Persidangan Umum
Cepat Membantu, Lambat Menghakimi
persidangan umum Oktober 2026


8:16

Cepat Membantu, Lambat Menghakimi

Cepat membantu dan lambat menghakimi adalah cara mudah dan mendalam untuk setiap kita menjadi lebih seperti Juruselamat.

Perumpamaan Butang-butang yang Mengelirukan

“Dan kanak-kanak akan menjaga semuanya.” Beberapa tahun yang lalu, tulisan suci ini benar-benar nyata bagi saya. Ia berlaku semasa program Sekolah Primer bahagian.

Pagi hari Sabat itu, kawan muda saya James memakai sut baharu. Ketika program bermula, James memeriksa beberapa aspek menarik tentang sut baharunya. Terdapat dua ciri jaketnya yang paling menarik perhatiannya. Pada lengan jaketnya terdapat butang tetapi tiada lubang. Dan pada lapel kiri jaketnya terdapat lubang butang tetapi tiada butang. Butang atau lubang butang tidak memberi apa-apa fungsi sebenar.

Tetapi, dengan bijak James mencipta tujuan untuk kedua-duanya. Saya memerhati ketika James dengan gembira membutang lengan kanannya ke lapel jaket kirinya. Malangnya kegembiraan itu tidak bertahan lama, dia panik setelah mendapati dirinya tersekat dalam jaket yang dibutangkan dari lengan ke dada. James telah secara tidak sengaja, tetapi agak berjaya, mencipta satu baju pasung dengan satu lengan.

Apabila James semakin tersekat, saya menjadi semakin geram. Butang yang mengelirukan telah digunakan untuk tujuan yang janggal dan bagi saya merimaskan. Saya menggelengkan kepala dengan kecewa kerana James akan pergi ke mimbar.

Tetapi saya ternampak kanak-kanak perempuan kecil duduk di sebelah James. Dia juga menyaksikan kepayahan James serta kebimbangannya yang bertambah. Namun, sebalik berasa geram, dia ingin membantu. Tanpa membuang masa, dia mencapai dengan jari-jemarinya yang kecil dan jujur, lalu membebaskan butang daripada lubang butang itu. James diselamatkan dan program Sekolah Primer telah diselamatkan!

Saya rasa lega tetapi juga berasa insaf. Saya mengenali teguran senyap tentang butang yang mengelirukan dan jari-jemari kecil mengingatkan saya bahawa saya harus menjadi lebih seperti Yesus. Saat kecil tetapi agung itu membantu saya menghargai apa yang digambarkan oleh Elder Patrick Kearon sebagai “pembaharuan” jiwa saya. Saya tidak ingat topik program Sekolah Primer pada hari itu, tetapi pesanan yang saya terima melalui Roh Kudus mendorong penjajaran rohani. Anak kecil itu mengajar saya ini: bahawa seorang pengikut Yesus Kristus yang sejati cepat membantu dan lambat menghakimi.

Juruselamat Membantu (dan Tidak Menghakimi) Wanita di Perigi

Juruselamat mengajar asas penganutan yang penuh kasih ini sejak permulaan pelayanan fana-Nya. Dalam Injil Yohanes, Dia melayani seorang wanita Samaria. Kita tidak tahu namanya. Kita telah mengenali dia sebagai “wanita di perigi.” Interaksinya dengan Tuhan Yesus Kristus mengajar banyak pengajaran. Satu pengajaran kritikal adalah teladan Juruselamat yang cepat menawarkan rahmat dan bantuan yang mengubah.

Pada awal perbualan itu, Yesus letih dan tanpa diduga meminta minuman dari wanita itu. Kita hanya boleh bayangkan berapa hari wanita ini telah datang ke perigi ini pada saat ini, bersendirian—sehingga hari ini. Baginya, ia adalah hari yang biasa—sehingga Yesus muncul. Pada hari biasanya, dia mungkin mengalami banyak penghakiman, tapi kurang bantuan—sehingga hari tersebut.

Wanita ini mungkin telah melakukan banyak hal yang wajar dinilai, bukan sekadar membutangkan lengan bajunya ke lapel. Rupa-rupanya, dia pernah melalui siri kegagalan dalam hubungan dan, ketika itu, sedang tinggal dengan lelaki yang bukan suaminya Tetapi apakah yang kita benar-benar tahu tentang keadaannya? Adakah dia balu? bercerai? ditinggalkan? Kita tidak tahu. Sekarang, sila jangan salah faham. Ceritanya sangat penting, tetapi ini bukan butiran penghakiman yang kita perlu tahu tentang perjalanannya.

