Sejarah Gereja
Laporan Penglihatan Pertama


Imej
sinaran matahari melalui pokok

Laporan Penglihatan Pertama

Gambaran Keseluruhan

Joseph Smith mencatatkan bahawa Tuhan Bapa dan Yesus Kristus menampakkan diri kepadanya di sebuah hutan berhampiran rumah ibu bapanya di negeri New York barat ketika dia berusia sekitar 14 tahun. Bimbang akan dosa-dosanya dan tidak yakin mana jalan rohani yang harus diikuti, Joseph mencari bimbingan dengan menghadiri pertemuan, membaca tulisan suci, dan berdoa. Sebagai jawapan, dia menerima pernyataan syurgawi. Joseph berkongsi dan mendokumenkan Penglihatan Pertama, sebagaimana diketahui, dalam beberapa kesempatan; dia menulis atau menugaskan jurutulis untuk menulis empat laporan penglihatan yang berbeza.

Joseph Smith menerbitkan dua laporan Penglihatan Pertama semasa hayatnya. Yang pertama, kini dikenali sebagai Joseph Smith—Sejarah, disimpan dalam Mutiara yang Sangat Berharga dan ia adalah laporan yang paling terkenal. Dua laporan yang tidak diterbit, tercatat dalam autobiografi terawal Joseph Smith dan kemudian di jurnal, secara umum dilupai sehingga para sejarawan yang bekerja untuk Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menemuinya semula dan menerbitkannya pada tahun 1960-an. Sejak masa itu, dokumen-dokumen ini telah dibincangkan berulang kali di majalah Gereja, dalam karya-karya cetakan oleh akhbar milik Gereja dan yang bersekutu dengan Gereja, dan oleh para sarjana Orang Suci Zaman Akhir di tempat lain.1 Sebagai tambahan kepada laporan langsung, terdapat juga lima keterangan tentang penglihatan Joseph Smith yang dicatat oleh orang-orang sezamannya.2

Pelbagai laporan Penglihatan Pertama ini menceritakan kisah yang konsisten, walaupun laporan-laporan ini berbeza dari segi penekanan dan perincian. Sejarawan menjangkakan bahawa apabila seseorang individu menceritakan pengalaman dalam pelbagai tetapan kepada khalayak yang berlainan selama bertahun-tahun, setiap laporan akan menekankan pelbagai aspek pengalaman dan mengandungi perincian yang unik. Sesungguhnya, laporan berbeza tentang laporan Penglihatan Pertama ini serupa dengan kepelbagaian laporan tulisan suci tentang penglihatan Paulus di jalan menuju Damsyik dan pengalaman para Rasul di Gunung Perubahan Rupa.3 Namun di sebalik perbezaannya, ketetapan asas kekal ada di dalam kesemua laporan Penglihatan Pertama. Ada orang telah mempertikaikan dengan salah bahawa sebarang variasi dalam penceritaan semula cerita itu adalah bukti pemalsuan. Sebaliknya, catatan sejarah yang kaya membolehkan kita belajar lebih banyak mengenai peristiwa luar biasa ini daripada yang kita dapat sekiranya ia didokumenkan dengan kurang baik.

Laporan Penglihatan Pertama

Setiap laporan Penglihatan Pertama oleh Joseph Smith dan sezamannya mempunyai sejarah dan konteks tersendiri yang mempengaruhi bagaimana peristiwa itu diingati, disampaikan, dan dicatatkan. Laporan-laporan ini dibincangkan di bawah.

