Ikutlah Aku 2024
8–14 Januari: “Aku Akan Pergi dan Melaksanakan.” 1 Nefi 1–5


“8–14 Januari: ‘Aku Akan Pergi dan Melaksanakan.’ 1 Nefi 1–5,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)

“8–14 Januari. 1 Nefi 1–5,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)

Imej
Keluarga Lehi mengembara di padang pasir

Lehi Traveling Near the Red Sea [Lehi Mengembara Dekat Laut Merah], oleh Gary Smith

8–14 Januari: “Aku Akan Pergi dan Melaksanakan”

1 Nefi 1–5

Kitab Mormon bermula dengan laporan sebuah keluarga yang mengalami pergelutan. Ia berlaku pada 600 SM, tetapi ada hal-hal dalam laporan ini yang mungkin agak sama dengan keluarga hari ini. Keluarga ini hidup dalam dunia yang jahat, tetapi Tuhan berjanji jika mereka akan mengikuti-Nya, Dia akan memimpin mereka pada keselamatan. Sepanjang perjalanan itu, mereka mengalami masa senang dan susah, berkat dan mukjizat besar, tetapi mereka juga mengalami pertengkaran dan pertikaian. Jarang sekali dalam kitab suci terdapat kisah terperinci tentang keluarga yang cuba menjalankan injil: ibu bapa bergelut untuk mengilhami iman keluarga dan bimbang tentang keselamatan mereka, anak-anak memutuskan sama ada akan mempercayai ibu bapa mereka, dan cemburu dan perselisihan adik-beradik—dan kadangkala saling memaafkan. Keseluruhannya, terdapat kuasa dalam contoh iman keluarga yang tidak sempurna ini.

Idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

1 Nefi 1–5

Firman Tuhan “sangat berharga” kepada saya.

Satu pesanan yang menonjol dalam Kitab Mormon ialah firman Tuhan yang “sangat berharga” (1 Nefi 5:21). Semasa anda membaca 1 Nefi 1–5, cari cara firman Tuhan secara langsung atau tidak langsung telah memberkati keluarga Lehi (contohnya, lihat 1:11–15; 3:19–20; 5:10–22). Apakah yang bab-bab ini ajarkan tentang firman Tuhan? Apakah yang mengilhami anda untuk menyelidiki tulisan suci?

Lihat juga “S’dang Kubaca Kitab Suci,” Nyanyian Rohani, no. 117.

1 Nefi 2

Saya boleh memperoleh dan menguatkan kesaksian semasa saya berpaling kepada Tuhan.

Nefi terkenal dengan imannya yang kuat kepada Tuhan, tetapi dia terpaksa bekerja untuk memperoleh kesaksiannya—sama seperti kita semua. Apakah yang anda baca dalam 1 Nefi 2 yang menunjukkan mengapa Nefi dapat kesaksian bahawa kata-kata bapanya adalah benar? Mengapakah Laman dan Lemuel tidak dapat kesaksian ini? (Lihat juga 1 Nefi 15:2–11). Bilakah anda pernah merasakan Tuhan melembutkan hati anda?

1 Nefi 3–4

Imej
ikon seminari
Tuhan akan menyediakan jalan untuk saya melakukan kehendak-Nya.

Apabila Tuhan perintahkan anak-anak Lehi untuk dapatkan kepingan-kepingan loyang, Dia tidak berikan arahan khusus tentang caranya. Ini selalunya benar tentang arahan Tuhan yang kita terima, dan mungkin terasa seperti Dia telah meminta “suatu hal sukar” (1 Nefi 3:5). Apakah yang mengilhami anda tentang tindak balas Nefi terhadap perintah Tuhan dalam 1 Nefi 3:7, 15–16?

Semasa anda membaca 1 Nefi 3–4, cari pelbagai kesukaran yang Nefi hadapi. Bagaimanakah Tuhan “menyediakan suatu jalan” bagi Nefi untuk “menyempurnakan hal itu yang Dia perintahkan”? Mengapakah penting bagi anda untuk tahu apa yang Tuhan lakukan untuk Nefi?

Satu cara berkuasa yang Tuhan telah sediakan untuk kita mematuhi perintah-Nya ialah dengan mengutus Yesus Kristus untuk menjadi Juruselamat kita. Pertimbangkan untuk membaca pesanan Presiden Dallin H. Oaks “Apa yang Juruselamat Kita Telah Selesaikan untuk Kita?” (Liahona, Mei 2021, 75–77). Bagaimanakah Yesus Kristus telah menyediakan jalan bagi kita? Tahu bahawa Dia telah mengatasi segala hal bagi anda, apa yang anda terilham untuk “pergi dan melaksanakan”?

Gunakan cerita dan contoh untuk mengajar asas-asas Injil. Semasa anda bersedia untuk mengajar, fikirkan pengalaman peribadi yang boleh menambah kesaksian kedua kepada kisah dalam tulisan suci. Contohnya, bilakah Tuhan telah menyediakan cara untuk anda melakukan kehendak-Nya?

