Ikutlah Aku 2024
3–9 Jun: “Mereka Tabah dan Tak Tergoyah.” Mosia 29–Alma 4


“3–9Jun: ‘Mereka Tabah dan Tak Tergoyah.’ Mosia 29–Alma 4,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2024)

“3–9 Jun. Mosia 29–Alma 4,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2024)

Imej
Alma yang Muda mengkhutbah

Alma the Younger Preaching [Alma yang Muda Mengkhutbah], oleh Gary L. Kapp

3–9 Jun: “Mereka Tabah dan Tak Tergoyah”

Mosia 29Alma 4

Ada yang mungkin melihat cadangan Raja Mosia untuk menggantikan raja-raja dengan hakim-hakim terpilih hanyalah reformasi politik yang bijak. Namun bagi bangsa Nefi, terutamanya mereka yang telah hidup di bawah pemerintahan jahat Raja Nuh, perubahan ini juga mempunyai kepentingan rohani. Mereka telah melihat bagaimana seorang raja yang tidak soleh telah mempengaruhi rakyatnya, dan mereka “amat berminat” untuk bebas dari pengaruh sedemikian. Perubahan ini membolehkan mereka bertanggungjawab ke atas kesolehan mereka sendiri dan “bertanggungjawab atas dosa-dosa [mereka] sendiri” (Mosia 29:38).

Namun, pengakhiran pemerintahan raja-raja tidak bermakna tamatnya masalah-masalah dalam masyarakat bangsa Nefi. Orang licik seperti Nehor dan Amlisi menggalakkan idea-idea palsu, mereka yang tidak percaya menganiaya Orang Suci, dan ramai ahli Gereja membanggakan diri dan menjauhi gereja. Namun “para pengikut Tuhan yang rendah hati” kekal “tabah dan tak tergoyah” walau apa pun yang berlaku di sekitar mereka (Alma 4:15; 1:25).

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Mosia 29:26–27; Alma 2:1–7

Saya boleh menjadi pengaruh positif dalam komuniti saya.

Setelah lima tahun dalam pemerintahan hakim-hakim, timbul satu krisis yang menguji deklarasi Mosia bahawa suara rakyat akan memilih yang benar (lihat Mosia 29:26). Kaji Alma 2:1–7 untuk tahu apakah isu itu dan apa yang bangsa Nefi lakukan mengenainya. Apakah yang mungkin berlaku jika “jemaah gereja” tidak menjadikan suara mereka didengari? Apakah lagi yang anda pelajari dari laporan ini tentang bagaimana Tuhan mahu anda terlibat dalam komuniti anda? (lihat juga Mosia 29:26–27).

Apakah isu penting yang komuniti anda hadapi? Pertimbangkan bagaimana anda, seperti bangsa Nefi, boleh pastikan suara anda termasuk dalam “suara rakyat.” Apakah cara lain anda, sebagai pengikut Yesus Kristus, boleh mempengaruhi komuniti anda demi kebaikan?

Lihat juga Dallin H. Oaks, “Kasihilah Musuh Kamu,” Liahona, Nov. 2020, 26–29.

Alma 1

Firman Tuhan dapat membantu saya mengenali ajaran palsu.

Walaupun Nehor akhirnya mengakui ajarannya adalah palsu, ajarannya terus mempengaruhi bangsa Nefi selama bertahun-tahun. Mengapakah orang suka apa yang Nehor ajarkan? Dalam Alma 1:2–6, cari penipuan dalam ajaran Nehor—dan kebenaran yang dia gunakan untuk menyembunyikan penipuan itu.

Gideon bertahan terhadap Nehor “dengan firman Tuhan” (Alma 1:7, 9). Berikut adalah beberapa tulisan suci yang menyangkal penipuan Nehor: Matius 7:21–23; 2 Nefi 26:29–31; Mosia 18:24–26; dan Helaman 12:25–26. Cuba ringkaskan setiap petikan tulisan suci. Apakah yang anda telah pelajari dari para nabi hidup yang menyangkal ajaran palsu di zaman kita?

Alma 1:19–31; 4:6–15

Pengikut sejati Yesus Kristus adalah “para pengikut Tuhan yang rendah hati.”

Bab 1 dan 4 Alma menggambarkan masa ketika Gereja makmur, tetapi ahli Gereja bertindak balas terhadap kemakmuran itu secara berbeza. Contohnya, bandingkan Alma 1:19–30 dengan Alma 4:6–15 untuk melihat bagaimana ahli Gereja berubah dalam beberapa tahun sahaja. Berdasarkan apa yang anda telah baca, bagaimanakah perasaan pengikut Yesus Kristus yang benar tentang orang yang mempunyai kepercayaan yang berbeza? Apakah sikap pengikut sejati Kristus terhadap kekayaan dan kemakmuran? Apakah yang anda terilham untuk ubah dalam sikap diri anda?

Mengibaratkan tulisan suci kepada diri sendiri. Pertimbangkan bagaimana kisah dan ajaran tulisan suci digunakan dalam hidup anda. Contohnya, anda mungkin mendapati persamaan antara masalah yang anda perhatikan hari ini dan masalah yang bangsa Nefi hadapi dalam Alma 1–4.