Laporan 1832. Laporan Penglihatan Pertama yang paling awal diketahui, satu-satunya laporan yang ditulis oleh tangan Joseph Smith sendiri, terdapat dalam sebuah autobiografi pendek Joseph Smith yang tidak diterbit yang dihasilkan pada separuh kedua tahun 1832. Dalam catatan itu, Joseph Smith menggambarkan kesedarannya akan dosa-dosanya sendiri dan kekecewaannya kerana tidak dapat menemukan gereja yang sesuai dengan apa yang dia telah baca dalam Perjanjian Baru dan yang akan membawanya kepada penebusan. Dia menekankan Korban tebusan Yesus Kristus dan penebusan peribadi yang ia tawarkan. Dia menulis bahawa “Tuhan” muncul dan mengampuni dosa-dosanya. Hasil dari penglihatan itu, Joseph merasakan sukacita dan kasih, namun, seperti yang diperhatikannya, dia tidak dapat menemukan siapa pun yang mempercayai kisahnya. Baca laporan 1832 di sini.

Laporan 1835. Pada musim luruh tahun 1835, Joseph Smith mengisahkan kembali Penglihatan Pertama kepada Robert Matthews, seorang pelawat ke Kirtland, Ohio. Penceritaan semula, yang dicatat dalam jurnal Joseph oleh jurutulisnya Warren Parrish, menekankan cubaannya untuk mengetahui gereja mana yang benar, pertentangan yang dia rasakan ketika dia berdoa, dan kemunculan seorang makhluk ilahi yang kemudian diikuti oleh yang lain. Laporan ini juga mencatatkan kemunculan malaikat dalam penglihatan. Baca laporan 1835 di sini.

Laporan 1838. Penceritaan Penglihatan Pertama yang paling terkenal di kalangan Orang Suci Zaman Akhir hari ini adalah laporan 1838. Pertama kali diterbitkan pada 1842 dalam Times and Seasons, akhbar Gereja di Nauvoo, Illinois, laporan tersebut adalah sebahagian daripada sejarah yang lebih panjang yang diarahkan oleh Joseph Smith di antara masa pertentangan yang kuat. Walaupun laporan 1832 menekankan kisah yang lebih peribadi tentang Joseph Smith sebagai seorang pemuda yang meminta pengampunan, laporan 1838 menumpukan pada penglihatan sebagai permulaan bagi “kebangkitan dan kemajuan Gereja.” Seperti laporan 1835, persoalan utama pencerita adalah gereja mana yang benar. Baca laporan 1838 di sini.

Laporan 1842. Ditulis sebagai balasan kepada Chicago Democrat atas permintaan penyunting John Wentworth tentang maklumat Orang Suci Zaman Akhir, laporan ini dicetak dalam Times and Seasons pada 1842. (“Wentworth letter,” sepertimana ia dikenali, juga merupakan sumber Fasal-Fasal Kepercayaan.)4 Laporan itu, yang ditujukan untuk penerbitan kepada pembaca yang tidak biasa dengan kepercayaan Mormon, padat dan ringkas. Seperti laporan sebelumnya, Joseph Smith mencatat kebingungan yang dialaminya dan kemunculan dua makhluk sebagai jawapan kepada doanya. Pada tahun berikutnya, Joseph Smith mengirim laporan ini dengan sedikit pengubahsuaian kepada sejarawan bernama Israel Daniel Rupp, yang menerbitkannya sebagai satu bab dalam bukunya, He Pasa Ekklesia [The Whole Church]: An Original History of the Religious Denominations at Present Existing in the United States.5 Baca laporan 1842 di sini.

Laporan Terpakai Selain laporan-laporan ini daripada Joseph Smith, lima laporan ditulis oleh orang sezamannya yang mendengar Joseph Smith berbicara tentang penglihatan itu. Baca laporan-laporan ini di sini.

Hujah-hujah Tentang Laporan-laporan Penglihatan Pertama Joseph Smith

Kepelbagaian dan jumlah laporan tentang Penglihatan Pertama telah menyebabkan beberapa pengkritik mempersoalkan jika keterangan Joseph Smith sesuai dengan kenyataan pengalamannya. Dua hujah yang sering dibuat terhadap kredibilitinya adalah: soalan pertama mengenai ingatan Joseph Smith tentang peristiwa itu; soalan kedua adakah Joseph menambah unsur cerita dari masa ke masa.