Imej
Lehi dan Saria menyambut Nefi dan saudara-saudaranya

Their Joy Was Full [Kegembiraan Mereka Penuh], oleh Walter Rane

1 Nefi 4:1–3; 5:1–8

Mengingati pekerjaan Tuhan boleh memberi saya iman untuk mematuhi perintah-Nya.

Apabila Laman dan Lemuel berasa ingin merungut atau mengeluh, mereka ada Nefi dan Lehi untuk mengilhami dan menyokong mereka. Apabila anda berasa ingin merungut, anda boleh membaca kata-kata Nefi dan Lehi. Bagaimanakah Nefi dan Lehi cuba membantu orang lain membina iman kepada Tuhan? (lihat 1 Nefi 4:1–3; 5:1–8; lihat juga 1 Nefi 7:6–21). Apakah yang anda pelajari yang boleh membantu apabila anda tergoda untuk merungut atau mengeluh?

1 Nefi 4:5–18

“Aku dipandu oleh Roh.”

Dalam 1 Nefi 4:5–18, apakah yang anda kagum tentang keupayaan Nefi untuk mengenali dan mengikuti Roh? Anda boleh mengkaji pesanan Presiden Russell M. Nelson “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita” (Liahona, Mei 2018, 93–96) untuk tahu lebih lanjut tentang menerima wahyu daripada Tuhan.

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

1 Nefi 2:16

Saya boleh ada kesaksian saya sendiri.

  • Bagaimanakah Nefi tahu apa yang bapanya ajarkan adalah benar? Bantu anak-anak anda mencari jawapan kepada soalan ini dalam 1 Nefi 2:16, 19. Mereka juga boleh menulis tindakan Nefi pada blok atau objek lain dan kemudian membina sesuatu dengan objek itu. Ini boleh membawa perbincangan tentang cara tindakan ini membantu kita membina kesaksian.

  • Anda boleh tunjukkan anak-anak anda gambar atau objek yang mewakili hal yang mereka boleh cari kesaksian, seperti Kitab Mormon atau gambar Yesus Kristus, bait suci, atau nabi yang hidup. Jemput mereka untuk pilih satu dan berkongsi kesaksian mereka tentang hal itu. Anda juga boleh beritahu bagaimana anda memperoleh kesaksian anda. Mengapakah kita perlukan kesaksian sendiri?

1 Nefi 3–4

Tuhan akan bantu saya mematuhi perintah-Nya.

  • Pertimbangkan untuk gunakan satu atau lebih daripada sumber ini untuk membantu anak-anak anda bercakap tentang bagaimana Tuhan bantu Nefi dapatkan kepingan-kepingan loyang: 1 Nefi 3–4; halaman aktiviti minggu ini; “Keberanian Nefi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 64); dan “Bab 4: Kepingan-kepingan Loyang” (dalam Cerita-Cerita Kitab Mormon, 8–12).

  • Anda dan anak-anak anda boleh lakon peranan 1 Nefi 3:2–7. Anda boleh berpura-pura menjadi Lehi dan minta anak-anak anda kembali ke Yerusalem untuk dapatkan kepingan-kepingan loyang. Jemput mereka untuk menjawab dengan kata-kata sendiri seolah-olah mereka adalah Laman dan Lemuel atau Nefi. Apakah beberapa hal yang Tuhan perintahkan kita untuk lakukan? (lihat gambar 103–15 dalam Buku Seni Injil atau Mosia 18:8–10 untuk idea). Bagaimanakah kita boleh menjadi seperti Nefi?

1 Nefi 3:19–21; 5:19–22

Tulisan suci adalah harta karun yang besar.

  • Tulisan suci sangat penting bagi keluarga Lehi. Untuk menggambarkan ini, anda boleh menjemput anak-anak anda untuk menceritakan atau melakonkan apa yang Nefi dan saudara-saudaranya lakukan untuk dapatkan kepingan-kepingan loyang: mereka berjalan jauh, menyerahkan emas dan perak mereka, dan bersembunyi dalam sebuah gua untuk menyelamatkan nyawa mereka. Kemudian anda boleh membaca 1 Nefi 5:21 dan bincang mengapa tulisan suci sangat berharga bagi keluarga Lehi. Mengapa ia berharga kepada kita? Bagaimanakah kita boleh melayani tulisan suci seperti harta karun?

Imej
Nefi dan keluarganya mengkaji kepingan-kepingan

Nefi dan keluarganya menghargai tulisan suci.

1 Nefi 4:6

Roh Kudus akan memimpin saya ketika saya berusaha untuk melakukan kehendak Tuhan.

  • Selepas menyemak 1 Nephi 3 bagaimana Nefi dan saudara-saudaranya cuba dapatkan kepingan-kepingan loyang, baca bersama anak-anak anda 1 Nefi 4:6 untuk tahu apa yang Nefi lakukan yang membolehkan dia berjaya. Kemudian anak-anak anda boleh senaraikan hal yang Tuhan mahu mereka lakukan. Bagaimanakah Roh Kudus dapat membantu kita dalam situasi ini?

Imej
Nefi berdiri di sebelah Laban yang mabuk

I Did Obey the Voice of the Spirit [Aku Mematuhi Suara Roh], oleh Walter Rane