Apakah yang Kristus tumpukan sebaliknya? Bantuan. Tawaran “air yang memberikan hidup.” Penebus Agung semua manusia tahu segalanya tentang wanita yang tiada nama ini, dan Dia datang kepada dia untuk menjadi saksi hidup akan air yang memberikan hidup. Dia menawarkan rahmat dan bantuan transformasi.

Dia berbicara kepada wanita itu dengan hormat, bukan malu. Dia ikhlas mendengar soalannya dan menjawab dengan pengajaran, bukan cemuhan. Dia tidak menghukum berdasarkan sejarahnya. Dia mempercayainya dengan kebenaran. Yesus Kristus mengingatkan bahawa untuk membantu mengubah kehidupan orang, kita bukan hanya memandang masa lalu mereka—kita mesti memandang potensi mereka. Dia berjalan ke perigi itu sebagai paria. Dia meninggalkan perigi itu dengan tujuan. Itulah gambaran sebenar maksud “cepat membantu dan lambat menghakimi”.

Muncul pada Hari-hari Biasa untuk Kawan-kawan dan Ahli Baharu

Setiap hari, misionari bertemu dengan orang-orang di perigi zaman moden di seluruh dunia. Mereka mengisytiharkan bahawa Yesus ialah Kristus, “Aku” yang agung. Mereka mencari, mengajar, membaptis, dan menetapkan orang yang mungkin takutkan penghakiman tetapi perlukan bantuan. Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita dijemput untuk membaharui jiwa kita supaya kita boleh menolong kawan dan ahli baharu lebih seperti Kristus. Presiden Dallin H. Oaks telah menjemput kita untuk berusaha “menjadi kudus, seperti Juruselamat kita.” Cepat membantu dan lambat menghakimi adalah cara mudah dan mendalam untuk kita menjadi lebih kudus, lebih seperti Juruselamat, untuk menjadi pengikut yang sejati.

Saya berdoa agar apabila lelaki dan wanita zaman moden ini bertemu dengan kita di perigi, mereka akan tahu mereka telah “pulang ke rumah.” Saya berdoa mereka akan mengenali kita sebagai pengikut Yesus Kristus yang berusaha, sedia mengisi mereka dengan air yang memberikan hidup dan penuh kasih. Saya bersaksi bahawa bila kita membantu orang tanpa menghakimi, satu demi satu, dengan cara kecil dan sederhana, kita sedang menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Yesus Kristus. Saya bersaksi ini dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Yesaya 11:6.

  2. Saya berkongsi cerita ini dengan kebenaran daripada James dan keluarganya.

  3. Lihat “Ku Mau Jadi S’perti Yesus,” Buku Nyanyian Kanak-Kanak, 40.

  4. Lihat Russell M. Nelson, “Tuhan Yesus Kristus Akan Datang Lagi,” Persidangan Umum, Okt. 2024; lihat juga Ronald A. Rasband, “Di Hadapan Mata Kita,” Persidangan Umum, Apr. 2025.

  5. Patrick Kearon, “Niat Tuhan Adalah Untuk Membawa Anda Pulang,” Persidangan Umum, Apr. 2024.

  6. Presiden Dallin H. Oaks mengajar yang berikut tentang lambat untuk menghakimi orang lain: “Kita mesti menahan diri daripada membuat penghakiman terakhir terhadap orang kerana kita kekurangan pengetahuan dan kebijaksanaan untuk berbuat demikian. … Cara penghakiman terakhir Tuhan adalah untuk mengaplikasikan pengetahuan sempurna-Nya tentang hukum yang seseorang telah terima dan untuk menghakimi berdasarkan keadaan orang itu, motif, dan tindakan sepanjang hidupnya” (“‘Judge Not’ and Judging,” Ensign, Ogos 1999, 8; lihat juga Matius 7:1–5; Lukas 6:37–42; 3 Nefi 14:1–12; Mormon 8:20). Begitu juga, Yesus mengajar secara konsisten bahawa membantu orang lain harus menjadi tanda penganutan kita (lihat Matius 5:38–47; Markus 10:45; Lukas 10:30–37). Dalam Kitab Mormon, ciri-ciri penganutan ini diajar dalam banyak ayat, termasuk penerangan indah tentang cara kita boleh mentaati perjanjian yang kita buat semasa pembaptisan. Ayat-ayat ini menggambarkan banyak cara di mana kita membantu dan melayani orang lain (lihat Mosia 18:8–11; lihat juga Yakub 2:17–19; Alma 1:26–27; 3 Nefi 13:1–4). Yesus Kristus menunjukkan kita teladan sempurna untuk membantu tanpa menghakimi ketika Dia muncul kepada bangsa Nefi dan “tinggal lebih lama sedikit bersama mereka” (3 Nefi 17:5). Tanpa sebarang penghakiman, Dia memenuhi setiap keperluan dan menyembuhkan setiap luka hanya kerana Dia “dipenuhi dengan rasa kasihan” dan “belas kasihan” (3 Nefi 17:6, 7).

