Ikutlah Aku 2024
Lampiran A: Untuk Ibu Bapa—Menyediakan Anak-anak Anda untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan


“Lampiran A: Untuk Ibu Bapa—Menyediakan Anak-anak Anda untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)

“Lampiran A,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024

Lampiran A

Untuk Ibu Bapa—Menyediakan Anak-anak Anda untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan

Kerana Dia mengasihi anda, mempercayai anda, dan tahu potensi anda, Bapa Syurgawi memberi anda peluang untuk bantu anak-anak anda masuk dan maju di sepanjang jalan perjanjian-Nya, jalan ke kehidupan abadi (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25–28). Ini termasuk membantu mereka bersedia untuk membuat dan mentaati perjanjian kudus, seperti perjanjian pembaptisan dan perjanjian bait suci. Melalui perjanjian-perjanjian ini, anak-anak anda akan mengikat diri mereka kepada Juruselamat, Yesus Kristus.

Ada banyak cara untuk menyediakan anak-anak anda berjalan di jalan perjanjian, dan Bapa Syurgawi akan membantu anda mencari jalan terbaik untuk membantu mereka. Semasa anda mencari ilham, ingatlah bahawa tidak semua pembelajaran berlaku semasa pelajaran yang dijadualkan. Apa yang menjadikan pembelajaran di rumah sangat berkuasa adalah peluang untuk belajar melalui teladan dan melalui saat-saat kecil dan mudah—yang berlaku secara semula jadi dalam aliran kehidupan harian. Sepertimana mengikuti jalan perjanjian adalah satu proses sepanjang hayat yang konsisten, begitu juga mempelajari tentang jalan perjanjian. (Lihat “Rumah dan Keluarga,” Mengajar dengan Cara Juruselamat [2022], 30–31.)

Imej
ibu dan anak

Ada banyak cara untuk menyediakan anak-anak anda untuk berjalan di jalan perjanjian Tuhan.

Berikut adalah beberapa idea yang mungkin membawa kepada ilham yang lebih lanjut. Anda boleh mencari idea-idea tambahan untuk mengajar kanak-kanak sekolah Primer di “Lampiran B: Untuk Sekolah Primer—Menyediakan Kanak-kanak Seumur Hidup pada Jalan Perjanjian Tuhan.”

Pembaptisan dan Penetapan

Nefi mengajar bahawa “gerbang [jalan perjanjian] yang melaluinya hendaknya [kita] masuk” “adalah pertaubatan dan pembaptisan dengan air” (2 Nefi 31:17). Usaha anda untuk bantu anak-anak anda bersedia untuk pembaptisan dan penetapan boleh meneguhkan mereka di jalan itu. Usaha-usaha ini bermula dengan mengajar tentang iman kepada Yesus Kristus dan pertaubatan. Ia juga termasuk mengajar tentang bagaimana kita memperbaharui perjanjian pembaptisan kita dengan mengambil sakramen setiap minggu.

Berikut adalah beberapa sumber yang dapat membantu anda: 2 Nefi 31.

  • Apabila anda ada pengalaman yang menguatkan iman anda kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, kongsilah dengan anak anda. Bantu dia faham bahawa iman adalah sesuatu yang boleh menjadi semakin kuat sepanjang hidup. Apakah beberapa hal yang anak anda boleh lakukan untuk mengukuhkan iman kepada Kristus sebelum dia dibaptiskan?

  • Apabila anak anda membuat pilihan yang salah, cakaplah dengan gembira tentang kurnia pertaubatan. Dan apabila anda membuat pilihan yang salah, kongsi kegembiraan yang datang apabila anda bertaubat. Bersaksi bahawa kerana Yesus Kristus menderita dan mati untuk dosa-dosa kita, Dia memberi kita kuasa untuk berubah. Apabila anak anda mencari pengampunan, ampunilah dengan bebas dan gembira.