Ingatan. Satu hujah mengenai laporan Penglihatan Pertama Joseph Smith menuduh bahawa bukti sejarah tidak menyokong perihal Joseph Smith mengenai kebangkitan agama di Palmyra, New York, dan sekitarnya pada tahun 1820. Ada yang berpendapat bahawa ini melemahkan tuntutan Joseph tentang semangat keagamaan yang luar biasa dan juga laporan penglihatan itu sendiri.

Bukti dokumentari, bagaimanapun, menyokong pernyataan Joseph Smith mengenai kebangkitan agama. Wilayah tempat dia tinggal terkenal dengan semangat keagamaan dan tidak diragui merupakan salah satu pusat kebangkitan agama. Sejarawan menyebut wilayah ini sebagai “daerah yang terbakar” kerana pendakwah menggunakan tanah itu untuk mengadakan kem kebangkitan dan mencari penganut pada awal tahun 1800-an.6 Pada bulan Jun 1818, misalnya, perjumpaan kem Methodist berlangsung di Palmyra, dan pada musim panas berikutnya, Methodist berkumpul kembali di Vienna (sekarang Phelps), New York, 25 batu dari ladang keluarga Smith. Jurnal seorang pendakwah Methodist yang berkeliling mendokumenkan banyak kehebohan agama di kawasan geografi Joseph pada tahun 1819 dan 1820. Mereka melaporkan bahawa Reverend George Lane, seorang paderi pemulih agama Methodist, berada di wilayah itu dalam kedua-dua tahun itu, berbicara “mengenai kaedah Tuhan dalam mewujudkan Reformasi.”7 Bukti sejarah ini selaras dengan keterangan Joseph. Dia mengatakan bahawa kehebohan keagamaan yang luar biasa di daerah atau wilayahnya “bermula dengan para penganut Methodist .” Memang, Joseph menyatakan bahawa dia menjadi “lebih senang” kepada Methodist.8

Hiasan. Hujah kedua yang sering dibuat mengenai laporan Penglihatan Pertama Joseph Smith adalah bahawa dia menghiasi ceritanya dari masa ke masa. Hujah ini menumpukan pada dua perincian: bilangan dan identiti makhluk syurgawi yang Joseph Smith nyatakan dilihatnya. Laporan Penglihatan Pertama Joseph menggambarkan makhluk syurgawi dengan lebih terperinci dari masa ke masa. Laporan tahun 1832 mengatakan, “Tuhan membuka langit kepadaku dan aku melihat Tuhan.” Laporannya pada tahun 1838 menyatakan, “Aku melihat dua Lembaga,” salah satunya memperkenalkan yang lain sebagai “Putera Terkasih-Ku.” Akibatnya, pengkritik berpendapat bahawa Joseph Smith pada permulaan melaporkan telah melihat seorang—“Tuhan”—dan akhirnya mengaku telah melihat Bapa dan Putera.9

Terdapat cara lain yang lebih konsisten untuk melihat bukti. Keharmonian asas dalam penceritaan sepanjang masa mesti diakui pada awalnya: tiga dari empat laporan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa dua lembaga muncul kepada Joseph Smith dalam Penglihatan Pertama. Kelainannya adalah laporan 1832 Joseph Smith, yang boleh merujuk kepada satu atau dua lembaga. Sekiranya dibaca untuk merujuk kepada satu makhluk syurgawi, kemungkinan ia ialah lembaga yang mengampuni dosa-dosanya. Menurut laporan kemudian, lembaga ilahi pertama menyuruh Joseph Smith untuk “mendengar” kepada lembaga kedua, Yesus Kristus, yang kemudian menyampaikan pesanan utama, yang termasuk pesanan keampunan.10 Oleh itu, laporan Joseph Smith pada tahun 1832 mungkin tertumpu pada Yesus Kristus, pembawa keampunan.