  7. Lihat Yohanes 4:4–42. Mereka yang mempunyai perbualan satu demi satu dengan Juruselamat dalam Perjanjian Baru termasuk pemerintah muda yang kaya (lihat Matius 19:16–22), pencuri di salib (lihat Lukas 23:39–43), Nikodemus (lihat Yohanes 3:1–21), lelaki di kolam Betesda (lihat Yohanes 5:2–15), Pontius Pilatus (lihat Yohanes 18:33–38), Maria Magdalena (lihat Yohanes 20:11–18), dan Simon Petrus (lihat Yohanes 21:15–19). Dengan berkuasa, dalam Kitab Mormon, Yesus Kristus menyentuh para pengikut-Nya “satu demi satu” dan bercakap kepada mereka secara peribadi (3 Nefi 18:36; lihat juga 28:1–3).

  8. Pada masa Juruselamat bertemu dengan wanita di perigi itu, permusuhan budaya dan agama di antara orang Yahudi dan orang Samaria adalah mendalam. Sepertimana Presiden Dallin H. Oaks meringkaskannya, orang Samaria “berasal daripada golongan yang dipinggirkan dan dipandang hina” (“Hidup dalam Kristus,” Persidangan Umum, Apr. 2026). Oleh itu, ia mendedahkan apabila Yesus memutuskan bahawa Dia “harus melalui Samaria” (Yohanes 4:4, New International Version; penekanan ditambah). Keputusannya untuk pergi ke Samaria dengan sengaja dan bercakap dengan seorang wanita Samaria adalah radikal secara sosial dan mendalam secara rohani. Presiden Oaks mengajar lagi pada persidangan umum April 2026 bahawa hidup dalam Kristus termasuk menjadi pendamai (lihat “Hidup dalam Kristus,” 85–87). Betapa menakjubkan, namun tidak mengejutkan, bahawa salah satu tindakan awal pelayanan Juruselamat di bumi adalah untuk menjadi pendamai dengan wanita di perigi.

  9. Lihat Yohanes 4:7. Ini bukan kali terakhir Juruselamat letih dan meminta minuman. Pada penghujung pelayanan fana-Nya, letih kerana penderitaan-Nya dan tergantung di kayu salib, Yesus sekali lagi meminta minum (lihat Yohanes 19:28). Semasa kita merenungkan Yesus Kristus melayani wanita di perigi, marilah kita juga mempertimbangkan saat kedatangan apabila Dia akan sekali lagi letih dan haus. Juruselamat dunia yang disalibkan akan cepat membantu dan lambat menghakimi. Dia akan menawarkan nyawa-Nya untuk kita (lihat Yohanes 19:30).

  10. Terdapat satu peribahasa dalam bahasa Inggeris dan banyak bahasa Eropah yang menyatakan bahawa seseorang “tidak patut pergi ke perigi terlalu kerap.” Peribahasa tersebut cuba mengajar bahawa seseorang yang terlalu kerap bergantung kepada sumber bantuan yang sama berisiko menyusutkan nilai sumber itu, sehinggalah ia akhirnya gagal berfungsi (lihat The Free Dictionary, “go to the well too many times,” idioms.thefreedictionary.com). Meskipun peribahasa tersebut berguna untuk menggambarkan sumber-sumber duniawi, ia tidak terpakai apabila kita bercakap tentang Yesus Kristus. Kita tidak boleh pergi ke perigi kita sendiri untuk bertemu dengan-Nya terlalu banyak kali (lihat Mosia 26:30). Usaha kita untuk mengakses Korban Tebusan Yesus Kristus tidak menghapuskan keberkesanannya kerana ia tidak terhingga. Menggambarkan hubungan mulia antara Korban Tebusan Yesus Kristus dan bantuan tanpa menghakimi yang diterima oleh abangnya yang sedang menderita penyakit kanser, Uskup W. Christopher Waddell berkata: “Syukurlah kepada lelaki dan wanita baik yang melihat keperluan, mereka tidak menghakimi tetapi melayani seperti Juruselamat, ia tidak terlalu lambat untuk Mike. … Kita mesti ingat bahawa ia tidak terlalu lambat dan tidak ada seseorang yang telah menyimpang terlalu jauh dari perjalanan yang tidak dapat dicapai oleh Korban Tebusan Yesus Kristus yang tidak terhingga, yang adalah tak terbatas dalam tempoh dan jangkauan” (“Seperti Dilakukan-Nya,” Persidangan Umum, Apr. 2019; penekanan ditambah).