  • Beritahu anak anda tentang pembaptisan anda. Tunjukkan gambar dan berkongsi memori. Bincangkan perasaan anda, bagaimana perjanjian pembaptisan anda telah bantu anda lebih mengenali Yesus Kristus, dan bagaimana ia terus memberkati hidup anda. Galakkan anak anda untuk bertanya soalan.

  • Apabila ada pembaptisan dalam keluarga atau bahagian anda, bawalah anak anda untuk melihatnya. Bincangkan bersama tentang apa yang anda dan anak anda telah lihat dan rasai. Jika boleh, bercakap dengan orang yang dibaptiskan dan tanya soalan seperti berikut: “Bagaimanakah anda membuat keputusan ini? Bagaimanakah anda bersedia?”

  • Apabila anda lihat anak anda lakukan sesuatu yang dia janjikan, berikan pujian yang ikhlas. Tunjukkan bahawa mentaati komitmen membantu kita bersedia untuk mentaati perjanjian yang kita buat apabila kita dibaptiskan. Apakah yang kita janjikan kepada Tuhan apabila kita dibaptiskan? Apakah yang Dia janjikan kepada kita? (lihat Mosia 18:8–10, 13).

  • Apabila anda dan anak anda ada pengalaman kudus bersama (seperti di gereja, semasa membaca tulisan suci, atau semasa melayani seseorang), beritahu dia tentang perasaan atau tanggapan rohani yang anda peroleh. Jemput anak anda untuk berkongsi perasaan mereka. Perhatikan pelbagai cara Roh boleh bercakap dengan orang, termasuk cara-cara Dia berbicara kepada anda secara peribadi. Bantu anak anda mengenali saat-saat ketika dia mungkin mengalami pengaruh Roh Kudus.

  • Bincang bersama tentang pelbagai cara hamba-hamba Tuhan mendengar suara-Nya. Jemput anak anda untuk melukis gambar atau membuat video tentang bagaimana dia mendengar suara Juruselamat.

  • Bincangkan bagaimana menjadi ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir telah memberkati anda. Bagaimanakah anda mendekati Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus semasa anda melayani orang lain dan apabila orang lain telah melayani anda? Bantu anak anda fikirkan cara untuk melayani dan memperkuatkan orang lain sebagai ahli Gereja.

  • Jadikan sakramen satu peristiwa yang kudus dan gembira dalam keluarga anda. Bantu anak anda rancangkan cara untuk tumpukan pada Yesus Kristus semasa sakramen. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa sakramen adalah kudus bagi kita?

  • Imej
    seorang anak lelaki dibaptiskan

    Nefi mengajar bahawa “gerbang [jalan perjanjian] yang melaluinya hendaknya [kita] masuk” “adalah pertaubatan dan pembaptisan dengan air” (2 Nefi 31:17).

Kuasa, Wewenang dan Kunci-kunci Imamat

Imamat adalah wewenang dan kuasa Tuhan di mana Dia menggunakannya untuk memberkati anak-anak-Nya. Imamat Tuhan ada di bumi hari ini dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Semua ahli Gereja yang mentaati perjanjian mereka—termasuk kanak-kanak—diberkati dengan kuasa imamat Tuhan di rumah mereka untuk menguatkan diri dan keluarga mereka (lihat Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 3.5, Gospel Library). Kuasa ini akan membantu ahli-ahli dalam melakukan kerja penyelamatan dan permuliaan Tuhan dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka (lihat Buku Panduan Umum, 2.2).

Kita menerima tatacara-tatacara melalui wewenang imamat. Apabila lelaki dan wanita melayani dalam panggilan Gereja, mereka melayani dengan wewenang imamat, di bawah arahan pemegang kunci-kunci imamat. Semua anak Bapa Syurgawi—anak lelaki dan anak perempuan-Nya—akan diberkati apabila mereka lebih fahami imamat.