Cara lain untuk membaca laporan 1832 adalah bahawa Joseph Smith merujuk kepada dua makhluk, yang keduanya disebutnya sebagai “Tuhan.” Hujah hiasan bergantung pada anggapan bahawa laporan 1832 menggambarkan kemunculan hanya satu makhluk ilahi. Tetapi laporan 1832 tidak mengatakan bahawa hanya satu makhluk ilahi yang muncul. Perhatikan bahawa dua rujukan untuk “Tuhan” dipisahkan dalam masa: pertama “Tuhan” membuka langit; kemudian Joseph Smith melihat “Tuhan.” Pembacaan laporan ini selaras dengan laporan 1835 Joseph, di mana satu lembaga yang muncul pertama, diikuti oleh yang lain tidak lama kemudian. Oleh itu, laporan tahun 1832 dapat dibaca dengan erti bahawa Joseph Smith melihat seorang makhluk yang kemudian mengungkapkan seorang yang lain dan bahawa dia menyebut keduanya sebagai “Tuhan”: “Tuhan membuka langit ke atas aku dan aku melihat Tuhan.”11

Huraian Joseph yang semakin terperinci dengan demikian dibaca sebagai bukti peningkatan pandangan, terkumpul dari masa ke masa, berdasarkan pengalaman. Sebahagiannya, perbezaan antara laporan 1832 dan laporan seterusnya mungkin berkaitan dengan perbezaan di antara perkataan bertulis dan lisan. Laporan 1832 mewakili pertama kalinya Joseph Smith berusaha menulis sejarahnya. Pada tahun yang sama, dia menulis kepada seorang teman bahawa Joseph merasa seolah-olahnya dipenjarakan oleh “pen kertas dan dakwat serta bahasa yang bercampur dan tidak sempurna.” Dia mengelar itu sebagai “penjara sempit.”12 Perkembangan laporan kemudiannya lebih mudah difahami dan bahkan diperlukan apabila kita menyedari bahawa laporan tersebut mungkin merupakan laporan yang ditentukan—cara komunikasi yang mudah dan selesa untuk Joseph Smith dan yang membolehkan kata-kata disampaikan dengan lebih mudah.

Kesimpulan

Joseph Smith berulang kali bersaksi bahawa dia mengalami penglihatan yang luar biasa tentang Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Baik kebenaran Penglihatan Pertama mahupun hujah-hujah yang menentangnya tidak dapat dibuktikan semata-matanya dengan penyelidikan sejarah sahaja. Mengetahui kebenaran kesaksian Joseph Smith mensyaratkan setiap pencari kebenaran yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari catatan itu dan kemudian menjalankan iman yang cukup kepada Kristus untuk meminta Tuhan dalam doa yang tulus dan rendah hati, adakah catatan itu benar. Sekiranya pencari bertanya dengan niat benar untuk bertindak berdasarkan jawapan yang diungkapkan oleh Roh Kudus, kebenaran penglihatan Joseph Smith akan dinyatakan. Dalam cara ini, setiap orang boleh mengetahui bahawa Joseph Smith telah berbicara dengan jujur ketika dia mengisytiharkan, “Aku telah melihat suatu penglihatan, aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya.”13

Gereja menghargai sumbangan para sarjana untuk kandungan bersejarah ini yang dipersembahkan dalam artikel ini; karya mereka digunakan dengan kebenaran.

Asalnya diterbitkan pada November 2013.

