Untuk Kekuatan Remaja
Untuk Kekuatan Remaja: Pesanan Juruselamat kepada Anda
Mac 2024


“Untuk Kekuatan Remaja: Pesanan Juruselamat Kepada Anda,” Untuk Kekuatan Remaja, Mac 2024.

Pesanan Untuk Kekuatan Remaja Bulanan, Mac 2024

Untuk Kekuatan Remaja: Pesanan Juruselamat kepada Anda

Panduan ini membantu anda menghubungkan pilihan anda kepada Yesus Kristus dan ajaran-Nya.

Imej
Yesus Kristus

Aku Berdiri Di Depan Pintu Dan Mengetuk, oleh J. Kirk Richards

Bayangkan anda tinggal di Galilea kuno, 2,000 tahun yang lalu. Anda dan kawan-kawan anda telah dijemput ke pertemuan rohani remaja di saumaah tempatan, dengan pembicara jemputan istimewa: Yesus dari Nasaret. Dan pada satu masa tertentu dalam ucapan-Nya, Yesus menjemput para remaja yang hadir untuk bertanyakan soalan-soalan kepada-Nya.

Apakah jenis soalan yang anda mungkin dengar?

Saya fikir beberapa soalan akan mencerminkan budaya dan keadaan masa itu. Tetapi saya benar-benar percaya ramai di antara mereka akan bertanyakan soalan seperti soalan-soalan yang kita ada hari ini.

Contohnya, dalam Perjanjian Baru, orang ramai bertanyakan Juruselamat soalan seperti berikut:

  • Apakah yang saya perlu lakukan untuk memperoleh kehidupan abadi?1

  • Adakah saya diterima? Adakah saya tergolong?2

  • Jika saudara saya berdosa terhadap saya, berapa kali harus saya mengampuninya?3

  • Apakah yang akan berlaku kepada dunia ini di masa depan? Adakah saya akan selamat?4

  • Bolehkah Anda menyembuhkan orang terkasih saya?5

  • Apakah yang benar?6

  • Bagaimana saya tahu jika saya berada di jalan yang betul?7

Tidakkah kita semua tertanya-tanya hal yang sama dari semasa ke semasa? Selama berabad-abad, soalan-soalan itu tidak banyak berubah. Rasa kasihan Juruselamat terhadap mereka yang bertanya juga tidak berubah. Dia tahu kehidupan boleh merisaukan dan mengelirukan. Dia tahu betapa mudahnya untuk kita menjadi sesat. Dia tahu bahawa kita kadang-kadang risau tentang masa depan. Dan Dia berfirman kepada anda dan saya, seperti yang Dia firmankan para pengikut-Nya dahulu kala:

  • “Janganlah kamu risau.”8

  • “Akulah jalan [dan] hidup.”9

  • “Ikutlah Aku.”10

Apabila anda perlu membuat pilihan penting, Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan adalah pilihan terbaik. Apabila anda mempunyai soalan, Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan adalah jawapan yang terbaik.

Inilah sebab saya kasihi Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan. Ia mengarahkan kita kepada Yesus Kristus supaya kita boleh menerima kekuatan-Nya. Saya sentiasa menyimpan satu salinan dalam poket saya. Apabila saya bertemu dengan orang di seluruh dunia yang ingin tahu mengapa kita, sebagai ahli Gereja Yesus Kristus, melakukan apa yang kita lakukan, saya kongsikan bimbingan panduan ini dengan mereka.

Untuk Kekuatan Remaja mengajar kebenaran abadi tentang Juruselamat dan Cara-Nya. Ia menjemput anda untuk membuat pilihan berdasarkan kebenaran tersebut. Dan ia berkongsi berkat-berkat yang dijanjikan yang Dia hulurkan kepada mereka yang mengikuti-Nya. Sila baca, renung, dan kongsikan panduan ini!

Jemput Dia Masuk

Yesus Kristus ingin menjadi sebahagian kehidupan anda—kehadiran yang tetap dan berterusan, dalam masa baik dan buruk. Dia tidak hanya berdiri di hujung jalan, menunggu anda untuk mengejar-Nya. Dia akan berjalan bersama anda dalam setiap langkah. Dia adalah Jalan itu!