Untuk belajar lebih lanjut tentang imamat, lihat Russell M. Nelson, “Harta Karun Rohani,” Liahona, Nov. 2019, 76–79; Russell M. Nelson, “Harga Kuasa Imamat,” Liahona, Mei 2016, 66–69; “Asas-asas Imamat,” bab 3 dalam Buku Panduan Umum.

  • Jadikan tatacara imamat sebahagian kehidupan keluarga anda yang konsisten. Contohnya, bantu anak anda bersedia secara rohani untuk sakramen setiap minggu. Galakkan anak anda untuk mencari berkat imamat apabila dia sakit atau memerlukan penghiburan atau arahan. Jadikan ia satu tabiat untuk menunjukkan cara-cara Tuhan memberkati keluarga anda melalui kuasa imamat.

  • Semasa anda membaca tulisan suci bersama, cari peluang untuk bincangkan bagaimana Tuhan memberkati orang melalui kuasa-Nya. Kongsi pengalaman anda sendiri tentang ketika Tuhan telah memberkati anda melalui imamat-Nya. Untuk contoh berkat-berkat Tuhan yang kita terima melalui imamat, lihat Buku Panduan Umum, 3.2, 3.5.

  • Pelajari salasilah wewenang imamat seseorang dalam keluarga anda. (Para pemegang Imamat Melkisedek boleh menerima salinan salasilah wewenang mereka dengan menghantar e-mel kepada LineofAuthority@ChurchofJesusChrist.org. Bincangkan mengapakah ia penting untuk tahu wewenang imamat datang daripada Yesus Kristus sendiri. Mengapakah Dia kongsi itu dengan kita?

  • Ajarkan anak anda bahawa selepas pembaptisan, dia boleh menerima kuasa imamat dengan mentaati perjanjian pembaptisan. Kaji semula pesanan Presiden Russell M. Nelson “Harta Karun Rohani” (Liahona, Nov. 2019, 76–79). Beritahu anak anda bagaimana tatacara imamat telah membawa kuasa Tuhan ke dalam hidup anda. Untuk senarai tentang beberapa cara kita diberkati oleh kuasa imamat, lihat Buku Panduan Umum, 3.5.

  • Bincangkan soalan “Apakah itu hamba Tuhan?” Baca bersama Ajaran dan Perjanjian 121:36-42, dan cari jawapan. Apabila anda perhatikan anak anda (atau orang lain) menggunakan salah satu asas atau sifat dalam ayat-ayat tersebut, nyatakannya.

  • Apabila anda atau anak anda menggunakan kunci untuk buka pintu atau menghidupkan kereta, ambil masa untuk bandingkan kunci-kunci itu dengan kunci-kunci yang dipegang oleh pemimpin imamat. (Untuk definisi kunci-kunci imamat, lihat Buku Panduan Umum, 3.4.1). Apakah yang kunci-kunci imamat “buka” atau “mulakan” untuk kita? Lihat juga Gary E. Stevenson, “Di Mana Kunci-kunci dan Wewenang Imamat?,” Liahona, Mei 2016, 29–32.

  • Apabila anda ditetapkan untuk satu panggilan, jemput anak anda untuk hadir, jika boleh. Lakukan panggilan anda supaya anak boleh lihat. Anda juga boleh mencari cara-cara yang sesuai di mana dia boleh membantu anda. Jelaskan bagaimana anda merasai kuasa Tuhan dalam panggilan anda.

Pergi ke Bait Suci—Pembaptisan dan Penetapan bagi Orang Mati

Bait suci adalah sebahagian daripada rancangan Bapa Syurgawi untuk anak-anak-Nya. Di bait suci, kita membuat perjanjian kudus dengan Bapa Syurgawi semasa kita terlibat dalam tatacara kudus, yang mana semuanya mengarah kepada Yesus Kristus. Bapa Syurgawi telah menyediakan satu cara bagi semua anak-Nya untuk membuat perjanjian dan terlibat dalam tatacara, termasuklah mereka yang tidak menerimanya dalam kehidupan ini. Pada awal tahun dia akan berumur 12 tahun, anak anda cukup umur untuk dibaptiskan dan ditetapkan di bait suci untuk nenek moyang yang sudah meninggal.

