“24 Februari–2 Mac, ‘Nilai semua Jiwa Adalah Besar’: Ajaran dan Perjanjian 18,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Ajaran dan Perjanjian 2025 (2025)
“Ajaran dan Perjanjian 18,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2025
24 Februari–2 Mac: “Nilai Semua Jiwa Adalah Besar”
Ajaran dan Perjanjian 18
Terdapat banyak cara yang berbeza untuk cuba mengukur nilai seseorang. Bakat, pendidikan, kekayaan, dan penampilan jasmani semuanya boleh mempengaruhi bagaimana kita menilai satu sama lain—dan diri kita sendiri. Tetapi dalam mata Tuhan, nilai kita adalah mudah diukur, dan ia jelas dinyatakan dalam Ajaran dan Perjanjian 18: “Ingatlah nilai semua jiwa adalah besar di mata Tuhan” (ayat 10). Kebenaran mudah ini menjelaskan banyak tentang apa yang Tuhan lakukan dan mengapa Dia melakukannya. Mengapakah Dia mengarahkan Joseph Smith dan Oliver Cowdery untuk menubuhkan Gereja Yesus Kristus di zaman kita? (lihat ayat 1–5). Kerana nilai semua jiwa adalah besar. Mengapakah Dia “memerintahkan semua orang di mana-mana pun untuk bertaubat” dan menghantar para Rasul untuk mengkhutbahkan pertaubatan? (ayat 9). Kerana nilai semua jiwa adalah besar. Dan mengapa Yesus Kristus menderita “kematian dalam keadaan daging” dan “kesakitan semua manusia”? (ayat 11). Kerana nilai semua jiwa adalah besar. Jika salah satu jiwa ini memilih untuk menerima kurnia Juruselamat, Dia bersukacita, kerana “besar kebahagiaan-Nya di dalam jiwa yang bertaubat” (ayat 13).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
“Membangunkan gereja-Ku.”
Dalam bahagian 18, Tuhan memberi Oliver Cowdery arahan untuk membantu membina landasan Gereja Yesus Kristus. Apakah yang anda perhatikan tentang nasihat yang Dia berikan—terutamanya dalam ayat 1–5? Anda boleh mempertimbangkan bagaimana nasihat yang sama ini berkaitan dengan anda semasa anda “membangunkan” iman anda kepada Kristus. Contohnya:
-
Apakah yang anda “hasratkan untuk tahu” tentang Tuhan? (ayat 1).
-
Apakah maksudnya bagi anda untuk “bersandar pada apa yang telah dituliskan”? (ayat 3). Bagaimanakah Roh telah “menyatakan kepada [anda]” bahawa hal-hal ini benar? (ayat 2, lihat juga Ajaran dan Perjanjian 6:22–24).
-
Bagaimanakah anda membangunkan kehidupan anda pada “landasan injil [Juruselamat] dan batu-[Nya]”? (ayat 5).
Tanya soalan. Ajaran dan Perjanjian adalah bukti bahawa soalan membawa kepada wahyu. Semasa anda mengkaji tulisan suci, catatkan soalan yang anda ada. Kemudian renungkan dan berdoa untuk mencari jawapan.
Ajaran dan Perjanjian 18:10–13
“Nilai semua jiwa adalah besar di mata Tuhan.”
Bagaimanakah kita menentukan nilai sesuatu? Contohnya, mengapa satu barangan di pasar lebih mahal daripada yang lain? Semasa anda membaca bahagian 18 minggu ini, terutamanya ayat 10–13, anda boleh membanding bagaimana orang sering menentukan nilai dengan apa yang membuat jiwa berharga di mata Tuhan. Pertimbangkan untuk menggantikan perkataan “jiwa,” “jiwa-jiwa,” dan “semua manusia” dengan nama anda. Bagaimanakah ayat-ayat ini membantu seseorang yang mempersoalkan tentang nilainya?
Berikut adalah beberapa ayat lain yang mengajar tentang nilai satu jiwa: Lukas 15:1–10; Yohanes 3:16–17; 2 Nefi 26:24–28; Musa 1:39. Berdasarkan ayat-ayat ini, bagaimana anda akan meringkaskan perasaan Tuhan tentang anda?
Bagaimanakah Tuhan menunjukkan bahawa kita sangat bernilai bagi-Nya? Bagaimana ini mempengaruhi perasaan anda tentang diri anda dan orang lain?
Lihat juga Joy D. Jones, “Nilai yang Tidak Dapat Diukur,” Persidangan Umum, Okt. 2017; Topics and Questions (Topik dan Soalan), “Children of God (Anak-anak Tuhan),” Gospel Library.
Ajaran dan Perjanjian 18:11–16
Tuhan bersukacita apabila saya bertaubat.