Topik-topik yang Berkaitan

  • Menjawab Soalan Injil

  • Kesatuan Ketuhanan

  • Tuhan Bapa

  • Yesus Kristus

  • Joseph Smith

  • Pemulihan Gereja

  • Pemulihan Imamat

Kitab suci

Rujukan Tulisan Suci

Video

“The Restoration”

“Joseph Smith: The Prophet of the Restoration”

“Mission Preparation Track 14: Gordon B. Hinckley”

Sumber Pembelajaran

Sumber Umum

History, circa Summer 1832,” The Joseph Smith Papers

Journal, 1835–1836,” The Joseph Smith Papers

History, circa June 1839–circa 1841 [Draft 2],” The Joseph Smith Papers

‘Church History,’ 1 March 1842,” The Joseph Smith Papers

‘Latter Day Saints,’ 1844,” The Joseph Smith Papers

Primary Accounts of Joseph Smith’s First Vision of Deity,” The Joseph Smith Papers

Majalah Gereja

Preparing for the Restoration,” Ensign, Jun 1999

Book of Mormon Personalities Known by Joseph Smith,” Ensign, Disember 1983

Manual Kajian

  1. Lihat, contohnya, James B. Allen, “Eight Contemporary Accounts of the First Vision—What Do We Learn from Them?” Improvement Era, 73 (1970): 4–13; Richard L. Anderson, “Joseph Smith’s Testimony of the First Vision,” Ensign, Apr. 1996, 10–21; Milton V. Backman, Joseph Smith’s First Vision: The First Vision in Its Historical Context (Salt Lake City: Bookcraft, 1971; 2nd ed., 1980); Steven C. Harper, Joseph Smith’s First Vision: A Guide to the Historical Accounts (Salt Lake City: Deseret Book, 2012).

  2. Semua laporan ini dihasilkan semula dalam Dean C. Jessee, “The Earliest Documented Accounts of Joseph Smith’s First Vision,” dalam John W. Welch, ed., dengan Erick B. Carlson, Opening the Heavens: Accounts of Divine Manifestations, 1820–1844 (Provo and Salt Lake City: Brigham Young University Press dan Deseret Book, 2005), 1–33.

  3. Kisah Rasul-Rasul 9:3–9; 22:6–21; 26:12–18; Matius 17:1–13; Markus 9:2–13; Lukas 9:28–36.

  4. Surat lengkap boleh ditemui dalam Joseph Smith, “Church History,” Times and Seasons 3 (1 Mac 1842): 706–10.

  5. Joseph Smith, “Latter Day Saints,” dalam I. Daniel Rupp, He Pasa Ekklesia: An Original History of the Religious Denominations at Present Existing in the United States (Philadelphia: J. Y. Humphreys, 1844), 404–10.

  6. Whitney R. Cross, The Burned-Over District: The Social and Intellectual History of Enthusiastic Religion in Western New York, 1800–1850 (Ithaca, N.Y.: Cornell University Press, 1950); Paul E. Johnson, A Shopkeeper’s Millennium: Society and Revivals in Rochester, New York, 1815–1837 (New York: Hill and Wang, 1983); Nathan O. Hatch, The Democratization of American Christianity (New Haven: Yale University Press, 1989).

  7. Diari Benajah Williams, 15 Julai 1820, salinan dalam Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City; ejaan dilaraskan.

  8. Laporan 1838 (Joseph Smith—Sejarah 1:5, 8).

  9. Laporan 1832 (Sejarah Joseph Smith, ca. Musim Panas 1832, 3, dalam Joseph Smith, “Letter Book A,” Koleksi Joseph Smith, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City); laporan 1838 (Joseph Smith—Sejarah 1:17).

  10. Laporan 1838 (Joseph Smith—Sejarah 1:17); laporan 1835 (Joseph Smith, “Sketch Book of the use of Joseph Smith, jr.,” Journal, 9–11 Nov 1835, Koleksi Joseph Smith, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City.

  11. Laporan 1832 (Sejarah Joseph Smith, ca. Musim Panas 1832, 3, dalam Joseph Smith, “Letter Book A,” Koleksi Joseph Smith, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City).

  12. Joseph Smith kepada William W. Phelps, 27 Nov 1832, Koleksi Joseph Smith, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City; tersedia di www.josephsmithpapers.org.

  13. Laporan 1838 (Joseph Smith—Sejarah 1:25).