  • Pergilah ke bait suci sekerap yang mungkin. Bercakaplah dengan anak anda tentang mengapa anda pergi dan bagaimana bait suci membantu anda berasa lebih dekat kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.

  • Kaji semula dan bincangkan soalan-soalan rekomen bait suci bersama. Bercakap dengan anak anda tentang apa yang berlaku dalam temu duga kad rekomen bait suci. Kongsi mengapa memiliki kad rekomen bait suci adalah penting bagi anda.

  • Baca bersama Maleakhi 4:6. Bincangkan bagaimana hati anda boleh berpaling kepada nenek moyang anda. Ketahui lebih lanjut tentang nenek moyang anda dengan meneroka sejarah keluarga anda di FamilySearch.org. Cari nenek moyang yang perlu dibaptiskan dan ditetapkan. Perunding bait suci dan sejarah keluarga bahagian boleh membantu anda.

Menerima Berkat Bapa Bangsa

Berkat bapa bangsa boleh menjadi sumber bimbingan, penghiburan, dan ilham. Ia mengandungi nasihat peribadi Bapa Syurgawi kepada kita dan membantu kita memahami identiti dan tujuan abadi kita. Bantu anak anda bersedia untuk menerima berkat bapa bangsa dengan mengajarnya kepentingan dan sifat kudus berkat bapa bangsa.

  • Kongsi dengan anak anda pengalaman anda menerima berkat bapa bangsa. Anda boleh berkongsi hal seperti bagaimana anda bersedia untuk menerimanya, bagaimana ia telah membantu anda mendekati Tuhan, dan bagaimana anda menggunakan berkat itu dalam hidup anda. Anda juga boleh jemput anak anda untuk bercakap dengan ahli keluarga lain yang telah menerima berkat bapa bangsa mereka.

  • Untuk belajar tentang proses menerima berkat bapa bangsa, lihat Buku Panduan Umum, 18.17.

  • Jika anda ada nenek moyang yang telah menerima berkat bapa bangsa, anda boleh membaca beberapa bersama anak anda. Untuk mohon berkat-berkat nenek moyang yang telah meninggal, log masuk ChurchofJesusChrist.org, klik ikon akaun di sudut kanan atas skrin, dan pilih “Berkat Bapa Bangsa.”

  • Selepas anak anda telah menerima berkat bapa bangsanya, jemput mana-mana ahli keluarga yang hadir untuk mencatat perasaan mereka dan berkongsi dengan anak anda.

Pergi ke Bait Suci—Anugerahan

Tuhan ingin menganugerahi, atau memberkati, semua anak-Nya dengan “kuasa dari syurga” (Ajaran dan Perjanjian 95:8). Kita pergi ke bait suci untuk menerima anugerahan sendiri hanya sekali sahaja, tetapi perjanjian yang kita buat dengan Tuhan dan kuasa rohani yang Dia berikan dalam anugerahan dapat memberkati kita setiap hari.

  • Paparkan satu gambar bait suci di rumah anda. Beritahu anak anda tentang perasaan anda di bait suci. Sering berbincang tentang kasih anda kepada Tuhan dan rumah-Nya dan perjanjian-perjanjian yang anda telah buat di sana.

  • Benarkan anak anda bertanya apa-apa pun soalan yang dia ada tentang bait suci. Untuk bimbingan tentang apa yang anda boleh bincangkan di luar bait suci, lihat pesanan Elder David A. Bednar “Disediakan untuk Mendapatkan Setiap Hal yang Diperlukan” (Ensign atau Liahona, Mei 2019, 101–4, lihat terutamanya bahagian yang bertajuk “Pembelajaran Injil yang Berpusat pada Keluarga dan Disokong oleh Gereja”).