Alma 4:6–20

Imej
ikon seminari
Teladan dan kesaksian saya boleh mengubah hati.

Mungkin anda boleh fahami kesedihan Alma apabila dia melihat apa yang berlaku di kalangan rakyatnya. Cari masalah yang dia lihat dalam Alma 4:6–15. Pernahkah anda perhatikan masalah yang serupa? Mungkin anda risau tentang orang yang dikasihi yang bergelut dengan masalah-masalah ini. Adakah anda tertanya-tanya apa yang anda boleh lakukan untuk membantu?

Ada yang mungkin berkata bahawa Alma, sebagai hakim utama, adalah orang yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah ini. Namun Alma merasa bahawa ada cara yang lebih baik. Semasa anda membaca ayat 16–20, apakah yang menarik perhatian anda tentang pendekatan dia untuk membantu umatnya?

Alma mempunyai iman yang besar dalam firman Tuhan dan “kesaksian [tulen]” (ayat 19). Apakah contoh yang anda telah lihat tentang kuasa kesaksian tulen? Semasa anda merenungkan pelbagai cara anda boleh berkongsi kesaksian tentang Yesus Kristus dan injil-Nya, anda boleh membaca semula Alma 4:6–14. Apakah yang tindakan ahli Gereja dalam ayat-ayat ini ungkapkan mengenai kesaksian mereka tentang Yesus Kristus dan ajaran-Nya? Apakah yang anda perhatikan tentang kesan tindakan mereka—ke atas diri mereka dan orang lain? Anda juga boleh berfikir tentang cara anda telah diberkati oleh kesaksian tulen orang lain, sama ada ia dikongsi melalui perkataan atau tindakan.

Fikirkan cara anda boleh berkongsi kesaksian anda tentang Yesus Kristus—dalam perkataan atau tindakan. Siapakah yang akan mendapat manfaat dari kesaksian anda?

Lihat juga Gary E. Stevenson, “Memelihara dan Memberi Kesaksian Anda,” Liahona, Nov. 2022, 111–114; “Kesaksian,” Nyanyian Rohani, no. 54.

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Alma 1:2–9

Tuhan boleh membantu saya mengenali ajaran palsu.

  • Satu cara untuk mengkaji Alma 1:2–4 dengan anak-anak anda adalah membantu mereka membuat kuiz yang benar atau palsu menggunakan kenyataan yang Nehor seorang pengajar palsu ajarkan. Kemudian anda boleh bercakap dengan mereka tentang mengapa Setan sering menggabungkan kebenaran dengan kepalsuan. Bantu anak anda memikirkan beberapa contoh. Dalam ayat 7–9, bagaimana Gideon menahan penipuan Nehor? (Lihat juga “Bab 20: Alma dan Nehor,” Cerita-Cerita Kitab Mormon, 54–55.)

Alma 1:19–25

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus, saya mengasihi dan melayani orang lain.

  • Sesetengah ahli Gereja Tuhan pada zaman Alma bermurah hati dan suka memberi, dan ahli lain tidak baik hati dan angkuh. Untuk membantu anak-anak anda belajar dari pengalaman ini, anda boleh membaca bersama Alma 1:27, 30 dan buat senarai jenis orang yang ahli Gereja Tuhan bantu. Siapa yang kita tahu yang mungkin “memerlukan” (Alma 1:30) kasih dan bantuan kita? Anda juga boleh menyanyi bersama lagu tentang kasih dan pelayanan, seperti “Kebaikan Mulai Dari Aku” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 83), dan bantu kanak-kanak fikirkan aksi yang sesuai dengan lagu itu.

  • Apakah yang kita harus lakukan apabila orang tidak baik terhadap kita? Pertimbangkan untuk membaca bersama anak-anak anda bagaimana pengikut Kristus diperlakukan dalam Alma 1:19–20. Bincangkan bagaimana mereka bertindak balas dalam ayat 22 dan 25. Mungkin anda boleh berlatih cara untuk bertindak balas apabila orang lain tidak baik.

Alma 4:8–20

Kesaksian saya dapat menguatkan orang lain.

  • Selalunya “kesaksian” (Alma 4:19) seorang kanak-kanak boleh mempunyai pengaruh yang kuat terhadap orang lain. Untuk membantu anak-anak anda menemukan ini, anda boleh membaca Alma 4:8–12, 15 bersama, bantu mereka mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku dalam Gereja. Apakah yang Alma boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini? Bantu mereka tahu apa yang Alma memutuskan untuk lakukan dalam Alma 4:16–20. Mungkin anda boleh saling berkongsi bagaimana kesaksian orang lain tentang Kristus telah menguatkan anda.

  • Jika anak-anak anda perlukan contoh-contoh kesaksian, pertimbangkan untuk menunjukkan klip video pembicara dalam persidangan umum memberi kesaksian. Anda juga boleh gunakan halaman aktiviti minggu ini atau menyanyi bersama lagu seperti “Kesaksian” (Nyanyian Rohani, no. 54). Apakah yang kita pelajari tentang kesaksian daripada sumber ini? Minta anak-anak anda berlatih berkongsi kesaksian mereka.

Imej
bangsa Nefi berperang dengan bangsa Amlisi

Alma and Amlici [Alma dan Amlisi], oleh Scott M. Snow