Tetapi Dia tidak akan memaksa cara-Nya ke dalam hidup anda. Anda menjemput Dia masuk, melalui pilihan anda. Inilah sebab mengapa panduan untuk membuat pilihan, seperti Untuk Kekuatan Remaja, sangat berharga. Setiap kali anda membuat pilihan yang soleh berdasarkan kebenaran abadi Juruselamat, anda menunjukkan bahawa anda inginkan Dia dalam hidup anda. Pilihan-pilihan itu membuka pintu-pintu gerbang syurga, dan kekuatan-Nya datang mencurah ke dalam hidup anda.11

Membuat Perhubungan yang Kuat

Anda mungkin mengingati ketika Juruselamat membandingkan mereka yang mendengar dan melakukan firman-Nya dengan lelaki bijaksana yang “membina rumahnya di atas batu.” Dia menjelaskan:

“Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu.”12

Rumah tidak menahani ribut kerana rumah itu kuat. Ia juga tidak bertahan hanya kerana batu itu kuat. Rumah itu selamat dalam ribut kerana ia dilandaskan dengan kuat kepada batu yang kuat itu. Ia adalah kekuatan berhubung dengan batu yang penting.

Begitu juga, semasa kita membina kehidupan kita, adalah penting untuk membuat pilihan yang baik. Dan ia adalah penting untuk memahami kebenaran abadi Juruselamat. Tetapi kekuatan yang kita perlukan untuk menahan ribut kehidupan datang apabila kita menghubungkan pilihan kita dengan Yesus Kristus dan ajaran-Nya. Itulah yang Untuk Kekuatan Remaja membantu kita lakukan.

Contohnya, kawan-kawan anda mungkin tahu bahawa anda cuba untuk tidak menggunakan bahasa yang menyinggung atau melukakan. Mereka mungkin melihat anda menjangkau kepada seseorang di sekolah yang ramai tidak mempedulikan atau bahkan dibuli. Tetapi tahukah mereka anda membuat pilihan-pilihan tersebut kerana Yesus Kristus telah mengajar bahawa “semua orang adalah saudara dan saudari anda—termasuk … mereka yang berbeza daripada anda”?13

Kawan-kawan anda mungkin tahu bahawa anda pergi ke gereja setiap hari Ahad. Mereka mungkin sedar apabila anda menghentikan lagu tertentu atau menolak jemputan untuk menonton wayang tertentu. Tetapi tahukah mereka anda membuat pilihan-pilihan tersebut kerana anda mempunyai “hubungan perjanjian gembira dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus,” dan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mengikuti Juruselamat, anda bersyukur “untuk memiliki Roh Kudus sebagai rakan tetap anda”?14

Orang ramai mungkin tahu bahawa anda tidak minum atau merokok atau menggunakan dadah lain yang berbahaya. Tetapi tahukah mereka anda membuat pilihan-pilihan tersebut kerana Yesus Kristus mengajar bahawa “tubuh anda adalah kudus,” “kurnia yang menakjubkan daripada Bapa Syurgawi,” dicipta dalam rupa Tuhan?15

Kawan-kawan anda mungkin tahu bahawa anda tidak akan menipu atau berbohong dan anda mengambil pendidikan dengan serius. Tetapi tahukah mereka anda membuat pilihan-pilihan tersebut kerana Yesus Kristus mengajar bahawa “kebenaran akan membebaskan anda”?16

Paling penting sekali, adakah kawan-kawan anda tahu bahawa anda membuat pilihan yang tidak popular supaya tetap setia kepada standard Kristus kerana anda tahu bahawa “Yesus Kristus adalah kekuatan anda”?17

Dia Ialah Kekuatan Anda.

Saya memberi anda kesaksian saya yang pasti bahawa Yesus Kristus ialah Jalan ke masa depan yang cerah dan mulia—masa depan anda. Dan Dia juga adalah Jalan ke masa sekarang yang terang dan mulia. Berjalanlah pada jalan-Nya, dan Dia akan berjalan bersama anda. Anda boleh melakukan ini!

Rakan muda saya yang dikasihi, Yesus Kristus ialah kekuatan anda. Teruskan berjalan bersama Dia, dan Dia akan membantu anda terbang “seperti burung rajawali”18 ke kebahagiaan abadi yang Dia telah sediakan bagi anda.