  • Semasa anda dan anak anda terlibat dalam atau menyaksikan tatacara lain (seperti sakramen atau berkat penyembuhan), luangkan masa untuk bincangkan lambang yang terlibat dalam tatacara injil itu. Apakah yang lambang itu wakili? Bagaimanakah ia bersaksi tentang Yesus Kristus? Ini dapat membantu anak anda bersedia untuk merenungkan makna simbolik tatacara bait suci, yang juga bersaksi tentang Yesus Kristus.

  • Bantu anak anda perhatikan bagaimana dia mematuhi perjanjian pembaptisan yang digambarkan dalam Mosia 18:8–10, 13. Bantu anak anda perhatikan bagaimana Tuhan memberkati dia. Bina keyakinan anak anda terhadap kemampuannya untuk mentaati perjanjian.

  • Bercakap secara terbuka dan kerap tentang bagaimana perjanjian bait suci anda membimbing pilihan anda dan membantu anda lebih mendekati Yesus Kristus. Anda boleh gunakan Buku Panduan Umum, 27.2, untuk mengkaji semula perjanjian yang kita buat di bait suci.

Melayani Misi

Elder David A. Bednar mengajar: “Perkara paling penting yang anda boleh lakukan untuk bersedia bagi panggilan melayani adalah menjadi seorang misionari lama sebelum anda pergi melayani sebuah misi. … Isunya bukanlah pergi melayani misi; sebaliknya, isunya ialah menjadi seorang penginjil dan melayani sepanjang hidup kita dengan sepenuh hati, daya, fikiran, dan kekuatan kita. … Anda sedang bersedia untuk pekerjaan misionari sepanjang hidup” (“Becoming a Missionary,” Liahona, Nov. 2005, 45–46). Pengalaman anak anda menjadi seorang misionari akan memberkati dia secara abadi , bukan hanya untuk tempoh dia melayani sebagai seorang misionari.

Untuk tahu lebih lanjut, lihat Russell M. Nelson, “Mengkhutbahkan Injil Kedamaian,” Liahona, Mei 2022, 6–7; M. Russell Ballard, “Pelayanan Misionari Memberkati Hidup Saya Selamanya,” Liahona, Mei 2022, 8–10.

  • Tunjukkan bagaimana untuk berkongsi injil dengan cara semula jadi. Sentiasa peka terhadap peluang untuk berkongsi dengan orang lain perasaan anda tentang Bapa Syurgawi dan Juruselamat dan berkat-berkat yang anda terima sebagai ahli Gereja-Nya. Jemput orang lain untuk sertai keluarga anda di Gereja dan aktiviti yang berkaitan dengan keluarga.

  • Cari peluang untuk keluarga anda berinteraksi dengan para misionari. Jemput mereka untuk mengajar kawan-kawan anda, atau menawarkan rumah anda untuk mereka mengajar orang. Tanya para misionari tentang pengalaman yang mereka ada dan bagaimana pelayanan misionari membantu mereka mendekati Yesus Kristus. Tanya juga apa yang mereka lakukan (atau berharap mereka lakukan) untuk bersedia menjadi misionari.

  • Jika anda pernah melayani misi, bercakap secara terbuka dan kerap tentang pengalaman anda. Atau jemput kawan-kawan atau ahli keluarga yang telah melayani misi untuk bercakap tentang pengalaman mereka. Anda juga boleh bercakap tentang cara anda telah berkongsi injil dengan orang lain sepanjang hidup anda. Bantu anak anda fikirkan cara-cara dia boleh berkongsi injil.

  • Berikan anak anda peluang untuk mengajar asas-asas injil kepada keluarga anda. Anak anda juga boleh berlatih berkongsi kepercayaannya dengan orang lain. Contohnya, anda boleh bincangkan soalan seperti “Bagaimanakah kita memperkenalkan Kitab Mormon kepada seseorang yang tidak pernah mendengarnya?” atau “Bagaimanakah kita menggambarkan keperluan untuk seorang Juruselamat kepada seseorang yang bukan Kristian?”

