkan.

  • Fikirkan cara-cara anda dapat membantu anak-anak anda untuk membayangkan perumpamaan dalam ayat-ayat ini. Mungkin mereka boleh melukis gambar, membuat aksi, atau membina sesuatu di atas landasan kukuh dan landasan berpasir. Mereka juga boleh gantikan “orang bijaksana” dengan nama mereka semasa mereka membaca 3 Nefi 14:24–27 atau nyanyikan “Orang Bijaksana dan Orang Bodoh” (Buku Nyanyian Anak-anak, 132). Atau mereka boleh berdiri setiap kali mereka mendengar perkataan “melakukan” dalam 3 Nefi 14:21–27 dan 15:1.

  • Berikut adalah pelajaran berobjek yang anda boleh cuba: minta anak-anak anda membayangkan salah satu kaki mereka mewakili mendengar kata-kata Juruselamat dan yang lain mewakili melakukan apa yang Juruselamat ajarkan. Jemput anak-anak anda untuk cuba mengimbangkan hanya pada kaki “mendengar” mereka. Apakah yang akan berlaku sekiranya angin kencang meniup di bilik? Kemudian anda dan anak-anak anda boleh mencari hal-hal tertentu yang Juruselamat ajarkan kita untuk lakukan: lihat 3 Nefi 12:3–12, 21–26; 13:5–8.

Imej
Yesus mengajar bangsa Nefi

The Savior’s Visit to the People in America [Juruselamat Mengunjungi Orang di Benua Amerika], oleh Glen S. Hopkinson.