  11. Yohanes 4:10.

  12. Sebagai sebahagian dari tawaran bantuan-Nya, Juruselamat tidak takut untuk menjemput pengikut baharu ini untuk menerima tanggungjawab (lihat Yohanes 4:7). Walaupun wanita itu tidak menjawab dengan segera kepada permintaan Yesus, dari masa ke masa dan dengan pemeliharaan seorang demi seorang, wanita itu akhirnya, dan dengan gembira, menerima tugasan yang paling penting: untuk memberitahu dunia bahawa Yesus adalah Mesias. Sebagai pengikut sejati Yesus Kristus dan teladan-Nya, kita tidak harus takut untuk menjemput orang, terutamanya ahli baharu, untuk melayan dan membantu orang lain sebagai sebahagian daripada perjalanan perjanjian mereka (lihat Mosia 5:2; lihat juga Dale G. Renlund, “Preserving the Heart’s Mighty Change,” Liahona, Nov. 2009, 99).

  13. Lihat Mazmur 85:10.

  14. Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus mengenali potensi kita untuk berkembang menjadi versi diri kita yang terbaik (lihat Dale G. Renlund, “Persediaan Peribadi untuk Bertemu dengan Juruselamat,” Persidangan Umum, Apr. 2025).

  15. Lihat Yohanes 4:29. Jenis bantuan yang Juruselamat tawarkan tidak termasuk menyingkirkan wanita dari kehidupannya yang rumit atau mengubah keadaannya yang mencabar. Sebaliknya, tawaran bantuan-Nya membenarkan dia untuk kembali ke hidupnya dengan tujuan baharu. David A. Bednar, yang ketika itu Presiden Brigham Young University–Idaho, mengajarkan, “Apabila anda dan saya mula memahami dan memanfaatkan kuasa pemboleh Korban Tebusan dalam kehidupan peribadi kita, kita akan berdoa dan memohon kekuatan untuk mengubah keadaan kita, dan bukannya berdoa agar keadaan kita diubah” (“In the Strength of the Lord” [pertemuan rohani Brigham Young University, 23 Okt. 2001], 4, speeches.byu.edu).

  16. Kita menyaksikan sifat ilahi yang konsisten apabila kita mempertimbangkan seorang wanita lain di perigi yang juga memerlukan bantuan dan bukannya penghakiman. Dalam Kejadian 16, selepas konflik emosi yang mendalam, Hagar melarikan diri dari Abram dan Sarai dan bersendirian di padang belantara. Seorang malaikat muncul kepada Hagar semasa dia berhenti di perigi. Selepas dia menerima galakan, pemahaman, dan jemputan syurgawi, Hagar mengisytiharkan, “Tuhan Yang Melihat” (ayat 13, New International Version). Perigi di mana Tuhan mencari Hagar dinamakan “Lahai-Roi,” yang bermaksud “perigi Dia yang hidup yang melihat aku.” (Kejadian 16:14, nota kaki b). Apabila kita berusaha untuk menjadi lebih kudus dalam usaha pelayanan kita sendiri, mungkin kita boleh mengikuti malaikat pelayanan Hagar dan menjadi cara di mana seseorang boleh mengetahui bahawa Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus benar-benar melihat mereka di padang belantara.

  17. Tidak mengejutkan, semasa Dia berinteraksi dengan wanita di perigi, Juruselamat mencontohkan apa yang telah dikenali sebagai “tujuan misionari.” Bab 1 Mengkhutbahkan Injil-Ku mengajar bahawa tujuan misionari adalah untuk “menjemput orang untuk datang kepada Kristus dengan membantu mereka menerima injil yang dipulihkan melalui iman kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, pertaubatan, pembaptisan, penerimaan kurnia Roh Kudus dan bertahan sampai akhir” (Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus [2023], 1; penekanan ditambah). Yesus menjemput wanita di perigi untuk datang kepada-Nya dan kemudian membantunya untuk berbuat demikian.

