2021
Mencari Kekuatan untuk Mengampuni
Jun 2021


“Mencari Kekuatan untuk Mengampuni”, For the Strength of Youth, Jun 2021, 10-11.

Ikutlah Aku

Mencari Kekuatan untuk Mengampuni

Tuhan telah memerintahkan kita agar mengampuni orang lain. Dia akan membantu kita untuk mentaati perintah-Nya, termasuklah yang ini.

Ajaran dan Perjanjian 64:10

Imej
wanita memandang ke arah seseorang yang sedang menghulurkan tangan kepadanya

Ilustrasi oleh James Madsen

Adakah sesetengah perintah lebih sukar dipatuhi berbanding perintah yang lain?

Berikut ialah salah satu perintah yang menakutkan ramai orang: “Aku, Tuhan, akan mengampuni orang yang akan Ku ampuni, tetapi kamu haruslah mengampuni semua orang” (Ajaran dan Perjanjian 64:10).

Tunggu sebentar. Kita harus mengampuni semua orang yang telah bersalah terhadap kita? Adakah itu mungkin?!

Mungkin senang mengampuni seseorang yang bertutur kurang sopan atau berkelakuan biadab terhadap anda. Tetapi bagaimana pula dengan luka yang dalam? Kesalahan serius yang boleh mengganggu atau yang telah mengubah laluan kehidupan kita?

Kadangkala, keupayaan untuk mengampuni seseorang yang telah banyak menyakiti kita terasa di luar kemampuan kita.

Inilah berita baik: Dengan bantuan Yesus Kristus, kita tidak akan terbatas kepada perkara yang kita boleh lakukan sendiri.

Bantuan yang Dia Perlukan

Seorang Kristian yang setia dari Belanda bernama Corrie ten Boom telah secara peribadi mengalami kuasa meminta Tuhan membantunya mengampuni seseorang.

Dia dan kakaknya Betsy telah dipenjarakan di kem tahanan semasa Perang Dunia II. Corrie dan beberapa yang lain telah menanggung penderaan yang mengerikan daripada pengawal penjara Nazi. Malah, kakaknya Betsy telah mati akibat penderaan itu. Corrie terselamat.

Selepas perang berakhir, Corrie menemukan kuasa penyembuhan tentang mengampuni orang lain. Dia sering berkongsi pesanannya di tempat awam. Namun, pada suatu hari kata-katanya telah diuji.

Selepas memberikan ucapan awam, Corrie dihampiri oleh salah seorang pengawal penjara yang paling kejam dari kem.

Dia memberitahu Corrie bahawa dia telah menjadi seorang Kristian semenjak perang dan telah bertaubat daripada hal-hal zalim yang pernah dilakukannya ketika menjadi pengawal penjara.

Dia menghulurkan tangannya dan berkata, “Bolehkah kamu mengampuni saya?”

Walaupun telah belajar dan berkongsi tentang mengampuni orang lain, Corrie tidak dapat menjabat tangan lelaki ini dan mengampuninya—tidak dengan kekuatannya sendiri.

Kemudian, dia menulis, “Fikiran marah dan dendam muncul di dalam diri saya, saya telah menyaksikan dosa mereka. … Tuhan Yesus, saya berdoa, ampunkan saya dan bantulah saya untuk mengampuninya.

“Saya cuba senyum, [dan] saya berusaha untuk mengangkat tangan saya. Saya tidak mampu. Saya tidak merasakan apa-apa, walau sedikit rasa kemesraan atau kasih ihsan. Sekali lagi, saya berdoa secara senyap. Yesus, saya tidak dapat mengampuninya. Berikan saya keampunan-Mu.

“Apabila saya menjabat tangannya, perkara yang luar biasa telah berlaku. Suatu aliran seolah-olah mengalir dari bahu sehingga lengan saya dan menerusi tangan saya sampai kepadanya, manakala di dalam hati saya, timbul perasaan kasih untuk orang asing ini.

“Dengan itu, saya sedar bahawa penyembuhan dunia tidak bergantung pada pengampunan kita dan kebaikan kita, tetapi terletak pada-Nya. Ketika Dia memberitahu kita agar mengasihi musuh kita, Dia turut sertakan kasih bersama dengan perintah-Nya.”1

Tuhan sedia untuk membantu anda mentaati perintah-perintah-Nya, termasuklah perintah untuk mengampuni—walaupun sukar. Dia dapat membantu anda sama seperti Dia telah membantu Corrie ten Boom.

Penyembuhan Yang Layak Anda Terima

Hidup ini rumit. Hidup adalah tidak teratur. Dan hidup dipenuhi dengan orang yang mempunyai hak pilihan yang diberikan Tuhan.

Pada saat-saat ketika seseorang membuat pilihan yang menyebabkan kesengsaraan yang teruk kepada anda—atau melakukannya secara tidak sengaja—anda boleh menerima kuasa penyembuhan semasa anda berdoa untuk mendapatkan bantuan dan berusaha untuk mengampuninya.

Mengampuni orang lain akan memberikan kesembuhan kepada jiwa anda. Dengan bantuan Tuhan, apabila anda mengampuni seseorang yang telah bersalah terhadap anda, anda melepaskan beban yang berat dari bahu anda yang telah menghalang anda. Walaupun jalan menuju penyembuhan sejati terasa sukar, dengan Tuhan, anda tidak lagi perlu berjalan sendirian.

Nota

  1. Corrie ten Boom, The Hiding Place (1971), 215.

  2. Jeffrey R. Holland, Persidangan Umum Okt. 2018 (Ensign atau Liahona, Nov. 2018, 79).