Perhatikan seberapa kerap perkataan seperti bertaubat dan pertaubatan digunakan sepanjang Ajaran dan Perjanjian 18. Renungkan apa yang anda pelajari dari kata-kata ini setiap kali ia digunakan. Pertimbangkan terutamanya ayat 11–16. Bagaimanakah ayat-ayat ini mempengaruhi perasaan anda tentang pertaubatan—pertaubatan anda sendiri dan kewajipan untuk menjemput orang lain untuk bertaubat dan bertambah baik? Berikut adalah satu cara untuk mencatat apa yang anda pelajari: senaraikan beberapa cara anda akan melengkapkan ayat “Pertaubatan adalah .”
Lihat juga Alma 36:18–21; Panduan Tulisan Suci, “Pertaubatan,” Gospel Libray; Dale G. Renlund, “Pertaubatan: Pilihan yang Menggembirakan,” Persidangan Umum, Okt. 2016.
Butiran dari The Prodigal Son [Anak Yang Hilang], oleh Clark Kelley Price
Ajaran dan Perjanjian 18:14–16
Kebahagiaan datang dari membantu orang lain datang kepada Kristus.
Semasa anda membaca ayat 14–16, renungkan apakah maksudnya untuk “menyerukan pertaubatan”—dan mengapa ia dapat membawa kebahagiaan. Apakah beberapa cara anda telah temui untuk membantu orang lain datang kepada Juruselamat dan menerima pengampunan? Bagaimanakah orang lain telah melakukannya untuk anda?
Lihat juga Craig C. Christensen, “Tidak Ada Apa Pun yang Sedemikian Hebat dan Manisnya Seperti Kebahagiaanku”,” Persidangan Umum, April 2023.
Ajaran dan Perjanjian 18:34–36
Saya dapat mendengar suara Tuhan dalam tulisan suci.
Jika seseorang bertanya anda tentang suara Tuhan, apakah yang anda akan katakan? Fikirkan soalan ini semasa anda membaca Ajaran dan Perjanjian 18:34–36. Apakah yang anda pelajari mengenai suara Tuhan dari membaca Ajaran dan Perjanjian? Apakah yang boleh anda lakukan untuk mendengar suara-Nya dengan lebih jelas?
Lihat juga “S’dang Kubaca Kitab Suci,” Nyanyian Rohani, no. 117.
Untuk idea lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Ajaran dan Perjanjian 18:10–13
Setiap kita sangat bernilai kepada Tuhan.
-
Semasa anda dan anak-anak anda membaca Ajaran dan Perjanjian 18:10–13, pertimbangkan untuk menggantikan perkataan “jiwa,” “jiwa-jiwa,” dan “semua manusia” dengan nama satu sama lain. Anda kemudian boleh bercakap tentang bagaimana ayat-ayat ini membantu kita memahami perasaan Bapa Syurgawi tentang setiap kita.
-
Anda juga boleh menanyakan anak-anak anda tentang perkara-perkara yang orang anggap berharga. Atau anda boleh tunjukkan kepada mereka sesuatu yang berharga bagi anda. Bagaimanakah kita memperlakukan sesuatu yang bernilai kepada kita? Kemudian biarkan mereka bergilir-gilir melihat cermin. Apabila mereka melakukannya, beritahu setiap anak bahawa mereka adalah anak Tuhan dan mereka sangat berharga. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan orang lain bahawa “nilai jiwa [mereka] adalah besar” di mata kita?
-
Untuk menekankan bahawa semua orang sangat berharga kepada Bapa Syurgawi, anak-anak anda boleh melihat gambar pada akhir panduan ini semasa anda membaca Ajaran dan Perjanjian 18:10–13.
Butiran dari Worth of a Soul [Nilai Satu Jiwa], oleh Liz Lemon Swindle
Ajaran dan Perjanjian 18:13–16
Berkongsi injil membawa kegembiraan yang besar.
-
Untuk mengilhami anak-anak anda untuk berkongsi injil Yesus Kristus, anda boleh saling bercakap tentang pengalaman apabila anda menemui sesuatu yang anda ingin berkongsi dengan kawan atau keluarga anda. Mengapakah anda ingin berkongsi, dan apakah perasaan anda selepas berkongsi? Kemudian anda boleh membaca Ajaran dan Perjanjian 18:13, 16. Apakah yang membawa kegembiraan kepada Tuhan? Apakah yang Dia katakan akan membawa kita kegembiraan? Anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang pengalaman yang anda semasa berkongsi kegembiraan injil Juruselamat.
-
Sebuah lagu tentang berkongsi injil, seperti “Ku Ingin Jadi Misi Sekarang” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 90), dapat membantu anak-anak anda memikirkan cara mereka boleh berkongsi injil.
Ajaran dan Perjanjian 18:34–36
Saya dapat mendengar suara Tuhan dalam tulisan suci.
-
Anak-anak anda boleh bermain permainan di mana mereka cuba mengenal pasti suara orang yang berbeza, seperti ahli keluarga, kawan atau pemimpin Gereja. Bagaimanakah kita mengenali suara satu sama lain? Bagaimanakah kita mengenali suara Tuhan? Anda boleh membaca bersama Ajaran dan Perjanjian 18:34–36 untuk membincangkan soalan ini. Anda juga boleh saling berkongsi bagaimana anda telah mendengar suara Tuhan dalam tulisan suci.
Untuk idea lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.