  18. Keluaran 3:14; lihat juga Yohanes 4:26.

  19. Elder Quentin L. Cook melaporkan bahawa dalam tempoh tiga tahun, hampir 900,000 orang datang ke dalam perjanjian sebagai penganut baharu Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (lihat “Tuhan Sedang Mempercepatkan Pekerjaan-Nya,” Persidangan Umum, Okt. 2025). Pada satu ketika, setiap ahli baharu itu, dengan caranya sendiri, seorang lelaki atau wanita di perigi.

  20. Presiden Dieter F. Uchtdorf bersaksi bahawa pertemuan dengan Yesus Kristus mengubah kita selamanya. Dia juga mengajar bahawa pertemuan dengan para pengikut Yesus Kristus juga harus mengubah kehidupan (lihat Dieter F. Uchtdorf, “Perjumpaan di Kubur Kosong,” Persidangan Umum, Apr. 2026).

  21. Dallin H. Oaks, “Hidup dalam Kristus,” 87.

  22. Bantuan seperti Kristus menggalakkan penganutan yang yakin secara rohani. Selepas menerima bantuan daripada Yesus Kristus, Petrus mempunyai keyakinan untuk meninggalkan hasil tangkapan ikan yang besar untuk mengikuti-Nya (lihat Lukas 5:11). Begitu juga, selepas mengalami bantuan Juruselamat, wanita di perigi itu mempunyai keyakinan untuk meninggalkan buyung airnya untuk memberitahu semua orang tentang Mesias (lihat Yohanes 4:28).

  23. Lihat Clark G. Gilbert, “Pulanglah,” Persidangan Umum, Apr. 2026.

  24. Presiden Dieter F. Uchtdorf mengingatkan kita, “‘Saling mengasihi,’ kata Yesus. ‘Semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku’ [Yohanes 13:34–35, New King James Version]. Sering kali, kesaksian seseorang tentang Yesus Kristus datang apabila dia rasa kasih di kalangan pengikut Yesus Kristus.” (“Semua Orang Akan Tahu Bahawa Kamu Pengikut-Pengikut-Ku,” Persidangan Umum, Apr. 2025).

  25. Presiden Dieter F. Uchtdorf meringkaskan bagaimana kecilnya kita, kadang-kadang kurnia-kurnia tidak diketahui membenarkan kita untuk melakukan hal-hal mudah yang mewakili jenis bantuan yang diperlukan untuk mengubah kehidupan: “Bolehkah saya berkongsi dengan anda beberapa kurnia rohani yang saya perhatikan dalam ramai ahli di seluruh dunia? Renungkan sama ada anda telah diberkati dengan satu atau lebih kurnia seperti: Menunjukkan rasa kasihan. Menyedari orang yang selalu terlepas pandang. … Memberi pujian yang ikhlas. … Menjelaskan perkara-perkara dengan mudah. … Membantu orang lain tahu bahawa mereka tergolong.. … saya harap anda tahu betapa berharganya mereka dalam pekerjaan Tuhan dan bagaimana anda mungkin telah menyentuh, memberkati, atau menyelamatkan anak Tuhan dengan kurnia anda.” (“Lakukan Bahagian Anda dengan Sepenuh Hati Anda,” Persidangan Umum, Okt. 2025; lihat juga Gerrit W. Gong, “Tiada Siapa Yang Duduk Bersendirian,” Persidangan Umum, Okt. 2025). Dalam bahagian 46 Ajaran dan Perjanjian, Tuhan menekankan bahawa tujuan sebenar untuk kurnia rohani kita, besar atau kecil, adalah untuk membantu anak-anak Bapa Syurgawi (lihat Ajaran dan Perjanjian 46:8–9, 10, 26).

  26. Presiden D. Todd Christofferson mengajarkan: “Mengamalkan sifat Kristus bukan sahaja soalan persediaan peribadi tetapi elemen utama dalam menyediakan dunia untuk kepulangan Tuhan dan pemerintahan mulia-Nya pada zaman seribu tahun. Kita cenderung memandang rendah pengaruh individu seperti Kristus di dunia, tetapi bekerja satu demi satu adalah pendekatan Yesus untuk mengubah masyarakat dan menubuhkan kerajaan-Nya” (“Sifat Kristus,” Persidangan Umum, Apr. 2026).