  • Bantu anak anda menjadi selesa untuk bercakap dengan orang. Apakah beberapa cara baik untuk memulakan satu perbualan? Galakkan anak anda untuk belajar mendengar apa yang orang lain katakan, fahami apa yang ada dalam hati mereka, dan berkongsi kebenaran injil yang boleh memberkati kehidupan mereka.

  • Cari peluang untuk anak anda belajar tentang budaya dan agama lain. Bantu dia mengenali dan menghormati asas-asas yang baik dan benar dalam kepercayaan orang lain.

Pergi ke Bait Suci—Pemeteraian

Di dalam bait suci, seorang suami dan isteri boleh berkahwin untuk keabadian. Ini berlaku dalam tatacara yang dipanggil pemeteraian. Walaupun tatacara ini masih awal untuk anak-anak anda, hal-hal yang kecil, sederhana dan konsisten yang anda lakukan bersama dia dalam tahun-tahun ini dapat membantu dia bersedia untuk berkat yang indah ini.

  • Baca bersama “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia,” di Gospel Library. Apakah yang perisytiharan ini ajarkan tentang kegembiraan dalam kehidupan keluarga dan tentang perkahwinan yang berjaya? Bersama anak anda, kaji salah satu asas yang tersenarai dalam perisytiharan. Anda boleh mencari tulisan suci yang berkaitan dengan asas itu dalam Panduan Tulisan Suci. Anda juga boleh menetapkan matlamat untuk mengamalkan asas itu dalam keluarga anda. Semasa anda berusaha dalam matlamat anda, bincang bersama kesan mengamalkan asas itu dalam kehidupan keluarga.

  • Baca pesanan Presiden Dieter F. Uchtdorf bersama anak anda dalam “Pujian Kepada Orang yang Menyelamatkan” (Ensign atau Liahona, Mei 2016, 77–80). Apabila anda sampai ke bahagian yang bertajuk “Masyarakat yang Pakai Buang,” anda boleh cari benda-benda di rumah yang boleh dibuang dan benda-benda lain yang tidak. Bincangkan bagaimana anda memperlakukan benda dengan berbeza apabila anda mahu ia tahan lama. Apakah yang ini cadangkan tentang bagaimana kita harus memperlakukan perkahwinan dan hubungan keluarga? Apakah lagi yang kita pelajari dari pesanan Presiden Uchtdorf tentang bagaimana Juruselamat dapat membantu kita membina perkahwinan dan keluarga yang kuat?

  • Jika anda sudah berkahwin, bercakap secara terbuka dengan anak anda tentang hal yang anda rasa anda lakukan dengan baik sebagai pasangan, hal yang anda belajar, dan cara anda cuba memperbaiki. Jika anda dan pasangan anda telah dimeteraikan di bait suci, tunjukkan anak anda melalui contoh bagaimana anda berusaha untuk mentaati perjanjian anda dengan satu sama lain dan dengan Tuhan. Beritahu anak anda bagaimana anda berusaha untuk menjadikan Bapa Syurgawi dan Juruselamat pusat hubungan anda dan bagaimana Mereka membantu anda.

  • Apabila keputusan keluarga perlu dibuat, adakan majlis keluarga dan perbincangan. Pastikan semua pendapat ahli keluarga didengar dan dihargai. Gunakan perbincangan tersebut sebagai peluang untuk komunikasi yang sihat dan kebaikan dalam perhubungan keluarga, walaupun tidak semua orang melihat sesuatu dengan cara yang sama.

  • Apabila terdapat perselisihan atau konflik dalam keluarga, tunjukkan kesabaran dan simpati. Bantu anak anda melihat bagaimana menghadapi konflik seperti Kristus boleh membantu dia bersedia untuk perkahwinan yang bahagia. Baca bersama Ajaran dan Perjanjian 121:41–42, dan bincangkan bagaimana asas-asas dalam ayat-ayat ini boleh digunakan dalam perkahwinan.